“Penghuni wanita di syurga majoritinya wanita solehah yang kuat bersabar. Merekalah inspirasi saya. Dari kisah mereka saya belajar agar janganlah terlalu berkeras, kalau diuji kita kena sabar, reda dan bersyukur.” Dr Wan Azizah
Nama bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga kini isteri Perdana Menteri Malaysia ke-10, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sentiasa segar di jiwa rakyat. Bicaranya lembut seperti air tapi sifat air yang tenang itu mampu memadamkan api.
Beliau memimpin dengan meletakkan akhlak di depan, sekaligus membuatkan ahli politik wanita berusia 70 tahun itu amat disegani.
Sepagi di kediaman Dr Wan Azizah di Kajang, serasa seperti dilayan ibu sendiri. Dari belakang rumah, angin berpuput lalu, pemandangan hijau lapangan golf pula menyejukkan mata. Di dalam, masih ada ruang perpustakaan berisi buku-buku berbilang tajuk.
Semuanya tersusun rapi persis suasana rumah agam pasangan ini di Bukit Segambut. Kenyamanan dan suasana cozy juga serupa.
Sambil meninjau kamar bekerja Dr Wan Azizah, sempat penulis bertanya pada ‘Mak Tok’ yang juga nenda bercucu 11 itu kalau-kalau beliau rindukan kenangan di rumah lama.
Sambil temu bual, sempat penulis rakamkan suasana di belakang tabir. Cantik pemandangan dari belakang rumah Dr Wan Azizah di Kajang ni…
“Lepas setahun pindah, sekali-sekala rindu tu adalah. Tapi kenangan yang paling banyak sebenarnya di rumah Bukit Damansara.
Momen anak-anak membesar dan seribu satu kisah lagi berlaku di rumah itu. Ada kenangan yang manis, tak kurang juga yang perit ditelan.”
Ads
Ketokohan Dr Wan Azizah sebagai pemimpin dan ibu yang cekal membesarkan anak-anak sewaktu suaminya di Penjara Sungai Buloh, cukup menggambarkan karakter beliau yang sebenar.
Hampir 20 tahun, beliau berseorangan membesarkan enam permata hati – Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana dengan seluruh sisa kekuatan yang ada. Dialah ibu, dialah bapa sewaktu Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman.
KETABAHAN
Mengimbau kronologi hidup Dr Wan Azizah sejak zaman anak gadis hingga sekarang, pastinya banyak yang perlu diringkaskan.
Dilahirkan di Singapura (ketika itu masih Tanah Melayu) pada tanggal 3 Disember 1952, wanita hebat ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St. Nicholas, Alor Setar sebelum meneruskan pengajian ke Kolej Tunku Kurshiah di Seremban.
Kisah kepintaran Dr Wan Azizah dalam bidang perubatan pernah menjadi buah mulut masyarakat. Heboh kisah ini apabila nama beliau dilihat terpahat sebagai Pelajar Terbaik 1977 di Royal College of Surgeons, Ireland, malah turut menerima anugerah Pingat Emas MacNoughton-Jones.
Ads
Hebat, nama wanita Malaysia ini sebaris dengan nama doktor-doktor bertaraf antarabangsa!
Dr Wan Azizah sebagai penerima anugerah Pingat Emas MacNoughton-Jones 1977
“Alhamdulillah, saya juga membesar sama seperti orang lain. Cuma semasa melanjutkan pengajian ijazah perubatan dalam kepakaran obstetrik dan ginekologi di Ireland, saya mula belajar hidup berdikari.
Yang manisnya bila dapat pengiktirafan, terasa sangat bangga membawa nama negara. Seronok bila dengar anak-anak muda di sana cakap, ‘Auntie, I saw your name!’. Mungkin itu boleh memberikan mereka semangat untuk terus mengejar ilmu.”
Sekembalinya ke Malaysia pada 1978, Dr Wan Azizah diterima sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Kuala Lumpur dan kemudian bekerja di Hospital Universiti, Universiti Malaya.
Bibit-bibit perkenalan di antara dirinya dengan suami pun berputik, meskipun ketika itu tumpuan hidup beliau hanyalah untuk kerjaya semata-mata.
“Saya dah bekerja, jadi setiap masa sibuk dan tiada ruang langsung untuk bersosial macam orang lain. Tapi akhirnya selepas beberapa tahun, hubungan kami ke jenjang pelamin pada tahun 1980, walaupun pada awalnya berdepan banyak tentangan.
