Selepas meraih pelbagai kejayaan menerusi empayar muslimah Naelofar Hijab, kini ibu kepada Noor Neelofa Mohd Noor mencabar potensi diri dengan menceburi industri kosmetik pula. Sebagai seorang usahawan yang sering ‘dahaga’ idea dan pencapaian terbaharu di samping ingin terus membina legasi, ibu berusia 53 tahun ini pantas mencari peluang dan melibatkan diri dalam satu lagi cabang perniagaan. Kali ini sebagai usahawan kecantikan di bawah jenama miliknya, Young & Glow Cosmetic.
Sudah lebih setahun berada di pasaran, produk ini telah pun meniti di bibir peminat dunia kecantikan dek kerana kualiti dan harganya yang berpatutan. Bermula dengan hanya satu
produk iaitu bedak asas, kini Young & Glow memiliki rangkaian produk kosmetik sendiri. Antaranya termasuklah variasi jenis gincu bibir.
“Bercerita tentang idea tercetusnya Young & Glow ini adalah apabila saya terima sampel foundation ini buat kali pertama beberapa tahun lepas. Daripada sampel tersebut saya dapati teksturnya sangat ‘wow’ jika dibandingkan dengan bedak asas yang pernah saya pakai sebelum ini. Walaupun ia buatan Malaysia tapi tidak keterlaluan kalau saya katakan kualitinya mengalahkan produk jenama antarabangsa.
Alhamdulillah, dah setahun lebih Young & Glow ada di pasaran sejak ia dilancarkan pada 8 Oktober 2018. Saya juga amat berbesar hati memaklumkan yang sehingga kini, kami
sudah pun mempunyai beberapa rangkaian iaitu Young & Glow Foundation, Neelofa X Young & Glow Lip Matte, Young & Glow Lipstick, Lip Remover dan Neelofa X Young & Glow Lip Matte Letop juga.”
Walau masih bertatih mencari rentak dalam industri kosmetik namun pencapaian Young & Glow yang berusia kurang dua tahun ini cukup membanggakan. Mana tidaknya, selain berjaya menjual ratusan ribu unit produk dalam tempoh yang singkat Datin Noor Kartini juga berjaya membuka jalan kepada ramai wanita termasuk suri rumah untuk menjana pendapatan sendiri.
Ads
Apatah lagi produk yang dipasarkan memenuhi cita rasa dan mampu dimiliki. Young & Glow Foundation misalnya merupakan produk paling laris kerana bukan sekadar dilengkapi dengan formulasi bedak asas malah merangkumi manfaat pelembap, serum dan pelindung sinar UV SPF 45.
Menariknya, bedak asas 4 dalam satu ini sesuai dijadikan set lengkap rawatan kulit harian memandangkan ia jimat dan mudah dibawa ke mana-mana. Inovasi Young & Glow
sudah pasti menjadikan pengguna kelihatan cantik dan tampil awet muda tanpa perlu mengeluarkan belanja besar. Hanya dengan RM60, kulit wajah sudah dilitupi sempurna.
“Keistimewaannya Young & Glow Foundation ini ialah ia empat dalam satu. Dah ada serum, moisturiser, SPF 45 dan juga bedak foundation. Selain itu, keunikan lainnya ialah kerana ia tidak ada kod warna. Maksudnya, hanya ada satu kod warna saja dan ia boleh masuk untuk semua tona kulit. Itulah keistimewaan Young & Glow Foundation berbanding produk-produk lain. Bukan semata-mata digunakan untuk bersolek tetapi juga merawat kulit wajah.”
Tambah Datin Noor Kartini lagi, Young & Glow Foundation mudah sekata dengan apa juga tona kulit, tidak melekit, tidak berminyak dan ringan. Bahkan penggunaannya mampu bertahan sehingga dua ke tiga bulan. Sebanyak 200 ribu unit foundation berjaya dijual dan Neelofa X Young & Glow Lip Matte first edition yang dilancarkan pada November 2019 dah sold out sebanyak 100 ribu unit dalam masa setengah jam sahaja.”
Ads
Formulasi Neelofa X Young & Glow Lip Matte diperkaya dengan vitamin E, argan oil, grape seed oil dan marine collagen. Enam pilihan warna ditawarkan untuk koleksi ini yang
setiap satunya mencerminkan identiti Neelofa iaitu Aquarius, Tiga, Kelantan, MRSM, Lotus dan Nona.
