Dua tahun lalu, penulis bertemu Khatijah, seorang balu yang mempunyai empat orang anak. Suami yang menjadi tempatnya bergantung hidup baru saja diambil Allah.
Penyakit kulit yang serius dihadapi arwah ditanggung selama hampir tiga tahun, memberikan Khatijah satu tamparan hebat kerana dia terpaksa bekerja lebih kuat untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Namun, Allah lebih mengasihi arwah. Kehidupan Khatijah diteruskan dengan pelbagai ranjau. Khatijah hilang arah kerana dia tidak tahu bagaimana harus memulakan kehidupan tanpa seorang suami di sisi.
Dia hilang tempat mengadu dan lebih menyakitkan, keluarga mertua menyalahkannya kerana tidak pandai menjaga suami. “Akak hidup dengan anak-anak saja. Rumah ini adalah peninggalan arwah ibu akak tetapi rumah ini pun satu isu juga.
Ia bukan milik akak seorang kerana rumah ini sepatutnya hak adik-beradik lain juga. Selepas ibu meninggal dunia, adik-beradik lain datang dan maki hamun akak, kata akak menumpang.
Kalau nak pindah pun, akak tidak ada duit. Sedangkan untuk makan kami anak-beranak pun kais pagi makan pagi, inikan pula hendak pindah rumah. Akak nak ke mana?”
Pahit untuk menelan kisah Khatijah. Harta pusaka, jika tidak diwasiatkan pasti akan mencetus huru-hara dalam keluarga. Adik-beradik pun boleh berbunuhan!
Baru-baru ini penulis ke kediamannya untuk bertanya khabar. Ya Allah, rumahnya dipenuhi besi-besi buruk! Anak-anaknya pula comot menyambut kedatangan saya.
Tetapi, ada dua orang kanak-kanak lebih kurang usia setahun dan beberapa bulan memeluk erat Khatijah. “Ini anak akak. Tahun lepas akak kahwin dengan abang Udin. Masa akak dalam kesusahan, akak kutip sampah di merata-rata tempat termasuklah kedai besi abang Udin.
Ads
Lama-lama kenal, akak pun pinjam duit abang Udin buat beli makanan. Dari situlah abang Udin sudi terima akak sebagai isteri. Mujur abang Udin ada kerana dialah yang banyak ajar akak soal agama.”
Wajah Khatijah seakan tersenyum tetapi senyuman itu penuh maksud tersirat. Matanya melirik ke arah suami yang duduk bersama-sama kami di ruang tamu.
Banyak yang kami bualkan. Hidup Khatijah lebih teruk dari sewaktu arwah suaminya masih ada. Pelik juga kerana dia kini sudah ada pengganti, seorang suami yang sepatutnya menjadi pelengkap kehidupan.
Entah kenapa Khatijah mengajak saya ke tempat yang biasa dia mengutip sampah. Dengan rela hati, kami berdua ke sana, anak-anak ditinggalkan bersama suaminya di rumah.
Sebaik kereta melepasi kawasan perumahannya, Khatijah tiba-tiba terus menangis.
Ads
“Akak dah tak sanggup macam ni dik. Akak tak tahu apa status akak dengan abang Udin. Ini kali kedua akak rasa susah. Akak pernah gantung diri pada kipas sebab dah tak tahan dengan semua ni!” jerit Khatijah.
Panik juga dibuatnya kerana baru sahaja sebentar tadi Khatijah seronok bercerita kisah anak-anaknya.
“Akak terima duit bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa bantuan lain lagi. Tapi, duit anak-anak untuk kegunaan sekolah semuanya habis dikerjakan abang Udin.
Dik, kamu tahu tak, sebelum mak meninggal abang Udin bawa kami ke sebuah rumah, kononnya untuk bernikah. Tetapi rumah itu adalah rumah kongsi pendatang asing! Dia tipu akak dik. Sijil nikah pun kami tak ada!” ujarnya.
Masya Allah! Maknanya selama ini Khatijah bersekedudukan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Lebih dahsyat, dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan abang Udin bukan anak sah taraf?
Ads
Tidak sanggup lagi saya membiarkan otak ini ligat berfikir kerana segala-galanya membawa kepada tanggapan negatif sahaja. Khatijah memang lurus orangnya. Mungkin kerana tidak berpelajaran tinggi menyebabkan dia hanya terima bulat-bulat penipuan seorang lelaki.
Menurut Khatijah, hasil daripada dia mengutip sampah di tepi jalan untuk dijual tidak sampai ke tangan. Apa sahaja yang ditemui, kicap yang sudah tamat tarikh luput, jem dan air botol antara barang-barang yang dibawa pulang untuk dimakan bersama anak-anak walaupun sudah melebihi tarikh luput!
“Akak pernah cuba gantung diri kerana terlalu tertekan. Tetapi abang Udin sempat selamatkan akak. Kamu tahu kenapa? Dia balik ke sini semata-mata untuk mengadakan hubungan seks sedangkan dia mempunyai isteri lain! Kononnya nak kahwin untuk membantu akak tetapi tidak lama selepas berkahwin, dia jatuh bankrap.
