Lepas Isteri Perdana Menteri Kanada, Isteri PM Sepanyol Pula Positif COVID-19!

Selang beberapa hari selepas berita isteri Perdana Menteri Kanada iaitu Sophie Trudeau disahkan positif coronavirus, hari ini seorang lagi isteri pemimpin dunia dilaporkan dijangkiti virus sama. Kali ini melibatkan isteri Perdana Menteri Sepanyol, Begona Gomez.

Media antarabangsa melaporkan Begona disahkan positif selepas melakukan ujian saringan Covid-19. Bagaimanapun, kerajaan Sepanyol mengesahkan beliau kini berada dalam keadaan baik. Khabar itu dilaporkan tidak lama selepas suaminya, Pedro Sanchez mengadakan sidang media harian mengenai Covid-19 di sebuah televisyen nasional berhubung tindakan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh dua minggu kuarantin bagi membendung penularan berkenaan.

Begona Gomez & suaminya, Perdana Menteri Sepanyol

Selain Begona, dua lagi pegawai kerajaan Sepanyol turut diuji positif Covid-19. Jumlah jangkitan wabak berbahaya ini juga dilaporkan meningkat ketara dengan lebih 5,700 kes di Sepanyol dan separuh daripadanya disahkan di ibu kota Madrid.

Ini sekali gus menyaksikan peningkatan nasional lebih 1,500 kes dalam masa 24 jam dan menjadikan Sepanyol negara kelima bilangan kes paling banyak dijangkiti Covid-19 dengan mencatatkan 136 kematian berbanding 120 sebelum itu.

Rentetan jangkitan Covid-19 merebak cepat di Sepanyol, kerajaan mengarah sekolah, universiti, hotel dan pusat perniagaan ditutup bermula semalam. Rakyat di sana juga hanya dibenarkan keluar rumah untuk membeli keperluan makanan dan perubatan.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri Kanada… Sofie Trudeau yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Justin Trudeau serta mempunyai tiga orang anak kini sedang menjalani rawatan dan kuarantin.

Sophie Trudeau di samping suami yang juga Perdana Menteri Kanada

Selain isteri pemimpin dunia… beberapa menteri, atlet dan golongan artis di seluruh dunia juga tidak terlepas dengan ancaman virus pandemik ini. Antara mereka yang dilaporkan positif Covid-19 ialah pasangan selebriti Hollywood, Tom Hanks dan isteri serta terbaru, Menteri Perhubungan (Pengangkutan) Indonesia iaitu Budi Karya Sumadi yang kini mendapatkan rawatan di Rumah Sakit Pusat Angkatan Tentera Darat Gatot Soebroto di Jakarta.

IKLAN
Share