Aquarius contohnya ialah zodiak kelahiran Neelofa, Tiga pula menjelaskan kedudukan beliau sebagai anak ketiga, Kelantan membawa maksud negeri kelahiran, MRSM ialah tempat Neelofa bersekolah, Lotus adalah makna namanya dan Nona merupakan permulaan kerjaya Neelofa dalam bidang pengacaraan.
Cukup kreatif Neelofa menggambarkan personalitinya kepada pengguna melalui produk gincu bibir keluaran Young & Glow.
Lebih menarik, sapuan Neelofa X Young & Glow Lip Matte di bibir menyerlahkan efek natural, berbau harum, tidak menggelapkan warna bibir, tidak melekit, tahan lama dan ringan. Satu lagi koleksi terbaru gincu bibir Neelofa adalah Lip Matte Letop yang mengetengahkan enam variasi warna iaitu Light Base, Medium Base, Dark Base, Dewi, Single dan 1989.
Ads
Seperti Neelofa X Young & Glow Lip Matte, koleksi ini turut menjelaskan refleksi diri Neelofa yang pernah menjuarai Pencarian Dewi Remaja, status diri yang masih ‘single’ dan tahun kelahirannya iaitu 1989. Tidak ketinggalan, Young & Glow Lipstick yang ditawarkan dengan harga RM48 seunit di samping memiliki lima pilihan rona menarik bertemakan Kindness, Devotion, Gracious, Patience dan Strength.
Ujar Neelofa, “Buat masa ini kami baru keluarkan edisi kedua untuk lip matte dan koleksi pertama gincu bibir. InshaAllah, kita akan keluarkan lebih banyak koleksi dengan variasi berlainan. Dari segi bungkusan, ia sangat berbeza dengan produk lain yang ada di pasaran.
Namun, apa yang paling penting adalah formulasi setiap lip matte dan gincu yang dikeluarkan. Untuk lip matte, formulasi yang digunakan saya boleh sifatkan sebagai terbaik. Saya sendiri suka menggunakannya. Setakat ini, ramai yang memberi respon yang
baik.
Pun begitu, target kami untuk mengembangkan jenama ini tidak terlalu drastik. Bermula dengan lip matte dan gincu, mungkin kami akan menghasilkan maskara dan pemerah pipi pula. Tapi yang lebih penting, kami perlu faham pasaran terlebih dahulu sebelum menghasilkan produk-produk berkenaan.”
Mengulas kewujudan jenama Young & Glow adalah atas kehendak dan permintaannya sendiri, selebriti cantik ini bagaimana pun tampil menjelaskan perkara sebenar. “Idea untuk
menghasilkan Young & Glow Cosmetic sebenarnya datang daripada ibu saya sendiri. Tambahan pula, ramai pengusaha yang keluar dengan kosmetik sendiri. Jadi selepas adik saya, Ameera memasarkan LMK (Little Miss Khan) Cosmetics, kini giliran ibu saya pula.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama anak jati Sarawak, Dayang Nur’ Maisarah Abang Abdul Razak kini menjadi sebutan ramai sekaligus mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Tokoh Belia Harapan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M baru-baru ini.
Dayang Nur’ Maisarah menerima anugerah berprestij itu bersama barisan penerima yang juga bukan calang-calang antaranya Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; usahawan dan pencipta kandungan terkenal Khairul Aming; pelakon Ardini Angeline Tan; dan CEO Wau Animation Sdn Bhd Usamah Zaid Yasin.
Dayang Nur’ Maisarah menamatkan pengajian dalam bidang Perundangan Islam di Universiti Melaka dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di Universiti Islam Selangor (UIS).
Kini pada usia 27 tahun selain bergelar isteri, Dayang Nur’ Maisarah punya kerjaya hebat sebagai Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam).
Satu kelebihan buat Dayang Nur’ Maisarah apabila menggalas peranan tersebut yang membolehkannya mendekati masyarakat khususnya golongan belia.
