Jenama fesyen LILIT. baru-baru ini hadir dengan koleksi terbaharu yang pastinya menjadi pilihan wanita yang gemarkan gaya yang santai dan selesa. Kali ini, jenama fesyen tersebut bekerjasama dengan Bingka KL, jenama yang terkenal dengan kemodenan nostalgia yang berteraskan budaya Malaysia.
Vivy Yusof bersama Adrihana (kiri) pengasas jenama Bingka
Menariknya, kolaborasi unik ini menghimpunkan nostalgia kontemporari Bingka yang berbeza pendekatan dengan komitmen LILIT. terhadap fesyen sederhana yang inklusif, menghasilkan koleksi yang bukan sahaja pakaian, tetapi naratif budaya. LILIT. x Bingka Comeback Setadalah bukti rekaan memukau kerana memberi tumpuan daripada dua bahasa reka bentuk yang berbeza bagi kedua-dua jenama tempatan.
Koleksi ini telah menyerlahkan kesederhanaan dan keterangkuman, sambil menggabungkan Bingka dengan lancar bermotifkan nostalgia. Mereka telah memperkenalkan Set Comeback dengan tiga warna yang menawan iaitu navy blue, nude dan olive green. Ia juga dilengkapi dengan Beg Tote Bingka yang serba boleh dan pastinya menjadi pilihan untuk kegunaan harian.
Kerjasama ini sekali gus telah merapatkan jurang antara generasi dan budaya dengan memelihara dan mempromosikan tradisi Malaysia.
Ads
Menurut Pengarah Kumpulan FashionValet, Vivy Yusof berkata mereka percaya bahawa koleksi di LILIT. direka dengan teliti untuk memenuhi keperluan semua wanita dengan menampilkan pelbagai saiz daripada XXS (UK4) hingga 5XL (UK22).
“LILIT. merupakan jenama yang sentiasa menyokong jenama tempatan. Koleksi ini sekarang tersedia untuk pembelian di semua LILIT. kedai dan melalui laman web rasminya. Harga untuk koleksi ini antara RM129 hingga RM169,” katanya.
Ads
Pengasas Bersama Bingka KL, Adrihana Rashid pula berkata mereka benar-benar mahu merapatkan jurang antara nostalgia dan budaya Malaysia.
“Seperti yang anda lihat, kita semua tidak berkain batik atau songket, melalui rekaan Bingka kami mahu mempunyai reka bentuk dan ilustrasi setiap hari, supaya semua orang boleh merasa keunikan Malaysia,” katanya.
Majlis pelancaran kolaborasi ini telah berlangsung di Bangsar Village 2 dan dihadiri beberapa selebriti antaranya termasuklah Ili Sulaiman, Anis Kiss dan beberapa pempengaruh media sosial yang lain.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan peminat seni tanah air, Amira Othman selamat melahirkan cahaya mata sulung pada petang 23 Jun lepas. Perkhabaran gembira tersebut diumumkan Fattah Amin di media sosial miliknya baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut, bintang filem Mat Kilau berkenaan memuat naik foto dirinya sedang mendukung bayi lelaki. Selain satu lagi foto yang memaparkan bayi mereka dengan selimut tertera nama Jarir Umar.
Bagaimana pun, pasangan suami isteri romantis ini belum bersedia mendedahkan wajah cahaya mata mereka kepada umum.
Kongsi Fattah Amin, “Ahlan Wasahlan Muhammad Jarir Umar bin Abdul Fattah. Alhamdulillah isteri saya Nadia Amira binti Othman selamat melahirkan baby kami jam 6.20 petang semalam (23 Jun).
Terima kasih pada yang mendoakan. Semoga Jarir menjadi anak yang soleh penyejuk hati Mommy dan Daddy.”
Sementara itu, pelantun lagu Dalam Sujudku tersebut tidak ketinggalan menitipkan rasa syukur dan terima kasih terhadap suami tercinta yang menjaga dirinya dengan baik sepanjang kehamilan hingga selamat bersalin.
