
Watie Hanifiah Hitung Hari Timang Cahaya Mata
Berseri-seri wajah ibu hamil, Watie Hanifiah! Pastinya isteri Shuib Sepahtu ini teruja dan sedang menghitung hari untuk menyambut kehadiran cahaya mata baharu. Apatah lagi ini adalah kali pertama Watie hamil dan bakal melahirkan anak. Sudah tentu perasaan Watie ketika ini bercampur-baur.
Berita kehamilan Watie Hanifiah berbadan dua mula dihidu warga maya sekitar Oktober 2025 apabila salah satu gambarnya bersama keluarga memperlihatkan baby bump. Menerusi perkongsian terkini Watie di media sosial, usia kandungannya kini memasuki trimester ketiga.
Berkongsi aktiviti harian dengan peminat di Instagram, Watie akui sejak mengandung dia mudah rasa cepat letih. Malah, mengidam masakan pedas.
Melangkah ke tahun baharu, personaliti berusia 38 tahun ini berharap agar kedatangan tahun baharu 2026 memberi kebahagiaan buat dirinya dan menjadi insan lebih baik.
“Dear 2026, semoga menjadi tahun yang indah atau menjadi tahun yang lebih indah seperti tahunku di 2025. Dan semoga ku tetap menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan merasa cukup walau dalam apa keadaan sekalipun.”
Pada Mei 2025, Watie atau nama penuhnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah mengalami keguguran. Namun dia mahupun Shuib enggan mengulas lanjut mengenai khabar tersebut kepada umum dan reda dengan ketentuan ilahi.
Syukur kepada Allah, tahun ini Watie sekali lagi dikurniakan rezeki untuk hamil dan semoga kandungannya berada dalam keadaan sihat menjelang kelahiran kelak.
Watie Hanifiah sah bergelar isteri Shuib pada 23 Jun 2023. Terdahulu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dan dikurniakan empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.
This website uses cookies.