Sumbangan Besar
Perjalanan kerjaya Dayang Nur’ Maisarah tidak pernah sunyi daripada pencapaian yang membanggakan. Beliau aktif mengetuai pelbagai aktiviti memperkasa belia Islam dan menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Antara pengiktirafan yang pernah diterima oleh Dayang Nur’ Maisarah ialah Anugerah Maal Hijrah Kategori Belia (2023) oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Kebangsaan (2021) daripada mantan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yassin; Anugerah Ikon Varsiti (Above and Beyond) Youth Award (2021); Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Negeri Sarawak (2020); dan Anugerah Ikon Belia Sarawak (2019).
Bagi Dayang Nur’ Maisarah, anugerah berprestij itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi sebaliknya amanah besar untuk terus berperanan sebagai duta kecil generasi muda.
“Saya bukan hanya memikul amanah sebagai seorang belia, tetapi juga sebagai anak Sarawak yang menerima penghormatan ini. Harapan saya bukan untuk berhenti di sini, tetapi terus bangkit dan menjadi benih yang baik ke mana sahaja dihantar, tetap memberi manfaat kepada orang di sekeliling,” katanya pada sidang media Anugerah Maulidur Rasul SAW 2025.
Dayang Nur’ Maisarah turut menegaskan usia muda harus dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia tidak akan berulang.
“Saya berpegang dengan kata-kata, hidup biarlah berjasa. Kalau hidup sekadar hidup, kerja di hutan juga hidup. Maka setiap hela nafas mesti memberi manfaat kepada orang lain.”
Beliau turut menyeru belia agar bangkit menjadi agen perubahan demi masa depan negara.
“Gunakan kekuatan yang ada, ambil panduan daripada pengalaman orang tua. Jadilah penyumbang kepada perubahan. Walau sekecil-kecil perubahan, ia mampu memberi impak besar. Matlamat kita ialah melahirkan khairul ummah, sebaik-baik umat.”
Dayang Nur’ Maisarah aktif memperjuangkan suara generasi muda di Sarawak, mempromosikan perpaduan dan menggalakkan penglibatan belia dalam pembangunan negara melalui pelbagai platform termasuk media sosial.
Sumber: TVS
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Umat Islam seluruh dunia terkejut dan sedang bersedih dengan tragedi gempar yang menimpa saudara kita di New Zealand. Seperti mana yang dilaporkan dari Christchurch, tiga orang rakyat Malaysia terlibat dan mengalami kecederaan akibat serangan serta tembakan rambang seorang lelaki ketika umat Islam sedang bersiap sedia untuk menunaikan ibadah solat jumaat. Suspek telahpun berjaya diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan New Zealand.
Isteri kepada salah seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu, Nazril Hisham Omar, 49 tahun, iaitu Pensyarah di Fakulti Perhotelan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr Zurinawati Mohi, 48 tahun, dikatakan sudah pun berada di New Zealand.
Ketika kejadian yang menimpa suaminya, Zurinawati sedang membawa pelajar-pelajarnya membuat lawatan sambil belajar ke Hatyai, Thailand. Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan seorang isteri apabila menerima berita gempar sebegitu dan jarak yang memisahkan begitu jauh.
Difahamkan bahawa Zurinawati kini telahpun sampai ke Negara Kiwi tersebut untuk menemani suami yang berada di Hospital Christchurch serta anak-anaknya yang berada di sana.
Menurut laporan akhbar Berita Harian, Zurinawati menceritakan tentang detik cemas suaminya itu. “Suami dihempap beberapa mayat berlumuran darah dan melihat jelas lelaki itu menembak jemaah lain, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana cedera,” kata Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, isteri kepada rakyat Malaysia yang ditembak, Mohd Nazril Hisham Omar.
Tambahnya lagi, “Suami menganggap letupan yang berlaku dalam masjid itu adalah letupan mercun. Bagaimanapun, suami memberitahu dia terkejut apabila melihat jemaah lain ditembak dan dia cuba melarikan diri, tetapi tidak berjaya kerana turut ditembak di bahagian belakang dan kaki.
Ketika menceritakan kejadian ini, suami menangis sambil tidak berhenti menyatakan rasa syukur kerana masih bernyawa walaupun dihempap banyak mayat dan cedera ditembak dalam tragedi itu,” kata Zurinawati yang menemui suaminya di Hospital Christchurch, New Zealand, kira-kira jam 11 pagi tadi waktu tempatan.
