LELAKI TERKAYA ASIA Derma 2 Juta Topeng Muka Kepada 3 Negara Asia Termasuk Malaysia!

Usahawan terkemuka China yang juga bekas Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma terus ‘berkongsi’ kekayaan yang dimiliki dengan menyalurkan bantuan ke beberapa negara seluruh dunia dalam usahanya memerangi wabak coronavirus. Terbaru, Jack Ma dilaporkan turut memberi sumbangan bekalan perubatan kepada empat negara Asia Tenggara yang dilanda Covid-19 termasuk Malaysia. Terdahulu, beliau berbesar hati mengagihkan bantuan perubatan sama ke negara-negara Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat.

Memetik laporan yang disiarkan MalayMail, Alibaba Foundation dan Jack Ma Foundation menyatakan bahawa matlamat utama mereka adalah untuk membantu melawan situasi pandemik Covid-19 dengan memberi sokongan terhadap negara-negara jiran terlibat.

Gambar hiasan

“Kami mahu membantu negara jiran Asia untuk sama-sama memerangi Covid-19. Jack Ma Foundation dan Alibaba Foundation akan menghantar sebanyak 2 juta topeng muka, 150,000 kit ujian, 20,000 sut perlindungan perubatan dan 20,000 face shield kepada Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand. Lebih banyak bantuan akan diberikan kepada penduduk Asia. Go Asia!”

Pernah dinobatkan sebagai Lelaki Terkaya Asia, Jack Ma juga merupakan pengasas dan bekas pengerusi eksekutif perniagaan e-dagang dan syarikat peruncitan Alibaba Group. Pada 18 Mac lepas, organisasi berkenaan telah menerbitkan handbook digital

yang merangkumi perkongsian pengalaman daripada para doktor dan petugas perubatan di China semasa penularan wabak coronavirus tersebar luas di republik berkenaan.

Awal pagi semalam, dilaporkan berkotak-kotak peralatan perubatan dari China telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh di Selangor. Sementara itu, kedutaan China turut memaklumkan telah berjaya menambah bekalan 5,000 topeng muka dan 10,000 surgical face shields dengan harapan agar jangkitan Covid-19 dapat ditangani dengan segera.

Menurut Duta China Di Malaysia, Bai Tian, sumbangan 3,500 kit ujian makmal untuk virus Covid-19 juga kini dalam perjalanan dan dijangka tiba di Malaysia minggu depan. Dalam pada itu, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi laman Facebooknya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan China kerana ketangkasan mereka menghantar bantuan peralatan perubatan dalam masa yang singkat meskipun hal berkaitan perkara itu baru sahaja dibincangkan tiga hari lalu.

 

Sumber: Malay Mail

IKLAN
Share