Amira Othman menerusi perkongsian di Instagram Story (IG Story) memberitahu, “Thank you suami saya tolong macam-macam selama mengandung, selama bersalin, selama berperang nyawa keluarkan Jarir. Moga Allah ganjarkan syurga untuk suami saya.”
Mengimbas kembali tempoh mengandung, Pengasas Emiera ini memaklumkan kepada khalayak mengenai kehamilan anak sulung pada hujung April lalu. Waktu itu usia kandungannya sudah mencecah tujuh bulan.
Khabarnya keakraban Amira dan Fattah mula terjalin ketika kedua-duanya dilantik sebagai Duta Jakel 2023. Seterusnya menjadi duta bagi produk kecantikan dan kesihatan Rissa Skin.
Pasangan selebriti sama cantik sama padan ini memilih tarikh 14 September 2025 sebagai hari ijab kabul mereka dengan mengangkat tema Setulus Takdir Fattah Amin dan Amira Othman yang juga merupakan hari lahir ke-35 Fattah.
Terdahulu, Fattah Amin mempunyai seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya berumur enam tahun hasil perkahwinannya dengan aktres dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin.
Semoga kehadiran Muhammad Jarir Umar menyerikan lagi rumah tangga Amira dan Fattah di samping ikatan perkahwinan yang dibina sentiasa dalam keberkatan Allah SWT.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bait-bait lagu Tan Sri P Ramlee menyergah petang yang damai, “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa, hampa”. Ahh, rindu aku pada Zaleha, aku rindukan gelak tawanya, gurau sendanya, lebih-lebih lagi keletah manjanya. Masih aku ingat saat perkenalan kami di rumah terbuka seorang teman. Dia kelihatan begitu anggun berbaju kebaya merah, rambutnya yang diikat rapi menyerlahkan lagi wajah mulusnya. “Cantiknya dia ni.” getus hati kecil ku. Siapa sangka perkenalan kami di situ membawa aku ke mahligai cinta. Saat awal perkahwinan semuanya indah, namun satu perkara yang aku tidak pernah tahu tentang dia, kompetitif! Suka membanding-bandingkan. Lama aku bersabar dengan sikapnya yang tidak suka kalah dari segala segi, penampilan, gaya dan apa sahaja yang dilakukan. Kesabaran aku sampai ke kemuncak dan aku menangis saat jatuhnya talak! Allahuakbar!
Segala-galanya bermula Ramadan tahun lalu, satu bulan yang amat aku nanti-nantikan. Umat Islam menadah syukur kerana dipertemukan dengan bulan penuh keberkatan ini. Aku? Bukan bulan biasa, bulan ini memberi aku satu ujian yang maha besar. Tibanya Ramadan, Zaleha bukan sibuk menggandakan ibadah, puas aku mengajaknya ke masjid namun ditolak mentah-mentah. “Alah abang malaslah saya nak pergi masjid, abang pergilah seorang. Bukannya saya ada kawan pun kat masjid tu. Saya solat kat rumah je.” Ujar Zaleha.
Bak kata lirik, kerana sayang aku turutkan, itulah aku. Namun jika ada majlis di masjid, Zalehalah yang paling berkobar-kobar, namun bukan kerana ibadah, semuanya untuk menunjuk-nunjuk juadah yang disediakan, segala-galanya over the top. Dari baju ke persalinan sembahyang semuanya berlebih. Bila ditegur dia melenting. “Alah abang ni, saya pakai cantik-cantik buat makanan yang mahal-mahal nak hidang ni abang juga yang bangga, orang puji saya.” Rungut Zaleha. Sayang, tahukah engkau aku mahu engkau seperti isteri-isteri yang lain, bersederhana dari segala segi. Tahukah engkau ramai yang merungut dan meluat dengan sikap mu yang suka menunjuk-nunjuk?
