
Masoud Pezeshkian, Presiden Iran Berani, Tegas & Bapa Penyayang!
Bertuah rakyat Iran memiliki pemimpin berkaliber dan tegas mempertahankan maruah negara seperti Masoud Pezeshkian. Situasi meruncing yang sedang melanda negara tersebut rentetan serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan sekutunya iaitu negara haram Israel sejak 28 Februari lalu meraih perhatian meluas di seluruh dunia.
Tindakan ganas Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran jelas membuktikan kedua-duanya melanggar hak asasi antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara. Seterusnya mencetus eskalasi lebih besar.
Meskipun Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terkorban akibat serangan itu namun Presidennya iaitu Masoud Pezeshkian tidak gentar dan berdiri teguh menjaga keselamatan negara tercinta bersama rakyat.
Apatah lagi, dia merupakan veteran tentera yang terlibat dengan perang Iran-Iraq sekitar tahun 1980 hingga 1988.
Memetik laporan United Against Nuclear Iran, Masoud bertanggungjawab menghantar pasukan perubatan ke barisan hadapan dan pada masa sama memegang kedua-dua jawatan tempur dan perubatan.
Kerjaya politik Masoud Pezeshkian bermula semasa dia menyertai pentadbiran Presiden Mohammad Khatami sebagai Timbalan Menteri Kesihatan pada 1997. Dia kemudian dilantik memegang jawatan Menteri Kesihatan selama empat tahun dari 2001 hingga 2005.
Beliau seterusnya menjadi Ahli Parlimen Iran sebanyak lima kali mewakili Tabriz. Masoud menyertai Pilihan Raya Presiden pada tahun 2012, 2021 dan buat kali ketiga pada 2024 dan akhirnya menjadi Presiden. Beliau juga fasih bertutur dalam Bahasa Arab dan Inggeris.
Sebelum menceburi arena politik Iran, Masoud merupakan pakar kardiologi. Pengalaman berada dalam bidang ketenteraan menarik minat pemimpin berusia 71 tahun ini untuk menjadi doktor.
Dia dilapor mengikuti jurusan perubatan di Tabriz University of Medical Sciences dan berjaya tamat pengajian pada 1985. Beberapa tahun menuntut ilmu perubatan, Masoud Pezeshkian memperoleh kelulusan dalam pembedahan kardiovaskular.
Laporan portal The Guardian mendedahkan Presiden Iran ini mengalami tragedi menyayat hati apabila isteri tercinta yang dilaporkan seorang Pakar Sakit Puan meninggal dunia bersama anak bongsu lelaki mereka akibat nahas jalan raya pada tahun 1994.
Sejak itu, Masoud Pezeshkian tabah menempuh kehidupan bersama tiga lagi anak. Dia juga memutuskan untuk tidak lagi berkahwin. Sebaliknya belajar untuk memasak dan membesarkan anak-anak iaitu seorang perempuan dan dua anak lelaki.
Dia berusaha menjadi bapa dan ‘ibu’ terbaik untuk anak-anak dengan menyediakan masakan, beri kasih sayang sepenuhnya dan berkhidmat sebagai doktor dengan sebaik mungkin.
Ketika meneraju Tabriz University of Medical Sciences, Masoud Pezeshkian dikenali kerana usahanya memperketat pemakaian tudung di universiti. Bahkan sejak mentadbir Iran, beliau turut lantang menyuarakan isu berkaitan wanita termasuk syarat pemakaian tudung.
Pengorbanannya terbalas apabila melihat kejayaan tiga anak tersayang. Zahra Pezeshkian misalnya menjadi pengikut setia bapa dan sentiasa menemani Masoud ke mana sahaja. Termasuk ketika bertemu pemimpin dunia mahupun rakyat jelata.
Anak lelaki, Youssef Pezeshkian pula graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fizik. Begitu juga Mehdi Pezeshkian.
Semoga Masoud Pezeshkian terus berani dan lantang mempertahankan tanah air tercinta serta memelihara kedaulatan negara Iran daripada cengkaman musuh.
This website uses cookies.