
Isi Kandungan
ToggleCantik dan terpesona melihat kulit Syifa Melvin yang sering menjadi perhatian orang ramai. Siapa sahaja yang tidak mahu mendapatkan kulit yang mulus sepertinya tambahan pula ingin tampak ‘glowing’ dan sihat meskipun sekadar mengenakan solekan minimalis.
Terdahulu, Syifa Melvin juga ada berkongsi cara penjagaan dirinya, dia mendedahkan ‘kunci’ utama dalam rutin kecantikannya agar tampak segar sentiasa adalah hidrasi.
Kulit Yang Kekal Hidrat Terlihat Cantik Dan ‘Fresh’
Ketika ditemu bual, Nur Syifa Athirah binti Amirol Melvin atau lebih dikenali sebagai Syifa Melvin amat pentingkan pengambilan air yang mencukupi buat tubuh badan. Menurutnya, kekal hidrasi banyak membantu bukan sahaja kecantikan malah kesihatan tubuh badan.
“Nak kekal cergas ini mudah untuk kita cakap tetapi susah kita lakukan, iaitu minum air secukupnya.
“Bagi Syifa, bermula dari awal pagi sehingga sebelum tidur adalah masa yang terbaik yang perlu kita manfaatkan minum air masak sekurang-kurangnya lapan gelas sehari untuk memastikan badan mempunyai air yang cukup untuk melembapkan kulit.
“Syifa sendiri boleh alami sakit kepala jika kurang minum air masak. Jadi petua yang penting untuk semua adalah pengambilan air masak yang mencukupi.” ujarnya.
Ikuti Jadual Ini Untuk Minum Air Secukupnya!
Bagi mereka yang tidak tahu bagaimana nak set masa supaya kita mampu mengambil air secukupnya dalam sehari. Ini adalah beberapa cadangan masa yang boleh anda ikuti untuk memastikan badan anda kekal hidrat!
- 1x gelas pada waktu pagi selepas mandi
- 1x gelas sebaik sahaja selesai sarapan pagi
- 1x gelas pada jam 10.00 pagi
- 1x gelas selepas makan tengahari
- 1x gelas sebelum bersenam di waktu petang
- 1x gelas selepas bersenam di waktu petang
- 1x gelas selepas makan malam
- 1x gelas sebelum tidur
Untuk lebih mudah anda boleh sediakan gelas dan satu botol air tidak kira berapa liter bersama dengan anda. Jika sudah tiba masanya, anda boleh sahaja terus minum tanpa perlu melengahkan masa.
Sekadar info, Syifa Melvin telah selamat diijabkabulkan bersama Pemain Bola Sepak Sayap JDT, Safawi Rasid hanya dengan sekali lafaz sahaja pada 28 November 2022.
Hasil perkongsian hidup selama empat tahun perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Foto: Instagram Syifa Melvin
Rai Ejen Di Janda Baik, NAJEEHAH Sasar Untung RM30 Juta Tahun Ini

Selepas lima tahun di pasaran, jenama syarikat Bumiputera yang mengeluar dan mengedar produk berasaskan kesihatan dan kecantikan, Najeehah terus membantu meningkatkan taraf hidup ejennya.
Berdaftar di bawah syarikat Najeehah International Sdn Bhd, jenama milik Rosliza Yaziz yang berpangkalan di Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan ini mempunyai sekitar 17,000 pengedar sah.
Tahun lalu saja, jenama berkenaan turut berbangga kerana mampu melahirkan dua orang pengedar hingga bergelar jutawan. Malah baru-baru ini selama tiga hari dari 13 hingga 15 Mac lalu, Najeehah berjaya menganjurkan dua acara gilang gemilang di Villa Nadiah, Janda Baik, Pahang bagi merai dan menghargai pengedar yang bekerja keras menaikkan jenama.
“Sejak tahun 2018, kami berbangga menerusi rangkaian produk dijual, kami mampu wujudkan platform untuk pengedar meningkatkan taraf hidup.
“Rata-rata mereka bermula sebagai pengguna dan berstatus suri rumah. Syukur, asbab berniaga produk ini, kehidupan mereka jadi lebih baik.
“Insya-Allah, kongsi rezeki serta misi dan visi itu yang kami mahukan sedari dulu lagi,” katanya.
Kata Rosliza yang mesra disapa Madam Rosliza, dua acara dianjurkan juga bertujuan mengeratkan ukhuwah.
“Untuk acara pertama dipanggil Inner Circle Najeehah, kita kumpul sekitar 50 orang. Mereka ini antara keyleaders atau pengedar yang berjaya meraih jualan lebih RM100,000 setahun.