Mohd Nazril kini dilaporkan stabil dan menjalani dua pembedahan dipercayai akibat kecederaan di pinggang dan ibu jari kaki kirinya. “Suami juga ada bertanyakan keadaan saya dan anak-anak sambil turut menangis kerana bersyukur terselamat.
“Saya mungkin tinggal beberapa bulan di sini (Christchurh) untuk menjaga suami dan anak-anak,” katanya. Semoga segala urusan Zurinawati dipermudahkan dan suaminya cepat sembuh dan pulih seperti sediakala.
Mengikut laporan akhbar Sinar Harian, ketiga-tiga anak pasangan ini yang menjadi kebiasaan akan mengikut bapanya menunaikan solat jumaat bersama. Namun kerana mempunyai aktiviti di sekolah Muhammad Haqiem Daniel, 18 tahun, Muhammad Hazieq Daniel, 14 tahun, dan Muhammad Hazriq Daniel 10 tahun tidak ikut serta pada hari tersebut.
Berikut adalah posting terkini yang dikemaskini oleh anaknya, Muhammad Haqiem Daniel di laman Instagram.
Kavita Sidhu antara selebriti tanah air yang aktif menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin. Walau berbeza agama, pelakon dan usahawan ini tetap tegas berdiri atas dasar kemanusiaan dalam membela hak rakyat Gaza. Keprihatinan dan keberanian Kavita Sidhu menyokong perjuangan Palestin menjadi inspirasi masyarakat di Malaysia.
Terbaharu, Kavita Sidhu tidak melepaskan peluang menyambut kepulangan sembilan sukarelawan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kehadirannya di KLIA menarik perhatian ramai apabila tampil anggun dalam persalinan kurung moden putih sambil mengenakan mafla Palestin sebagai tanda solidariti.
Melalui perkongsian di media sosial, Kavita memuat naik momen istimewa bersama salah seorang aktivis FFC x TMTG iaitu Dr. Fauziah Hassan.
Sambut kepulangan Dr Fauziah, aktivis FFC x TMTG
Ujarnya, “Kepulangan yang dinanti-nantikan di Lapangan Terbang KLIA hari ini. Selamat kembali kepada semua wira dan wirawati daripada Malaysian Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan misi Thousand Madleens to Gaza (TMTG).”
Kavita Sidhu turut berkongsi rasa terharu menyaksikan kepulangan para aktivis yang sihat dan gembira selepas melalui detik mencabar.
“Saat yang sungguh menyentuh hati apabila melihat Dr. Fauziah dan lapan delegasi lain kelihatan sihat serta gembira.
Kami mendengar banyak kisah luar biasa. Helikopter berlegar rendah di atas kapal, para aktivis menunjukkan keberanian dan ketabahan serta detik-detik tegang dan penuh kemenangan di lautan.
Walaupun kapal mereka ditahan dan para aktivis dipenjarakan, ombak flotilla ini akan terus berlayar, memastikan dunia tidak pernah melupakan dan terus berdiri bersama Gaza.”
Sokongan Konsisten Terhadap Palestin
Ini bukan kali pertama Kavita Sidhu menyokong perjuangan Palestin. Sejak Oktober 2023, beliau sudah turun padang menyertai himpunan solidariti di Dataran Merdeka bersama ahli politik, selebriti, dan aktivis.
Komitmen berterusan ini menjadikan nama Kavita sinonim dengan suara kemanusiaan dan perjuangan Palestin di Malaysia.
Selain perjuangan kemanusiaan, Kavita Sidhu juga dikenali sebagai individu yang berjiwa lembut dan menghargai budaya Melayu. Model dan penerbit filem ini sering tampil dengan busana tradisional serta meraikan Hari Raya bersama suami tercinta, Roberto Guya.
Meniti usia 54 tahun, Kavita terus memberi inspirasi apabila menerima Ijazah Kedoktoran daripada Wilmington Metropolitan University pada Jun lalu.
Keberanian dan empati yang ditunjukkan oleh Kavita Sidhu membuktikan bahawa perjuangan Palestin melangkaui batas agama dan bangsa.
Sokongan tulusnya terhadap perjuangan Palestin menjadi simbol bahawa kemanusiaan adalah bahasa sejagat yang menyatukan semua insan.
Dengan semangat seperti Kavita Sidhu, perjuangan Palestin akan terus mendapat perhatian dunia dan menggerakkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya berdiri bersama mereka yang tertindas.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.