Dia ambil duit belanja anak-anak dan duit hasil jualan sampah-sarap yang akak kutip kononnya dia akan bayar nanti. Tapi sebenarnya dia penipu!” keluh Khatijah.
Memang benar, abang Udin hanya mempergunakan Khatijah. Dia sendiri akui. Dia tiba di kawasan pengumpulan sampah dan hanya duduk di dalam kereta. Dia langsung tidak membantu Khatijah mengutip sampah kerana baginya, dia hanya ‘membantu’ Khatijah.
Kehadiran dia di rumah ini pada hari itu juga hanya untuk berlakon dan memastikan Khatijah tidak ‘buka mulut’. Hidup Khatijah seperti keluar dari mulut buaya dan masuk mulut naga.
Penulis berdoa agar Khatijah dapat melarikan diri daripada abang Udin kerana tidak mahu dia terus diselubungi dosa.
Beberapa pihak telah kami temui untuk membawa Khatijah jauh dari sini. Insiden Khatijah dipukul abang Udin gara-gara Khatijah cuba melarikan anak-anaknya sungguh terkesan di hati. Semoga ada sinar dalam hidup Khatijah selepas ini. KR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Oh, rupa-rupanya tokoh seni Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad penyokong setia kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Menjenguk entri anak saudara kepada Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Atai, artikel Datuk Sudirman tentang Tun Mahathir selain helaian surat yang pernah diutuskan Tun Mahathir kepada Allahyarham turut dikongsikan di Facebook Atai dan Facebook rasmi Datuk Sudirman Haji Arshad.
Atai atau nama sebenarnya Razman Azrai Dato’ Zainudin merupakan anak saudara Allahyarham. Ketika era kegemilangan Sudirman sebagai penghibur nasional, Atai pernah menerbitkan album solo pertamanya iaitu SAHABAT pada tahun 1987 yang diterbitkan sendiri oleh Allahyarham bersama Jenny Chin di bawah label Sudirman Production Sdn Bhd.
Atai ketika membuat persembahan bersama beberapa penyanyi tanah air
Atai juga sering mengiringi bapa saudaranya membuat persembahan pentas dan pernah menjadi pengacara bersama Sudirman untuk program terbitan RTM iaitu Keluarga Bahagia Singer pada tahun 1987.
Mengamati kembali penulisan Allahyarham Datuk Sudirman di dalam sebuah akhbar pada tahun 1990, beliau menjelaskan beberapa perkara yang membuatkannya suka Tun Dr Mahathir. Antara ruangan artikel Sudirman Haji Arshad Menulis… ini jawapan jujurnya.
“Sebenarnya Perdana Menteri (PM) merupakan sumber inspirasi segala pencapaian saya selama ini. Dan inspirasi ini saya sandarkan kepada tiga aspek mudah yang saya lihat tersemat dalam perjuangan Dr Mahathir. Tiga aspek itu ialah vision atau pandangan jauh ke depan yang menuju ke suatu matlamat, perancangan yang bijak dan usaha yang gigih sebagai daya penggerak serta kesabaran dan ketegasan sebagai benteng perjuangan.
Dr Mahathir juga seorang pemimpin yang telah berkali-kali membuktikan betapa tingginya nilai kesabaran dan ketabahan ketika menghadapi dugaan. Inilah faktor yang paling meruntunkan sanubari saya. Dr Mahathir tidak akan menentang sesiapa yang bulan lawannya. Caranya ialah cara seorang ‘political genius’. Dr Mahathir boleh mengubah keadaan dengan senyuman kerana yang bekerja ialah pemikirannya.”
Itu pandangan telus Allahyarham hampir 3 dekad dulu dan apa yang diperkatakan itu nyata mencerminkan mengapa Tun Dr Mahathir Mohamad boleh kembali bergelar Perdana Menteri buat kali kedua semalam.
Karya Allahyarham Datuk Sudirman
Helaian surat Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah yang tersimpan kemas juga membuktikan betapa kedua-duanya saling mengagumi. Tidak cukup dengan itu, Allahyarham juga pernah menghasilkan karikatur Tun M dan isteri. Memang kreatif betul insan bernama Sudirman Haji Arshad. Teringat lagi menjelang hari kemerdekaan, beliau antara anak seni yang bersungguh-sungguh meraikan hari kebebasan Malaysia.
Moga bakat dan kejayaan Allahyarham Sudirman Haji Arshad terus subur serta menjadi inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia. Juga, rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bermula petang tadi kelihatan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berpusu-pusu menyeberangi Tambak Johor ekoran implikasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia mulai 18hb Mac hingga 31hb Mac 2020.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengisytiharkan bahawa Malaysia mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18hb Mac hingga 31hb Mac 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19. Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu yang diumumkan Perdana Menteri secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial pada pukul 10.00 malam.