“Pelbagai pengisian diadakan dalam usaha menaikkan semangat dan menyuntik motivasi buat mereka untuk terus mencipta jaya.
“Seterusnya, kemuncak acara ialah ‘Gala Night’ bertemakan Bollywood membabitkan penghargaan untuk 100 orang pengedar rasmi kami yang terus optimis dan tanpa jemu menjana pendapatan,” katanya.
Jenama ini asalnya menjual minyak aromaterapi sahaja pada 2018 dan kemudiannya mencambahkan rangkaian jualan produk lain.
“Terdapat empat kategori produk kami jual iaitu berasaskan minyak seperti Minyak Aromaterapi dan Balsam Aromaterapi daripada ekstrak Bidara serta Saffron.
“Kedua, tiga dalam satu (3 in 1) pula menfokus jualan Kopi Bidara, Susu Kambing Saffon, Coconest oat dan barli, Pes Tomyam, Pes Ayam Madu dan Pes Ayam Bakar.
“Ketiga, penjagaan kulit menerusi sabun wajah, mandian&syampu 2in1Head To Toe dan losyen badan. Terakhir, kosmetik menerusi lipstik atau gincu Shearose,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran jualan tahun ini, Madam Rosliza mensasarkan purata jualan lebih RM700,000 sebulan.
“Sasaran Najeehah pada tahun 2023 adalah sebanyak RM30 juta,” katanya.
Mengenai perancangan dan strategi pula, Madam Rosliza mensasarkan penggunaan platform digital dan teknologi sebagai salah satu usaha meningkatkan lagi nama Najeehah di khalayak umum.
Malah Madam Rosliza berkobar-kobar memasang impian untuk terus melahirkan lebih ramai usahawan yang berkualiti di masa akan datang.
“Harapan saya untuk melahirkan usahawan yang berkualiti dan berintegriti serta membuka peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya untuk individu yang mahu merubah masa hadapan.
“Kami akan merancakkan pemasaran seperti mengadakan promosi dan hebahan secara langsung di media sosial. Menyertai karnival jualan secara meluas membabitkan ibu pejabat dan semua pengedar sah.
“Tak lupa, penjualan secara offline di farmasi, kedai dan premis berkaitan juga akan terus diperkasakan dari masa ke semasa. Alhamdulillah, kami juga berjaya melantik pelakon Puteri Sarah Liyana sebagai duta Najeehah,” katanya.
Produk Najeehah telah mendapat pengiktirafan dari National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) bagi kategori Produk Minyak Aromaterapi, Balsam Aromaterapi, Kosmetik dan serta Penjagaan Kulit Wajah.
Minyak telon Najeehah juga berjaya memperolehi pengiktirafan MAL dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selain itu, produk minuman seperti Kopi Bidara dan Susu Kambing Saffron pula telah menerima Anugerah Pensijilan Halal serta pengiktirafan dari ‘The BrandLaureate World Halal BestBrands’.
Minyak Aromaterapi Saffron dan Bidara telah mendapat pensijilan halal dari JAKIM. Tak ketinggalan, Nona Superwoman Award dalam kategori Best Mom’s Choice Award dan Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award.
Awas! Risiko Untuk Diserang Tekanan Darah Tinggi Jika 5 CARA HIDUP SIHAT Ini Diabaikan

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan gangguan kesihatan yang seringkali dipandang mudah.
Tahukah anda, bermula dengan tekanan darah tinggilah anda berisiko untuk menghidapi berbagai jenis penyakit kronik yang lain.
Amalkan 5 cara ini agar anda dapat mencegah tekanan darah tinggi seterusnya mengekalkan cara hidup sihat.
UBAH TABIAT MAKAN
Kurangkan makanan masin atau tinggi natrium seperti makanan segera. Pilih makanan tinggi kandungan kalium seperti kentang, pisang, ikan dan susu bagi membantu menjaga tekanan darah.
Hidangan rendah lemak serta buah, sayuran dan bijirin juga disarankan. Jangan lupa minum air putih secukupnya kerana kekurangan cairan mempengaruhi jumlah natrium dalam badan.
BERSENAMLAH
Mereka yang rajin bersenam, risiko untuk diserang tekanan darah tinggi lebih rendah berbanding mereka yang kurang atau malas bersenam. Tak perlu senaman berat. Memadai dengan melakukan aktiviti berjalan kaki, berjoging atau berbasikal.
