Kolaborasi Alif Satar & Raihan Melalui Damba CintaMu Hadir Tepat Pada Waktunya. Siapa Tak Menangis Hayati Liriknya!

Subuh hening Ramadan seakan mengerti perasaan penulis ketika ini. Air mata mengalir laju tatkala menghayati bait-bait lagu Damba CintaMu ciptaan kumpulan Raihan. Lagu yang terkandung di dalam album Syukur diterbitkan pada tahun 1997 ini telah diberi nafas baharu hasil duet bersama Alif Satar.

Walaupun baharu sahaja dilancarkan di channel Youtube milik Alif Satar pada 27 April lalu, sehingga kini jumlah tontonan sudah mencapai sehingga 551,965 views  (ketika artikel ini ditulis). Begitu hebat penangan lagu ketuhanan yang menusuk kalbu apatah lagi dalam suasana umat Islam berada dalam bulan Ramadan. Ditambah lagi dengan situasi dunia sedang dilanda pendemik COVID-19 serta rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan pergerakan.

Kemunculan lagu ketuhanan gabungan Alif Satar dan kumpulan nasyid legenda, Raihan  berjudul Damba CintaMu nampaknya begitu dekat di hati para pendengar setelah kolaborasi mereka menerusi lagi Sesungguhnya 2019 meninggalkan kesan yang luar biasa.

Bapa kepada tiga anak ini sememangnya meminati lagu-lagu hasil karya kumpulan Raihan dan menjadi inspirasi untuk dirinya dalam pembentukan sahsiah dan keperibadiannya sejak zaman remaja lagi.

“Saya memilih lagu ini disebabkan ia antara lagu kegemaran saya setiap kali mendengar lagu Raihan. Diakui liriknya cukup memberi kesan keinsafan dalam mencari cinta kepada Tuhan.

“Meskipun ia bukanlah karya baharu, namun peluang berduet bersama Raijan sememangnya cukup saya nantikan. Harus diakui peluang ini cukup menjadi kebanggaan peribadi disebabkan Raihan bukan calang-calang nama,” katanya.

Kredit perlu diberikan kepada Alif kerana versi terbaharu Damba CintaMu berjaya meninggalkan kesan yang mendalam di hati setiap pendengar apatah lagi dalam situasi kini. Saat sukar dalam bulan Ramadan  yang dihadapi oleh masyarakat yang terpaksa berhadapan dengan masalah seperti kehilangan sumber pendapatan gara-gara pendemik COVID-19 yang mengancam kehidupan masyarakat sejagat.

Apa yang perlu dilakukan oleh setiap individu adalah kembali kepada fitrahnya. Iaitu kembali mengingati Allah S.W.T dan mengambil peluang duduk di rumah ini untuk melakukan amal ibadat dengan lebih tenang. Antara amalan yang boleh dilakukan termasuklah melakukan solat lima waktu secara berjemaah, solat terawih berjemaah di rumah, membaca Al-Quran dan sebagainya. Inilah masa terbaik untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.

Bagi memastikan mesej yang disampaikan di dalam lagu tersebut ‘melekat’ di hati para pendengar, Alf menampilkan elemen segar dengan sentuhan tersendiri bagi menaikkan lagi keindahan lagu yang mempunyai maksud yang cukup mendalam. Suntikan bunyi  dari setiap peralatan muzik yang digunakan di dalam arrangement

baharu lagu tersebut membawa maksud tersendiri.

“Melodi asal Damba CintaMu menggunakan elemen ‘acapella’ sejujurnya sudah cukup indah. Bagaimanapun, untuk memberi impak lebih kuat, saya bersama band The Locos memberi elemen pembaharuan terhadap susunan muzik kali ini. Alif sendiri sudah lama bercita-cita untuk merakamkan lagu ini. Alhamdulillah segala perancangan dipermudahkan olehNya”, ujar Alif melalui Instagram miliknya @alifsatar.

Damba Cinta Mu

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah, kejahilan hambaMu
Kusering melanggar laranganmu
Dalam sedar ataupun tidak
Kusering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagiku ingat petang ku alpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku Kau pimpinlah
Diri ini Yang mendamba cintaMu
Aku lemah Aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Ku sering berjanji depanMu
Sering jua kumemungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Bilakah diri ini kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi ku ingat petang ku alpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku, kau pimpilah diri ini
Yang mendamba cintaMu
Aku lemah aku…

Melengkapkan elemen menyentuh kalbu melalui kolaborasi ini apabila video lirik lagu turut menerima sentuhan Neelofa untuk turut serta dalam pembikinan video lirik lagu tersebut. Buah tangan sulung syarikat milik Alif, ASET Records Sdn Bhd mencipta fenomena tersendiri apabila melihat bagaimana seorang hamba Allah menangis di sejadah tatkala merasakan betapa kerdilnya dirinya tatkala berhadapan dengan Allah S.W.T.

Ditambah dengan ekspresi Neelofa yang memberi sepenuh jiwa membawakan watak yang sememangnya dekat di hati setiap insan yang bergelar hambaNya.
Semoga Ramadan tahun ini menjadikan setiap hambaNya lebih bertaqwa kepadaNya dan rebutlah segala kenikmatan Ramadan tahun ini dengan melakukan pelbagai amal ibadat. InsyaAllah.

 

 

IKLAN
Share