
Tahniah buat anak Puan Sri Normala Samsudin, Dr Ruhila Roslan yang selamat melangsungkan pertunangan baru-baru ini. Meskipun berlangsung dalam situasi berjaga-jaga susulan wabak Covid-19 masih belum reda pada 3 Oktober lepas namun tuan rumah tetap patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. Ini termasuk pemakaian pelitup muka buat tetamu yang hadir, hand sanitizer dan pemeriksaan suhu badan serta penjarakan fizikal.
Yang pasti, majlis pertunangan Dr Ruhila yang diadakan serba indah dan dalam skala kecil ini menjadi perhatian ramai. Apatah lagi, Puan Sri Normala turut memuat naik momen istimewa anak tersayang di media sosial miliknya. Sebagai ibu, sudah tentu beliau antara individu paling bahagia pada hari berkenaan. Malah, jelitawan ini turut menitipkan doa terbaik buat Dr Ruhila.
“Mama doakan yang terbaik untukmu, moga perjalanan ini akan dipermudahkan Allah jua. Fasa pertama meninggalkan zaman bujang sudah pun selesai. Setelah semua rakan-rakannya kini menjadi suri dan ibu, dia baru mula terbuka hati melangkah ke alam baru. Moga Allah rahmati dan berkati. Amin.”
Dr Ruhila yang anggun menyarung busana pastel tampak berseri-seri walau hanya mengenakan solekan nipis. Tidak kurang juga ibunda tersayang yang kelihatan menawan dalam persalinan hijau lembut. Sekali pandang, ibu dan anak ini ibarat adik-beradik! Kedua-duanya cukup manis dipandang.
Difahamkan, pada majlis tersebut sahabat Dr Ruhila yang pernah menuntut bersama-sama di Kolej Tunku Kurshiah turut hadir memeriahkan majlis. Kongsi Puan Sri Normala dalam salah satu posting beliau, “Love these smiles, teased by friends, she laughed when surrounded by close friends. Since TKC her friends were like my own kids. Tetiba rasa macam ramai anak perempuan. So much fun!! Riuh rendah.”
Dr Ruhila kini meniti usia 28 tahun dan bergelar tunangan kepada jejaka kacak, Majid Nazli. Selain dikurniakan rupa paras cantik, gadis ini juga seorang yang bijak dan aktif. Malah, Dr Ruhila merupakan seorang doktor gigi.
Dalam temubual bersama Nona dalam edisi Mei 2020 lalu, Dr Ruhila mendedahkan dia berhasrat untuk mengakhiri zaman bujang sebelum usia 30 tahun dan impian tersebut kini dimakbulkan Allah. Bercerita mengenai majlis perkahwinan pula, Dr Ruhila mengimpikan resepsi Garden Wedding dan tidak terlalu gah serta melaksanakan apa yang perlu selain untuk mengelakkan pembaziran.
Kredit foto: Instagram Normala Samsudin
10 Kuasa Lemon Buat Anda Teruja Dapatkan Rambut Cantik!

Lemon adalah bahan terbaik dalam menghalang penuaan kulit. Bukan sahaja kaya dengan vitamin C malah merupakan sumber antioksida yang tinggi. Keistimewaan menyeluruh lemon ternyata menyuntik khabar gembira buat wanita yang prihatin terhadap kesihatan rambut.
Bila segala mineral lemon diserap oleh rambut dan menggalakan pertumbuhan rambut lebih optimal. Keberkesanan lemon lebih menyerlah apabila dicampur dengan bahan lain seperti madu dan telur.
- Menanggalkan sel kulit mati kepala
Sel kulit mati di kulit kepala sukar untuk disingkirkan. Sel kulit mati ini yang menjadi punca kelemumur dan gatal kulit kepala. Hiris lemon beberapa bahagian dan gosok atas kulit kepala. Biar selama 5 minit dan bilas rambut dengan air. Gatal-gatal yang disebabkan sel kulit mati pada kulit kepala akan hilang dengan sendirinya.
- Rambut lebih lurus dan berkilau
Wanita yang sering mengeluh rambut kering dan kusam tidak perlu gusar lagi kerana lemon menjadi solusinya. Masuk dua sudu teh minyak kelapa dalam sebuah mangkuk. Kemudian perah lemon untuk mendapatkan jus di dalam mangkuk minyak kelapa tadi. Gaul sempurna dan sapu di seluruh bahagian rambut. Biar selama 15 minit dan cuci rambut dengan bersih. Campuran ini akan membuat rambut lurus dan berkilau.
- Menghilangkan kelemumur
Rambut yang berkelemumur adalah masalah utama rambut yang mengganggu penampilan. Lemon boleh membantu menghilangkan kelemumur secara semulajadi. Perah jus lemon dan sapu ke kulit kepala secara perlahan-lahan. Asid pada lemon akan membantu menghilangkan kelemumur dan melekat pada folikel rambut.
- Atasi rambut lepek dan berminyak
Wajah sudah cantik bersolek namun rambut yang lepek dan berminyak mengganggu penampilan. Atasi masalah ini dengan kuasa lemon. Ambil jus lemon dan sapu pada rambut dan kulit kepala. Lemon membantu menyerap lebihan minyak pada rambut dan menaikkan volume rambut.
- Rangsang rambut tumbuh
Jangan tidak percaya lemon mampu membantu mempercepat pertumbuhan rambut. Kombinasi minyak kelapa, minyak zaitun dan lemon adalah solusi tepat untuk memiliki rambut lebat. Malah, rambut semakin hitam dan berkilau selepas menyapu campuran ini.
