“Kita Iktiraf Kepimpinan Wanita Muda” Datuk Seri Dr Noraini Ahmad Seru Lebih Ramai Wanita Pembuat Keputusan

Memperkasakan wanita, hakikatnya lebih dari sekadar memberi kata-kata semangat tetapi sokongan berterusan, hak bersuara, pendidikan dan peluang yang saksama. Kata Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, wanita diseru untuk bersama-sama merancang, melaksana dan fokus pada agenda pemerkasaan hala tuju wanita dalam pembangunan negara di semua peringkat.

Menerusi hantaran Menteri Pengajian Tinggi itu, beliau berkata wanita hari ini semakin berdikari, kuat, berani dan bukan lagi lemah serta hanya mengikut arahan.

“Di negara kita, peratusan wanita sebagai ahli lembaga pengarah merupakan tertinggi di Asia, iaitu 25.8 peratus berbanding purata global 19.7 peratus sahaja.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

 

Dalam sektor perkhidmatan awam pula, 38.2 peratus daripada jawatan peringkat pembuat keputusan, iaitu di Gred Utama C dan ke atas dipegang oleh wanita.

Melihat kepada keupayaan wanita pada hari ini, saya berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba merendah-rendahkan martabat wanita.” Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

Beliau berkata walaupun angka dan pencapaian tersebut menunjukkan perkembangan positif, perjuangan memartabatkan wanita masih perlu diteruskan.

Berusia 54 tahun, wanita hebat ini merupakan pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel dari 2016 hingga 2019. Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP) ialah rangkaian Persatuan Parlimen Komanwel yang berkempen untuk kesaksamaan jantina dan perwakilan sama rata di Parlimen.

Datuk Seri Dr Noraini merupakan ahli parlimen Parit Sulong, Johor

 

Katanya, aspek pemerkasaan wanita merangkumi pelbagal bidang perlu dimulakan dari peringkat awal dalam menjayakan aspirasi pemerkasaan wanita, dengan setiap peringkat wanita perlu digerakkan.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan 2022 daripada pihak kementerian (KPT) di UiTM Puncak Alam baru-baru ini adalah contoh terbaik inisiatif memperkasakan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan.

“Konvensyen ini bukan sahaja untuk kita mendengar suara, idea dan pandangan malah lebih lagi, mengiktiraf kepimpinan wanita muda ini, yang mana suatu hari nanti bakal mewarisi kepimpinan negara.” Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. –BERNAMA

IKLAN
Share