Ads
Sebetulnya sejak awal perkahwinan lagi, saya dah rajin bekerja. Saya komited mahu membantu masyarakat melalui kepakaran yang ada.
Namun selepas punya cahaya mata, sentiasa dalam fikiran ini, macam mana pelajaran anak-anak, macam mana nak besarkan mereka menjadi insan yang berguna.
Masa tu Anwar jadi guru kepada anak kami. Saya ingat lagi katanya mahu mendidik untuk menjadi insan yang kamil. Kemudian dia masuk pilihan raya.
Saya pula ambil cuti dua minggu bagi membantu dalam kempen sambil menjaga si kecil (Izzah) yang sedang membesar. Tahun 1982, suami jadi Ahli Parlimen di kerusi Permatang Pauh.” Dr Wan Azizah
Perjalanan hidup Dr Wan Azizah semakin sibuk sebagai seorang ibu. Tahun 1993, beliau meletakkan jawatan sebagai doktor apabila suaminya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Rentak kerjaya politik Dato’ Seri Dr Anwar Ibrahim pula ketika itu semakin selesa, malah pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia 1996.
Semuanya serba sempurna, sebelum peristiwa pahit suaminya diheret ke tirai besi, merampas kebahagiaan mereka seisi keluarga pada tahun 1998. Apakah yang menjadi kekuatan semangat beliau ketika itu?
Baca artikel eksklusif Majalah Nona bersama isteri Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Konsep: Azniza Aziz
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Ann Karim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jenama Nurraysa sememangnya cukup sinonim di kalangan penggemar kosmetik. Sinonim dengan tagline Kosmetik Mesra Wuduk, kisah di sebalik jenama ini wajar dijadikan inspirasi buat individu yang ingin mengorak langkah dalam dunia perniagaan.
Mana tidaknya, pengasasnya, Nur Aini Zolkepeli melihat peluang dan ruang untuk memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan RM500 yang dipinjam dari suami tersayang.
“Ketika itu, saya merupakan seorang suri rumah yang ingin membantu meningkatkan pendapatan suami. Kebetulan pendapatan suami sebagai operator mesin tidak mencukupi untuk menyara kehidupan, jadi saya memasang tekad untuk membantunya menjana pendapatan,” ujar Nur Aini ketika ditemui di sesi fotografi bersama majalah NONA.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2014, syarikat kosmetik dan kecantikan, Nurraysa Global Sdn Bhd rancak mengukuhkan nama serta menghargai usahawannya terutama di kalangan suri rumah dan wanita memandangkan Nur Aini memasang niat murni untuk membantu kaum wanita untuk menjana pendapatan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
“Saya memengang prinsip hidup untuk memberi manfaat. Saya ingin membantu ramai wanita terutamanya suri rumah menjana pendapatan dari rumah. Ia mengimbas kembali memori bagaimana saya bermula di mana pada mulanya niat saya untuk membantu keluarga menambahkan pendapatan.
Tetapi Allah membuka rezeki yang lebih luas dan sekaligus dapat membantu dan memberi manfaat untuk ramai orang,” ujar Nur Aini yang memegang konsep bersedekah dan berkongsi rezeki sebagai amalan terbaik dalam perniagaan.
Walaupun perniagaan yang diusahakan bersama suami tersayang kini berada pada landasan terbaik, wanita ini tidak pernah berhenti menimba ilmu perniagaan untuk memajukan lagi bisnes dan membantu lebih ramai wanita memperolehi pendapatan sampingan.
“Alhamdulillah satu kesyukuran bagi saya apabila dapat membimbing dan melahirkan 16 orang jutawan pada tahun ini dengan secara keseluruhan 18 orang telah berjaya menjadi jutawan Nurrasya,” ujarnya lagi.
Menyentuh soal berkongsi rezeki, Nur Aini dan syarikatnya Nurraysa Global Sdn Bhd tidak pernah lupa menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan bantuan baik dari segi kewangan dan bantuan-bantuan lain. Jenama penerima NONA BEST HALAL COSMETICS AWARD ini memegang prinsip berkongsi rezeki bukan sahaja bersama kakitangan, malah insan-insan yang memerlukan bantuan.
Antara perkara yang di laksanakan termasuklah pembahagian beras setiap bulan untuk fakir miskin dan rumah anak-anak yatim, pembahagian wang zakat untuk penduduk sekitar Kuantan, Pahang serta menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir dan sebagainya.