Bagi anak-anak atau remaja disarankan untuk bersenam sekitar sejam setiap hari agar kekal cergas dan terhindar daripada tekanan darah tinggi.
JAGA BERAT BADAN IDEAL
Individu yang berlebihan berat badan atau obesiti adalah 2-6 kali berisiko untuk mengalami tekanan darah tinggi. Maka, jagalah berat badan ideal anda sekaligus dapat mengurangkan risiko diserang penyakit lain.
Ubah gaya hidup agar berat badan turun dan berada di angka yang ideal. Kurangkan sekitar 4-5 kg berat badan. Ia sudah cukup untk menurunkan risiko tekanan darah tinggi.
BERHENTI MEROKOK
Tekanan darah tinggi adalah salah satu kesan buruk daripada tabiat merokok. Anda juga berisiko untuk diserang strok dan serangan jantung. Baik lelaki mahupun wanita, segeralah berhenti merokok atau anda akan menyesal di kemudian hari.
KAWAL STRES DENGAN BAIK
Stres boleh mengakibatkan tekanan darah naik hanya dalam tempoh sesaat. Jika anda tidak mengawal stres dengan baik ia akan terus meningkat dan keadaan menjadi lebih buruk.
Saat sedang stress lakukan perkara yang membuatkan anda rasa tenang seperti mendengar muzik atau ke spa.
PEMERIKSAAN TEKANAN DARAH SECARA BERKALA
Dengan cara ini anda dapat mengetahui tahap tekanan darah adakah normal atau sebaliknya. Pemeriksaan boleh dilakukan di rumah atau bertemu dengan doktor.
Jika tekanan darah antara 120-139/80-89 mmHG bermaksud anda mengalami prehipertensi. Keadaan ini mudah menyebabkan terjadinya tekanan darah tinggi. Cegah ia daripada berterusan dengan mengubah gaya hidup sihat di samping menjaga pemakanan.
“Sepanjang PKP Terlalu Kerap Menghadap Gajet, Beri Kesan Pada Kesihatan Mata”-Dr Maimunah Abdul Muna’aim

Mata merupakan organ yang mempunyai keistimewaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Melalui mata, seseorang individu dapat melihat keindahan dunia ciptaan Allah dan sudah sewajarnya deria istimewa ini memerlukan perhatian yang sebaiknya.
Mata sememangnya antara organ kompleks yang cukup besar maknanya kepada setiap manusia. Sejak berzaman, kita mendengar orang menyebut kata indah iaitu ‘dari mata turun ke hati’. Walaupun mata cukup penting, namun ramai yang terlupa beberapa perkara sensitif berkait mata apatah lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, mata terlalu terdedah di skrin komputer, kaca televisyen dan gajet.
NONA mendapatkan pandangan dari Pakar Oftalmologi (MATA) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Maimunah Abdul Muna’aim mengenai penjagaan mata terutamanya di kalangan kanak-kanak di saat mereka lebih banyak menghabiskan masa di hadapan skrin komputer dan laptop sama ada untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mahupun bermain permainan komputer.
DR MAIMUNAH ABDUL MUNAI’AIM
NONA: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai ibu bapa dan anak-anak terdedah pada gajet untuk urusan kerja dan belajar secara online. Apakah kesan jangka pendek dan panjang sekiranya terlalu terdedah di hadapan skrin?
DR MAIMUNAH: Memandangkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pastinya masa perlu di isi dengan aktiviti yang berfaedah. Di zaman berteknologi tinggi sudah pasti anak-anak lebih arif dengan penggunaan gajet. Tugasan yang diberi oleh guru sekolah juga dibuat melalui Google Classroom, kahoot dan aplikasi belajar secara maya. Tidak kurang juga gajet digunakan untuk bermain permainan atas talian dan menonton video. Aktiviti fizikal agak terhad apabila berada di dalam rumah.
Kesan jangka pendek,jika melihat skrin atau melakukan kerja sekolah atau pejabat secara berterusan, anak-anak atau ibubapa itu sendiri akan terdedah dengan gejala “digital eye strain” di mana mereka akan merasa tidak selesa, mata kering dan kesat, mata rasa cepat penat, pedih, berair, penglihatan kabur dan pening. Ini daripada akibat mata kurang berkelip kerana asyik melihat gajet. Selain itu ada sesetengah daripada anak-anak kecil akan kerap mengelipkan mata tanpa disedari untuk menghilangkan rasa tidak selesa itu. Ibu bapa akan mula perasan dengan tabiat mata berkelip itu. Anak-anak juga mudah menjadi agresif jika ibu bapa melarang mereka bermain gajet.
