“Kita Semua Sayang Bella” Datuk Ras Adiba Radzi Sempat Video Call, Terharu Tengok Senyuman Bella

Kempen ‘Keadilan Untuk Bella’ kini menjadi perhatian serius yang mengangkat isu penderaan kanak-kanak di Malaysia. Kes ini juga turut mendapat perhatian Ahli Dewan Negara mewakili Orang Kurang Upaya (OKU), Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Menurut bekas personaliti televisyen itu yang kini merupakan Pengerusi BERNAMA, kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan agensi penguat kuasa bagi membanteras jenayah penderaan kanak-kanak di negara ini.

Dalam hantaran beliau semalam, Datuk Ras Adiba sempat bertemu mangsa penderaan remaja OKU, Bella, 13 tahun yang kini berada di bawah jagaan JKM.

Meskipun hanya bertemu secara maya, namun terasa keprihatinannya dalam mencari keadilan terhadap nasib remaja Down Syndrome

tersebut.
“Kami semua sayang Bella” Ras Adiba Radzi

 

Sesi panggilan video Ras Adiba-Bella

 

Bella sayang.

Syukur saya dapat bertemu Bella sungguhpun secara maya.

Tidak selamat untuk kami bertemu ketika ini kerana keadaan pandemik yang menimpa negara kita, justeru saya menghubungi anak ini untuk bertanya khabar.

Semoga Yang Esa pulihkan semangat anak ini dan agar beliau kembali mempercayai akan seorang yang bernama manusia.

 

Bella anak OKU, anak istimewa dan seperti anak-anak yang lain, tanggungjawab kita adalah untuk lindungi mereka, bukan sebaliknya.

Moga pihak PDRM akan membawa mereka yang menganiayai Bella ke muka pengadilan secepat mungkin.

Bella dikelilingi wakil JKM dan jururawat yang menjaganya

 

“Kami semua risau akan kamu Bella. Sungguhpun payah, dihampakan dan ketakutan, kamu tetap sudi mengorak senyuman. Doa kami, Bella akan kembali ceria dan kuat semangatnya.” Ras Adiba

 

PINDA AKTA

Menggunakan hashtags #justiceforbella dan #keadilanuntukbella, Datuk Ras Adiba sendiri mengakui tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan membabitkan golongan itu terutama OKU.

“Tindakan tegas wajib diambil dan pelaku kes penderaan serta penganiayaan kanak-kanak perlu dihadapkan ke muka pengadilan supaya isu penderaan kanak-kanak di negara ini tidak berterusan.

“Saya menggesa agar pihak berkuasa tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” menurutnya dalam kenyataan BERNAMA.

Foto: Instagram @senatorrasadibaradzi

 

Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan komitmen kerajaan kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 yang turut memberi penekanan untuk menamatkan penyalahgunaan, eksploitasi, pemerdagangan manusia dan segala bentuk keganasan serta penyiksaan terhadap kanak-kanak.

Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan terdapat 2,040 kes penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku antara Januari hingga April tahun ini.

Ras Adiba turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertindak proaktif untuk memastikan kanak-kanak di negara ini diberi keutamaan dari segi pemeliharaan serta perlindungan.

 

Beliau berkata semua lapisan masyarakat harus memainkan peranan serius serta melaporkan kes penderaan kepada pihak berkuasa kerana ini merupakan tanggungjawab bersama.

“Kita perlu berganding bahu untuk mengangkat satu mesej bahawa penderaan adalah satu jenayah. Kanak-Kanak ada hak dan ruang untuk menikmati sebuah kehidupan yang aman dan berkualiti.

“Semua pihak mesti patuhi Akta Kanak-Kanak 2001 serta Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995,” katanya.

IKLAN
Share