Lepas KFC & McD, Petugas Media Di Istana Negara Terima Ikan Patin Tempoyak!

Murah rezeki para petugas media yang ‘berkampung’ di pintu masuk Istana Negara sejak beberapa hari ini. Jika dua hari lepas mereka menerima sumbangan makanan segera
Kentucky Fried Chicken (KFC) dan hidangan McDonalds semalam… hari ini wartawan tanah air turut dibekalkan dengan hidangan istimewa berupa ikan patin tempoyak daripada pihak Istana Negara. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ia dapat melegakan petugas media yang sanggup berpanas dari pagi hingga malam semata-mata untuk menyampaikan berita kepada masyarakat.

Memetik kenyataan Istana Negara di laman Instagram, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara iaitu Dato’ Ahmad Fadil Haji Shamsuddin mewakili Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong menyerahkan makanan masak tempoyak ikan patin Pahang kepada petugas media di pintu 2 Istana Negara. Difahamkan, sumbangan berkenaan adalah dari Restoran Temerloh Catering.

Pada 25 Februari lalu, petugas media dikejutkan dengan kehadiran Seri Paduka Baginda Tuanku yang berkesempatan mengurniakan sendiri makanan McDonalds kepada pengamal media di pintu masuk yang sama. Dua hari lepas pula, Setiausaha Sulit Kanan kepada YDPA iaitu Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim bersama pegawai-pegawai Istana Negara dilihat menyampaikan sumbangan makanan KFC daripada Seri Paduka Baginda kepada semua petugas media di pintu utama, pintu 2 dan pintu 3 Istana Negara.

Mengenang kembali situasi yang dialami petugas media sejak berlakunya kemelut politik pada Ahad lalu… keadaannya jauh berbeza dengan apa yang dihadapi mereka hari ini. Bermula dengan keprihatian Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang  memulakan usaha memberi sumbangan makanan kepada para wartawan, kini pelbagai pihak termasuk syarikat makanan segera, pengusaha ais krim, produk makanan dan sebagainya tampil menghulurkan bantuan.

Selain di Istana Negara, petugas media di ibu pejabat parti politik, pejabat Perdana Menteri, kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menerima bantuan sama. Tidak hanya dibekalkan makanan… mereka juga dihidangkan dengan pelbagai minuman dan sajian pencuci mulut. Namun apa yang menarik perhatian masyarakat adalah pemberian ‘power bank’ yang disifatkan satu keperluan kepada wartawan demi memastikan mereka dapat memberikan liputan yang baik sepanjang hari.

Apa-apa pun syabas kepada mereka yang prihatin dengan nasib petugas media ini. Nona pasti setiap perbuatan kebaikan pasti akan menjadi ikutan kepada yang lain!

Kredit: Instagram Istana Negara

IKLAN
Share