Kreatif! Dato’ SRK Guna Filem ‘Hit’nya Buat Orang Faham COVID-19, “Insya-Allah Kita Boleh Atasinya,”

Penularan pandemik COVID-19 telah merebak ke serata pelosok dunia. Jumlah terkini mangsa pandemik yang bermula dari negara China ini telah melebihi 500,000 orang di seluruh dunia. Kini mangsa tertinggi adalah dari Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Raja Bollywood, Dato’ Shah Rukh Khan wajar menerima pujian apabila tampil dengan cara dan gaya yang tersendiri untuk menyampaikan langkah pencegahan bahaya COVID-19 kepada seluruh peminatnya terutama di India.

Menariknya, suami kepada Gauri Khan ini telah menggabungkan beberapa adegan ikonik filem lakonannya seperti Baazigar, Raaes, Main Hoon Naa dan banyak lagi. Dato’ Shah Rukh Khan telah menggunakan gaya yang unik ini untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya COVID-19 dan apa yang boleh dilakukan untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini.

Dalam video berdurasi 5 minit itu Dato’ Shah Rukh Khan menegaskan “Pakai topeng muka jika anda telah dijangkiti COVID-19 atau menunjukkan sebarang simptom telah dijangkiti atau anda menjaga seseorang yang menderita kerana virus tersebut. Pastikan menggunakan topeng muka surgikal yang diiktiraf,” kata hero filem Dilwali yang bergandingan dengan Kajol ini.

Dato’ Shah Rukh Khan juga sempat berpesan kepada orang ramai agar pandai memilih maklumat yang benar dan jangan mudah percaya apa lagi menyebarkan berita palsu. “Tolong hanya terima informasi yang betul terutama daripada kerajaan tempatan.

Be safe and be healthy. Saya berdoa untuk anda dan keluarga tersayang agar terhindar dari jangkitan ini dan tolong doakan juga untuk saya dan keluarga,” kata pelakon utama filem Mohabbatein ini.

Akhir sekali kata Dato’ Shah Rukh Khan, “Insya-Allah kita boleh mengatasinya,” sambil memetik gitar.

IKLAN
Share