Nur Aini juga memasang niat untuk menjadi inspirasi untuk para wanita berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Sebagai wanita yang telah beberapa tahun bergelumang dengan dunia perniagaan, Nur Aini melihat beberapa faktor yang sering menghalang wanita untuk berjaya.
“Ramai orang di luar sana ingin berniaga tetapi ada yang belum bermula dan hanya berdiam diri. Apabila melihat billboard di tepi jalanraya, mendengar iklan di radio dan menonton kisah mereka yang berjaya di kaca televisyen, ramai yang cemburu akan kejayaan tersebut.
Pada pandangan saya, zaman sekarang cabaran hidup semakin mencabar,kos sara hidup semakin meningkat, Ada yang sanggup berkerja lebih dari satu pekerjaan sehari dan sebagainya.
Nasihat saya untuk para wanita, gunalah setiap peluang untuk menambah pendapatan. Gunakan akses teknologi untuk mencari peluang berniaga tanpa modal, percuma dan diberikan latihan untuk berjaya. Semuanya mudah, hanya di hujung jari. Oleh itu, jom bangkit kaum wanita dan tingkatkan ekonomi keluarga dan negara,” ujar Nur Aini menutup perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Benar kata pepatah, setiap sesuatu yang terjadi itu sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Siapa sangka ‘kekurangan’ daripada pandangan mata kasar rupanya menjadi tunggak utama dalam kehidupan seseorang. Ratu Atlet Gimnastik ini berkongsi pengalamannya sewaktu kecil sebagai kanak-kanak hiperaktif.
Foto: Facebook Farah Ann Abdul Hadi
Farah Ann Abdul Hadi tidak menyangka akan berkecimpung dalam sukan gimnas sehingga ke peringkat olimpik. “Saya mula menyertai sukan gimnas pada usia yang sangat muda iaitu tiga tahun. Menurut ibu, pada mulanya beliau tidak berniat untuk menjadikan saya seorang ahli gimnas.
Foto: Facebook Farah Ann Abdul HadiFoto: Facebook Farah Ann Abdul Hadi
Saya dahulu seorang hiperaktif dan doktor yang merawat mencadangkan agar ibu menghantar saya ke tempat yang boleh meningkatkan fokus. Kawan ibu mencadangkan agar saya dihantar ke pusat gimnastik di Shah Alam. Bermulalah episod kehidupan saya sebagai ahli gimnas di situ. Kemudian saya meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Bukit Jalil dan membuat latihan khusus di sana,” ucap Farah Ann yang mempunyai kakak merupakan atlet renang berirama negara, Katrina Ann Abdul Hadi.
Foto: Instagram @farahann94Foto: Facebook Farah Ann Abdul Hadi
Ketika diajukan soalan mengapa atlet cantik ini memilih cabang sukan ini, “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel. Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum,” ujar Farah Ann yang melakar sejarah sendiri apabila layak ke sukan Olimpik Tokyo 2020.
Foto: Facebook Farah Ann Abdul HadiFoto: Facebook Farah Ann Abdul Hadi
Walaupun temasya Sukan Olimpik 2020 telah ditangguhkan sehingga tahun depan, ekoran penularan pandemik COVID-19 namun energi positif Farah Ann terhadap sukan gimnastik tak berbelah bagi. “Untuk sekarang fokus utama saya adalah untuk bertanding di sukan Olimpik Tokyo 2020,” tutur gadis kacukan Melayu-Kanada ini yang menjalani jadual latihan ketat dan komited dengan sesi latihan demi menjaga prestasinya.
Foto: Instagram @farahann94
Menjadikan Dato’ Nicol David dan Pandalela Rinong sebagai idola, Farah Ann meletakkan harapan tinggi terhadap sukan yang dicintainya ini. “Harapan saya, untuk melihat lebih ramai lagi ahli sukan berjaya di persada dunia dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menceburi bidang gimnastik ini.
Bukan mudah menjadi atlet negara, ada hari latihan yang agak memenatkan dan juga berhadapan dengan kecederaan. Saya berharap supaya peminat sukan tanah air sentiasa memberi sokongan padu untuk semua atlet negara,” terang gadis yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Global (Pengajian Antarabangsa) ini.
Foto: Facebook Farah Ann Abdul HadiFoto: Instagram @farahann94
Terbuka berkongsi sisi peribadi kepada umum, tanpa berselindung Farah Ann mendedahkan masanya dengan keluarga sangat terhad. “Sebagai atlet sememangnya masa saya sangat padat dengan latihan. Oleh itu, saya sentiasa perlu ada pengurusan masa yang baik untuk mengatur jadual harian.