Semakin hampir dengan Ramadan, satu perkhabaran buruk singgah di meja. Syarikat mengalami masalah kewangan dan perlu ditutup. Satu perkara yang tidak aku sangka akan terjadi sebelum tibanya hari lebaran. Pulang ke rumah, aku khabarkan perkara ini kepada Zaleha. “Sayang, I just lost my job, everybody in my company. Syarikat I akan ditutup.” Luah aku pada Zaleha, mengharap suntikan semangat darinya. “What? U kene berhenti? Habis tu macam mana? Ehh kita ada duit lagikan? Siapa nak beli barang-barang persiapan raya. U jangan buat hal. Tahun ni I nak buat rumah terbuka besar-besaran. I dah bagi tahu kawan-kawan I semua tau!” Tegas Zaleha.
Tersentak jantung mendengar kata-kata Zaleha, bukannya tiupan semangat yang aku peroleh, malah amaran pula yang aku terima. Aku menerangkan kepada Zaleha, jangan risau kerana masih punya simpanan, namun harus berjaga-jaga kerana sekarang aku menganggur dan bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman yang mana ekonomi tidak menentu.
Lebaran hampir tiba, Zaleha hampir setiap hari keluar mencari barangan untuk rumah terbuka. Dengan hiasan rumah baru, tempahan perabot baru. Aku bertanya, “Sayang, kenapa membazir sangat, kan masih elok semua barang-barang yang sedia ada?” Dia hanya menjawab “Abang, saya guna duit saya tau, nak harapkan abang tak merasalah saya nak buat rumah terbuka besar-besaran. Dah la tu, bila saya suruh keluarkan wang simpanan abang tak mahu. Jadi jangan ambil tahu mana saya dapat duit ini semua.” Ya, semestinya itu duit yang aku berikan setiap bulan sebagai duit poket mu.
Lebaran tahun ini di sambut meriah di kampung, tiba sahaja hari kedua, Zaleha tidak senang duduk. Dia mahu pulang cepat ke rumah bagi menyiapkan persiapan rumah terbuka impiannya. ‘’Sayang, I tak puas lagi beraya kat kampung,” ujar ku kepada Zaleha. “Eh abang ni, macam budak kecil, lain kali kita balik lah lagi.. Lagipun dah rimas dah saya kat kampung ni. Saya nak balik, nak siapkan segalanya untuk rumah terbuka kita,” bebel Zaleha.
Tiba hari rumah terbuka, khemah dipasang seperti kenduri. Zaleha menjemput rakan-rakannya yang terdiri daripada kalangan VIP. Memang segala-galanya sempurna, hidangan yang begitu panjang mengalahkan bufet di hotel. Hati sedikit hairan memikirkan bagaimana Zaleha boleh mengadakan majlis sebesar ini. “Banyak sangat ke duit yang aku berikan setiap bulan sampai boleh buat majlis besar seperti kenduri?” Zaleha begitu bangga mendabik dada, bermegah-megah dengan teman-temannya yang kagum dengan majlis yang diadakan.
Aku tahu, Zaleha mahu menunjuk kepada teman-temannya yang rata-rata anak-anak orang kenamaan. Usai majlis aku sekali lagi bertanya lembut kepada Zaleha, “Sayang boleh abang tanya? Banyak sangat ke duit yang sayang simpan sampai boleh buat rumah terbuka macam kenduri ni? Paling tak makan belanja dua puluh ribu ni.” Zaleha hanya menjawab ringkas, “Alah abang, abang tak tengok ke semua orang kagum dengan kita? Maruah kita juga yang jadi tinggi kan? Kalau saya ambil duit abang pun tak salahkan? Bukannya habis pun!” Aku hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata sinis isteri ku itu.
