
Lee Boo-jin bukan sekadar nama dalam dunia elit korporat Korea Selatan tetapi lambang wanita yang memadukan warisan, kecerdikan dan gaya hidup sofistikated. Beliau bukan sekadar pewaris empayar Samsung, tetapi figura wanita berpengaruh dengan gaya tersendiri, tenang, sofistikated dan berstrategi.
Menariknya, di sebalik status sebagai pewaris empayar besar, beliau jarang mempamerkan kemewahan secara terbuka dan lebih selesa menjalani kehidupan yang tenang serta fokus kepada kerjaya. Meskipun namanya tersenarai antara ‘Individu Terkaya di Korea Selatan’, wanita usia 55 ini pilih bahagia urus Hotel Shilla di sana.
Daripada gaun wol yang bersahaja hingga persalinan tailoring serba hitam yang sarat kemewahan, golongan chaebol Korea Selatan kini semakin halus membentuk cita rasa pengguna. Tanpa perlu logo besar, tapi cukup untuk mencetuskan fenomena sold out dan perbualan hangat di ruang digital.
Lee Boo-jin antara figura yang mencuri perhatian dengan gaya minimalis tanpa logo yang ketara, sering ditafsirkan sebagai manifestasi estetik old money
yang tidak perlu menonjol untuk dihormati.Semak 10 perkara menarik tentang Lee Boo-jin yang menjadikan beliau antara wanita paling dikagumi dalam dunia perniagaan global:
Lee Boo-jin merupakan cucu kepada Lee Byung Chul, pengasas Samsung pada tahun 1938, dan anak kepada mendiang Lee Kun Hee, tokoh yang membawa jenama itu ke pentas global.
Kedudukannya dalam keluarga menjadikan beliau sebahagian daripada dinasti perniagaan paling berpengaruh di Asia. Kini, beliau turut berperanan sebagai penasihat dalam Samsung C&T, syarikat pegangan utama kumpulan tersebut.
Dilahirkan pada 6 Oktober 1970, Boo-jin adalah anak kedua daripada empat beradik didahului oleh Lee Jae Yong, satu-satunya anak lelaki serta mempunyai dua adik perempuan, Lee Seo Hyun dan mendiang Lee Yoon Hyung. Kehidupan dalam keluarga berprofil tinggi ini membentuk peribadinya yang berdisiplin dan berprinsip sejak usia muda.
Dilahirkan sebagai Lee Yoo Jin, namanya ditukar ketika berusia tiga tahun. Perubahan ini dipercayai membawa maksud yang lebih kuat dari segi simbolik. ‘Boo’ sering dikaitkan dengan kekayaan dan kekuatan. Ia seakan mencerminkan perjalanan hidupnya yang penuh dengan pengaruh dan kejayaan.
Sebagai Presiden dan CEO Hotel Shilla, Lee Boo-jin menerajui salah satu hotel mewah paling ikonik di Seoul. Walaupun berada dalam industri hospitaliti mewah, beliau dikenali dengan pendekatan yang lebih sederhana dan profesional.
Hotel ini bukan sahaja menjadi lokasi pilihan acara eksklusif, malah turut memainkan peranan besar dalam sektor bebas cukai Korea Selatan.
Gelaran ‘Little Lee Kun-hee’ diberikan oleh media Korea sebagai tanda penghormatan terhadap gaya kepimpinan dan kebijaksanaannya dalam membuat keputusan. Beliau membina reputasi sendiri dalam dunia korporat tanpa terlalu bergantung kepada nama besar keluarga.
Pengaruh Lee Boo-jin di peringkat antarabangsa tidak dapat dinafikan apabila beliau sering tersenarai dalam World’s Most Powerful Women oleh Forbes. Dengan nilai kekayaan yang mencecah berbilion dolar, beliau kekal sebagai salah seorang wanita paling berpengaruh di Korea Selatan.
Berbeza dengan adik-beradiknya, beliau memilih untuk menuntut di Universiti Yonsei dalam bidang kajian kanak-kanak. Pilihan ini menunjukkan sisi peribadi yang lebih sederhana dan dekat dengan nilai kemanusiaan, berbanding hanya mengejar laluan korporat semata-mata.
Pada tahun 1999, beliau berkahwin dengan Im Woo Jae, seorang kakitangan dalam kumpulan Samsung. Perkahwinan ini mencuri perhatian ramai kerana perbezaan latar belakang sosial. Namun, hubungan tersebut berakhir dengan perceraian pada 2020 selepas melalui pelbagai cabaran.
Hasil perkahwinan tersebut, Lee Boo-jin dikurniakan seorang anak lelaki. Selepas perceraian, beliau diberikan hak penjagaan penuh dan dilihat menjalani kehidupan sebagai ibu yang penyayang. Walaupun sibuk dengan kerjaya, masa bersama keluarga tetap menjadi keutamaan.
Walaupun bergelar bilionair, Lee Boo-jin jarang mempamerkan kemewahan secara berlebihan. Penampilannya sentiasa elegan tetapi tidak keterlaluan, menjadikannya ikon gaya yang berkelas. Dalam masa yang sama, beliau aktif dalam kerja kebajikan melalui Yayasan Biasiswa Dooeul yang menyokong pembangunan wanita masa depan serta membantu golongan memerlukan.
Lee Boo-jin adalah refleksi wanita moden yang bukan sahaja mewarisi kekayaan, tetapi mengolahnya menjadi pengaruh yang bermakna. Pada usia 55 tahun, beliau membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya perlu dipamerkan secara berlebihan sebaliknya dibina dengan konsistensi, nilai dan prinsip hidup yang kukuh.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/taufik-batisah-ivf-kisah-cinta-setia/
This website uses cookies.