Kebiasaannya pada hujung minggu iaitu hari Ahad sahaja saya tidak mempunyai jadual latihan. Oleh itu, saya menggunakan waktu kualiti itu bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, saya suka membaca buku dan menonton tv,” bicara gadis yang berusia 26 tahun ini.
Mengendalikan perniagaan keluarga bukan mudah apabila di beri kepercayaan yang tinggi bagi mengembangkan lagi legasi perniagaan yang telah dibina sejak bertahun lamanya.
Bagi pengasas Shahnaz Healthcare, Nazrin Shahnaz Peer Mohamed, 31, yang juga penerima Nona Best Healthcare Interior Design Award ini, tanggungjawab perlu dilunaskan dengan sebaiknya biarpun sebelum itu dia mempunyai cita-cita sendiri namun terpaksa dilupakan demi meneruskan harapan ibu tercinta yang turut menjadi rakan kongsi perniagaan.
Berkat usaha gigih Nazrin dan pasukannya, Shahnaz Healthcare berjaya mencapai jualan mencecah RM10.3 juta pada tahun 2021 dan menyasarkan jualan RM20 juta untuk tahun 2022. Kini, selain di Alor Setar, Kedah, Shahnaz Healthcare turut memiliki premis di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.
“Sejak kecil lagi saya dibesarkan dan didedahkan dengan dunia perniagaan. Habis sahaja sekolah terus pergi pejabat. Ibu mempunyai perniagaannya sendiri iaitu periklanan dan pemasaran di Alor Setar, Kedah. Secara tidak langsung, pengalaman dan pendedahan itu membuatkan saya tahu banyak tentang selok belok perniagaan.
“Dulu, saya pernah anggap perniagaan adalah sangat susah. Saya sebenarnya bercita-cita ingin menjadi seorang doktor tetapi bila difikirkan semula saya kena juga uruskan perniagaan keluarga yang telah sekian lama dibina dengan susah payah. Mahu atau tidak, saya perlu teruskan.
“Setelah tamat pengajian di universiti saya terus menceburkan diri dalam bidang perniagaan untuk menimba pengalaman. Dari perniagaan perkhidmatan periklanan, kami membuka pula syarikat baru yang berkonsepkan reka bentuk dalaman. Tercetusnya idea ini adalah kerana kami pernah melaksanakan projek-projek grafik yang sedikit sebanyak ada kaitan dengan interior.
“Contoh, yang sedang trending ketika itu ialah Air Asia dan Google yang membawa konsep identiti korporat kepada interior. Klien-klien kami mahukan perkhidmatan seumpama itu. Maka, dari situlah tercetusnya idea interior untuk syarikat baharu kami disebabkan permintaan mereka ketika itu.
“Pada 2019, saya mendapat satu peluang untuk membina hospital melalui satu tender. Dengan pengalaman itulah, banyak mengajar saya betapa uniknya reka bentuk dalaman hospital ini. Ia bukan hanya untuk nampak cantik malah setiap interior yang dibuat ada sebabnya di samping ada fungsi-fungsi yang tertentu.
“Apa yang saya lihat, ketika itu tidak ramai yang melaksanakan konsep sebegitu. Permintaan ada, arkitek pun ramai yang menghubungi saya meminta agar saya memfokuskan kepada konsep ini memandangkan tidak ramai yang buat.
“Bertitik tolak dari situ, saya mengambil keputusan melanjutkan pengajian ke peringat Master dalam jurusan interior design khusus untuk healthcare. Setelah kembali ke syarikat, saya mempraktikkan ilmunya dengan menjadi konsultan dan kontraktor,” jelas Nazrin.
IBU SUMBER INSPIRASI
“Ibu seorang yang sangat memahami dengan apa yang saya lalui termasuklah melihat perkembangan perniagaan yang saya kendalikan. Itulah sedikit sebanyak peranan yang dimainkan oleh ibu. Sekiranya ada perkara-perkara yang saya terlepas pandang, ibu akan sentiasa ada untuk membantu.
“Setiap kali bercakap dengannya ada benda yang ibu nak saya nampak ke hadapan. Secara tidak langsung ia menjadikan saya seorang yang sentiasa bersemangat dan ingin maju ke hadapan. Saya juga seorang yang berani mencuba perkara baharu. Bagi saya sokongan, doa dan restu ibu sangat penting,” bicara Nazrin yang menjadikan ibu sebahagi inspirasi.
Baca artikel penuh dalam edisi majalah NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.