Menerusi perkongsian Khaty Ahmad Feraal, seorang warganegara Malaysia yang setiap hari ulang alik ke Singapura untuk bekerja ini, kelihatan ramai rakyat Malaysia tidak sanggup lewat tiba di Singapura telah mengambil keputusan berjalan kaki sambil mengusung beg pakaian menyeberangi Tambak Johor. Ini berlaku ekoran kesesakan yang luar biasa di sana.
Khaty Ahmad Feraal
Kongsi wanita yang bekerja di sektor perkhidmatan Singapura ini, “Saya dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Johor Bahru tadi. Kelihatan memang ramai yang berjalan kaki tadi untuk menetap di Singapura selama 14 hari.
Mereka mengambil keputusan untuk jalan kaki mungkin sebab jalan raya begitu sesak sehingga langsung tak bergerak. Mungkin mereka takut tak sempat kalau tunggu bas. Sekarang saja dah pukul 8.00 malam,” kongsi wanita ini yang bersyukur apabila syarikatnya membenarkan untuk bekerja dari rumah.
Menurut BERNAMA, majikan di Singapura telah menyediakan penginapan sementara untuk pekerja-pekerja Malaysia. Menteri Perdagangan dan Industri Republik itu, Chan Chun Sing berkata majikan pekerja Malaysia yang perlu menempatkan kakitangan mereka di penginapan sementara itu boleh mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan dan persatuan perdagangan.
Menurut laporan, Chan Chun Sing berkata, Singapura telah membuat pelan luar jangka sekiranya berlaku gangguan bekalan makanan barangan keperluan dari Malaysia. Singapura mempunyai bekalan karbohidrat seperti beras dan mi untuk tempoh melebihi tiga bulan di peringkat nasional.
Sementara itu Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura dalam laman sesawangnya berkata banyak syarikat berusaha untuk menyediakan penginapan kepada pekerja yang sering berulang-alik di antara sempadan Singapura dan Malaysia.
Menurut MOM syarikat juga boleh menggalakkan pekerja terlibat untuk tinggal bersama saudara-mara, rakan-rakan atau kawan sekerja yang sudi menyediakan penginapan kepada mereka untuk sementara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
MasyaAllah, tersentuh melihat keakraban dua rakan selebriti ini di samping keluarga bekas suami. Meskipun Fasha Sandha mahupun Nora Danish bukan lagi menantu kepada Tan Sri Ramli Ngah Talib dan sudah pun berpisah dengan Toh Muda Dato’ Rizal atau lebih dikenali sebagai Jejai namun ukhwah mereka tetap kukuh terpelihara.
Ini terbukti apabila aktres jelita Fasha Sandha berkongsi momen indah tersebut di media sosial. Bukan hanya mengeratkan persaudaraan dalam bulan Ramadan, bahkan keluarga besar Jejai turut meraikan ulang tahun kelahiran ahli keluarga yang menyambutnya pada Mac ini.
Ternyata, kelibat bekas Menteri Besar Perak berkenaan di samping Fasha dan Nora memotong kek hari lahir di rumah agamnya menjadi tumpuan.
Kelihatan ceria diraikan keluarga tersayang, Tan Sri Ramli genap meniti usia 83 tahun pada tanggal 16 Mac lepas. Sementara Nora Danish meraikan hari lahir pada 7 Mac, manakala Fasha Sandha berusia 41 tahun pada 28 Mac.
Terharu menerima layanan baik daripada semua, isteri Aidil Aziz ini meluah rasa syukur. “Syukur alhamdulillah, terima kasih Atok Tah dan family untuk hari ini. Terharu sebab kek pertama saya untuk tahun ni adalah daripada Atok and Tah, lepas tu rasa special sebab dapat sambut dengan Nora sekali.
Happy birthday buat semua awesome March babies too.Thank you for having us untuk setiap acara wajib tahunan. Syukur alhamdulillah.”
Pada majlis itu, seluruh ahli keluarga mengenakan persalinan rona senada merah jambu dan pastel. Jelas terpancar kebahagiaan di antara mereka apabila dapat berkumpul bersama-sama meraikan bulan Ramadan dan hari lahir.
Kehidupan Bahagia Fasha Sandha
Fasha Sandha pernah mendirikan rumah tangga dengan Toh Muda Dato’ Rizal Ashram Ramli pada tahun 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putri Raysha Jemaima dan Putra Rayfal Ramli. Dia kemudian berkahwin dengan pelakon Aidil Aziz dan mempunyai seorang anak perempuan, Aisha Amaira.
Sementara Nora Danish pula bergelar isteri kepada Toh Muda Dato’ Rizal pada tahun 2006 namun berpisah pada tahun 2008. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Putra Rayqal Ramli.
Nora kemudian berkahwin dengan Nedim Nazri dan mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl. Bagaimana pun, mereka bercerai pada Jun 2024.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.