Manakala kesan jangka panjang pula dapat dilihat apabila sepanjang tempoh PKP ibubapa dan anak-anak dikehendaki berada di dalam rumah untuk memutuskan rangkaian Covid 19 ini. Kita dapati penggunaan gajet telah digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding hari biasa. Risiko pada anak-anak kecil jika berada di dalam bangunan untuk jangka waktu yang lama dan kurang pendedahan kepada cahaya matahari akan mengurangkan paras hormon dopamine di dalam saraf retina, dan menyebabkan bola mata membesar dengan tidak terkawal, dan seterusnya menyebabkan rabun jauh.
Kajian mendapati kanak-kanak yang mempunyai rabun jauh mempunyai dopamine yang rendah berbanding kanak-kanak berpenglihatan normal. Dopamine merupakan tindakbalas kimia yang dihasilkan oleh tubuh apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ia didapati bertindak untuk merencatkan proses pemanjangan bola mata yang menjadi antara punca rabun jauh. Selain daripada itu penggunaan gajet juga akan menyebabkan regangan bebola mata turut berlaku apabila proses akomodasi berlaku pada masa yang lama. Ini juga akan menyebabkan pemanjangan bola mata dan menyumbang kepada peningkatan kuasa rabun jauh pada kanak-kanak.
Cahaya biru pada skrin gajet menghasilkan gelombang biru yang bergelombang rendah tetapi bertenaga tinggi. Cahaya biru ini dapat menembusi kornea mata, kanta mata sehingga ke bahagian saraf retina mata. Sekiranya seseorang terdedah terhadap cahaya biru pada skrin gajet secara berterusan dan berpanjangan kajian menunjukkan ia akan memberi kesan jangka panjang yang boleh merosakkan sel saraf mata dan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit degenerasi makula.
NONA: Apakah saranan terbaik untuk ibu bapa had waktu gajet untuk anak-anak?
DR MAIMUNAH:Sebagai ibubapa, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengajar anak-anak mengehadkan waktu bersama gajet. Menurut garis panduan American Academy of Pediatrics 2016, bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah tidak digalakkan mengunakan gajet, bagi umur 2-5 tahun hendaklah di hadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti. Manakala bagi umur 6 tahun ke atas hadkan kepada 2 jam sehari tetapi dengan pengawasan rapi daripada ibu bapa. Tetapkan undang-undang setiap 20 minit untuk berhenti sebelum diberikan gajet kepada anak-anak, boleh setkan loceng ‘alarm’ di telefon bimbit sebagai ingatan untuk berehat, selain itu ibu bapa juga boleh beri ganjaran jika anak-anak mematuhi peraturan.
Bagi memastikan kita menggunakan gajet secara berhemah anda dinasihatkan untuk mengamalkan beberapa amalan ini:
- Peraturan 20/20/20, setiap 20 minit menggunakan gajet, luangkan 20 saat untuk melihat ke luar jendela atau ke arah objek sejauh 20 kaki(6 meter) jaraknya untuk merehatkan otot-otot mata.
- Pastikan cahaya persekitaran yang terang apabila membaca atau menonton televisyen dan juga ketika menggunakan gajet
- Postur yang betul juga amat penting semasa menggunakan gajet, amalkan duduk dalam keadaan tegak dan elakkan berbaring terutamanya baring terlentang ini kerana ia akan menyebabkan otot mata akan bekerja dengan lebih keras, jadi mata akan cepat letih dan mengalami kabur mata secara sementara
- Jarak penggunaan gajet sebaik-baiknya sejauh 30cm ke atas. Jika menonton televisyen pastikan jarak sekurang-kurangnya 2 meter.
Saya sarankan jika anda tinggal di rumah yang ada halaman, supaya galakkan anak-anak bermain atau bersenam ringkas di depan rumah bagi mendedahkan mereka dengan cahaya matahari untuk merangsang hormone dopamine, tapi jangan sampai keluar daripada halaman rumah, bagi yang tinggal di flat atau apartmen anda boleh menikmati cahaya matahari daripada balkoni rumah.
NONA: Pada pandangan Dr,apakah aktiviti yang boleh dilakukan untuk merangsang minda anak-anak kecil dan mengelakkan mereka dari pengaruh gajet?
DR MAIMUNAH: Banyak lagi aktiviti dan perkara yang boleh digunakan untuk mengisi waktu lapang anak kecil selain gajet. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak menentukan alternatif tersebut. Aktiviti mewarna, melukis membina lego, membaca buku antara perkara yang boleh di lakukan bersama-sama. Selain itu bermain monopoly, sahiba dan catur juga boleh merangsang minda anak- anak. Permainan tradisional seperti congkak juga amat digalakkan. Untuk anak-anak yang lebih kecil, bermain “kinetic sand” untuk sensori dan skill sosial adalah bagus untuk perkembangan mereka.