Hujung bulan tiba, seperti biasa bil-bil mendatang dan aku terkejut melihat bil kad kredit yang melambung tinggi. Bulan lepas penggunaan mencecah 22 ribu ringgit!! Mata aku seakan berpinar dan terkejut, tidak pernah aku menggunakannya seperti itu. Lantas aku teringat kata-kata Zaleha. Aku seperti orang gila dan terus menyergah isteriku itu, “Leha, u guna kad kredit I untuk rumah terbuka?” Dia hanya menjawab selamba, “Eh, salah ke saya nak guna, sayakan isteri abang! Lagipun abang dah ada kerja kan.. Bayar je la!”
Saat itu tahap kesabaran telah meninggi dan dengan lancarnya mulut ini berkata “ Zaleha binti Zaidi, aku ceraikan engkau dengan talak satu!” Saat itu wajah Zaleha berubah dan dia terjelepok ke lantai seperti orang meroyan. “Abang gila ke ceraikan saya, mana saya nak pergi. Saya sayangkan abang!!”
Sayang-sayang buah kepayang, tidak akan aku makan Zaleha. Aku berlalu pergi meninggalkan rumah demi mencari kedamaian. Kini lebaran tiba lagi, dan aku pasti teringat peristiwa itu. Dengarnya Zaleha ligat mencari kekasih baru, tetapi sayang semuanya tidak setia padanya. Selamat tinggal Zaleha, semoga Allah memelihara kesejahteraan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat ke Singapura bagi memulakan lawatan negara sehingga Jumaat ini.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada kira-kira 9.45 pagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua.
Turut hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Sebelum berangkat, Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.
Keberangkatan Seri Paduka berdua akan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan pegawai daripada Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, lawatan negara itu dijadualkan berlangsung pada September lepas tetapi ditangguhkan susulan lawatan khas Seri Paduka berdua ke London, United Kingdom pada 16 hingga 21 September lepas bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara Ratu Elizabeth II.
Dalam rangka lawatan ke Singapura, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berdua dijadual berangkat melawat Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada sebelah petang hari ini.
Pada keesokannya, Seri Paduka berdua dijadual menerima menghadap Perdana Menteri, Singapura Lee Hsien Long dan isteri di Shangri-La Hotel Singapura, disusuli dengan majlis santapan tengah hari.
“Pertemuan ini merupakan kali kedua antara kedua-dua pemimpin dengan pertemuan kali pertama ketika Seri Paduka berangkat menyaksikan Formula 1 Singapore Grand Prix 2022 pada 2 Oktober 2022, atas persilaan rasmi Hsien Long.
“Pada 5 petang hari yang sama, Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke Majlis Sambutan Negara di The Istana, Orchard Road,” katanya.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka berdua turut dijadualkan melakukan pertemuan dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob, disusuli dengan Majlis Santapan Negara.
“Pertemuan ini juga merupakan yang kedua antara kedua-dua pemimpin. Pada 18 September 2022, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Halimah di London, United Kingdom.
“Pada ketika itu, kedua-dua pemimpin berada di London bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara mendiang Baginda Ratu Elizabeth Il,” katanya.
Pada Khamis (27 Oktober), Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat melawat loji NEWater, disusuli dengan lawatan ke Kem Latihan Komando di Pasir Ris manakala Raja Permaisuri Agong dijadual melawat, antaranya National Library dan National Museum of Singapore.
“Pada sebelah malam hari yang sama, Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke majlis santapan malam dan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.
“Seri Paduka berdua dijadual mengakhiri lawatan negara ini dan berangkat pulang ke tanah air pada 28 Oktober (Jumaat),” katanya.
Ahmad Fadil berkata, lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat dan istimewa di antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas.
Dari segi dagangan dua hala, dari Januari hingga Ogos 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan Singapura ialah sebanyak AS$55.77 bilion, iaitu 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia, menjadikan Singapura sebagai rakan dagangan kedua terbesar Malaysia selepas China.
Singapura merupakan destinasi kedua terbesar eksport Malaysia selepas China dengan nilai AS$34.51 bilion. Singapura juga sumber kedua terbesar import Malaysia selepas China dengan nilai AS$21.26 bilion.
Sumber & Kredit Foto: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!