Bagi yang bersekolah rendah, ibu boleh mengajak untuk mencuba resepi baru, masak bersama-sama, kemas rumah bersama-sama.Jika bapa pula boleh mengajak anak bercucuk tanam secara kecil-kecilan contonhya dengan cara hydrophonic, membasuh kereta bersama-sama, bermain ping pong di dalam rumah semasa dalam PKP ini juga amat menyeronokkan. Bagi Muslim pula mungkin boleh bertadarus bersama-sama atau boleh buat cabaran menghafal surah-surah pilihan bersama keluarga.
NONA: Kaum lelaki juga suka melekat bermain permainan Computer Game. Bagaimana nak hadkan masa penggunaan dan cadangan terbaik untuk elak mata dari rosak?
DR MAIMUNAH: Kaum lelaki khususnya para suami seharusnya perlu bijak mengawal diri daripada terus melekat dengan gajet. Mereka perlu mengawal diri untuk tidak terlibat dengan permaianan atas talian yang berunsur keganasan, Selain itu mereka perlu menghindarkan diri daripada membeli permainan atas talian yang dirasakan memberi unsur negatif kepada diri. Mereka harus bijak mengurus masa dengan baik jika mahu terlibat dalam permainan atas talian ini. Para suami boleh berbincang dengan isteri waktu yang sesuai untuk bermain, seelok-eloknya bermain selepas isteri siap kerja rumah kerana suami boleh membantu menjaga anak-anak. Selain itu untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri mungkin kedua-dua boleh bermain bersama-sama jika semua kerja rumah telah siap dan pastikan anak-anak tidak terabai semasa bermain permaianan atas talian ini.
Cara terbaik untuk mengelak mata rosak hendaklah mengamalkan peraturan 20/20/20, menggunakan “filter” sinaran lampu biru, untuk elak rasa tidak selesa titiskan pelembap mata jika merasa mata kering, menjaga pencahayaan semasa bermain dan juga boleh melakukan senaman ringkas pada mata semasa rehat. Di sini ada beberapa teknik senaman mata yang boleh dilakukan.
KEBAIKAN TEKNIK SENAMAN MATA
- Senaman mata dapat membantu menguatkan lagi otot-otot mata secara langsungnya akan membantu meningkatkan daya fokus dan penglihatan
TEKNIK 1-KERDIPAN MATA
- Latihan kerdipan mata – untuk mengurangkan keletihan mata
- Apa yang anda perlu lakukan?
- menutup mata rapat selama 3-4 saat.
- Seterusnya buka mata anda selama 3-4 saat semula.
- Ulang latihan ini selama 7-8 kali setiap kali anda mengalami keletihan mata ketika menggunakan komputer.
TEKNIK 2- TEKNIK ANGKA LAPAN
- Bayangkan terdapat nombor lapan gergasi pada jarak 3m di hadapan kita
- Secara perlahan-lahan, cuba anda ikuti lakaran bayangan angka lapan tersebut
- Lakukan latihan ini pada satu arah untuk beberapa mini (3-5minit) sebelum menukar kepada arah yang bertentangan untuk beberapa minit (3-5minit) juga.
TEKNIK 3- ‘PALMING’
- ‘Palming’- teknik menekup mata :Pastikan anda duduk dengan selesa di hadapan meja dengan siku di atas meja
- Letakkan tengah tapak tangan anda menutupi mata sepenuhnya,
- Pastikan mata anda dapat berkedip tanpa gangguan dan halangan di bawah telapak tangan serta tidak menekan mata dengan kuat.
- Biarkan dalam keadaan begini untuk beberapa minit (3-5 minit).
Teknik 4: Penumpuan dekat dan jauh
- Pegang objek pada jarak 10cm
- Pandang objek selama 2-3 saat
- Alihkan pandangan pada objek 6m di hadapan
- Ulang latihan ini sekurang-kurangnya 10 kali
TEKNIK 5- ZOOMING
- Regangkan tangan sejauh yang boleh dengan tangan digenggam dan ibu jari
- Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibu jari
- Bawa ibu jari anda secara perlahan-lahan menghampiri mata
- Perlahan-lahan gerakkan tangan anda menjauhi mata anda sejauh yang mungkin dan tangan meregang ke sisi.