- Elak rambut bercabang
Tidak tahan melihat rambut sering bercabang dan terbelah di hujung. Walau tiada yang melihat tetapi ketidak puasan hati terbuku di hati. Atasi masalah ini dengan menggabungkan lemon dengan minyak zaitun. Rajin menyapu campuran ini ke atas rambut akan menghilangkan rambut bercabang di hujung.
- Mengatasi rambut gugur
Rambut memang menghantui wanita terutama selepas melahirkan anak. Campur lemon, cuka dan garam di dalam sebuah bekas. Campuran ini terbukti berkesan untuk mengelak rambut gugur. Sapu campuran ini pada rambut sebelum bersyampu.
- Hilangkan kutu
Lemon mengandungi asid sitrik yang dapat membantu menghilangkan kutu yang bersarang di pangkal rambut. gunakan perahan lemon yang telah dicampur dengan cuka dan sapu pada seluruh bahagian rambut. Bilas dengan bersih dan pasti kutu akan hilang dengan sendirinya.
- Ganti perapi rambut
Setelah bersyampu sapu perapi agar rambut lembut dan halus. Lemon boleh mengganti perapi malah lebih selamat kerana tiada bahan sampingan. Tambah perahan lemon dalam secawan air kelapa dan sapu campuran ini pada rambut setelah bersyampu. Bilas rambut sehingga bersih.
- Kuatkan akar rambut
Rambut yang sihat melalui kekuatan akar rambut. Lemon dapat membantu menguatkan akar rambut sehingga tidak mudah gugur. Perah lemon di dalam sebuah bekas dan campur sebiji telur. Gaul rata dan sapu pada keseluruhan rambut. Bungkus dengan tuala selama satu jam agar meresap ke kulit kepala. Bilas dengan sempurna.
Rambut Sering Dianaktirikan, Wahai Wanita Jangan Abaikan Kecantikan Rambut

Semalam ramai yang dah memulakan rutin seharian setelah puas bercuti panjang sempena Aidilfitri. Apabila bercuti lama di kampung pasti rejim kecantikan rambut sedikit sebanyak turut terjejas. Setelah ‘kembali ke sarang’ jangan terus biarkan rambut tidak dipelihara malah perlu lebih perhatian agar kecantikannya terus berpanjangan.
TIPS MERAWAT RAMBUT KERING
Penyebab utama masalah rambut kering adalah kerana terlalu terdedah kepada sinar matahari, mahu rambut cepat kering dengan menggunakan pengering rambut, alat pengeriting rambut dan pewarna rambut. Oleh itu, elak menggunakan terlalu banyak bahan kimia untuk menjaga kecantikan rambut. Pulih kembali kilauan rambut dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi serta mudah didapati.
MASKER ALOE VERA
Aloe vera memang terkenal mempunyai kuasa pelembap secara semula jadi. Aloe vera mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan rapi. Bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh, kandungan vitamin dan nutrisi dalam aloe vera ini sangat baik untuk menjaga kesihatan rambut dan kulit kepala. Mudah sahaja dengan mengambil beberapa batang aloe vera dan dibelah dua. Ambil gel yang terdapat di dalamnya dan sapu pada rambut secara menyeluruh. Biar selama 30 minit kemudian bilas dengan air sehingga bersih. Gel aloe vera ini telah terbukti mampu memperbaiki rambut agar lebih sihat dan bercahaya.
MASKER AVOKADO DAN MADU
Kombinasi avokado dan madu memiliki manfaat terbaik untuk menjaga kesihatan rambut. Kandungan vitamin E yang terdapat pada avokado memelihara kulit kepala agar lebih sihat. Manakala madu pula membantu melembapkan setiap helaian rambut. Bagi mendapatkan masker ini sangat mudah caranya. Ambil avokado yang telah masak dan lenyek di dalam bekas kecil. Tambah dengan tiga sudu madu asli dan gaul sempurna. Kemudian sapu campuran ini pada rambut secara menyeluruh. Biar selama 30 minit dan bilas dengan air bersih dengan sempurna.
MASKER MINTAK ZAITUN
Rambut kering perlu penjagaan rapi kerana mudah rapuh dan putus. Kandungan minyak semula jadi yang terdapat dalam minyak zaitun dapat membantu mengatasi masalah rambut kering. Apabila ditambah pula dengan madu menjadi masker yang terbaik untuk masalah ini. Panaskan minyak zaitun di dalam sebuah bekas kemudian campur dengan sedikit madu. Sapu campuran tadi ke seluruh bahagian rambut dan bungkus dengan tuala lembap. Sebaik-baiknya pakai di waktu malam sebelum tidur. Biarkan semalaman dan bilas bersih dengan air suam ketika bangun tidur. Lakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk rambut yang sihat dan berkilau.
MINYAK CANDLENUT
Minyak candlenut ini sama seperti minyak zaitun turut mempunyai khasiat untuk melembapkan rambut. Tidak perlu bersusah payah mahu membuat minyak ini sendiri dan boleh mendapatkan minyak ini di kedai-kedai kecantikan atau farmasi. Caranya sangat mudah iaitu panaskan minyak di dalam sebuah bekas dan oles sempurna pada rambut dan kulit kepala merata. Biarkan semalaman dan bilas bersih apabila mandi pada keesokan harinya.
ELAK MENGGAYA RAMBUT
Ketika rambut masih tidak sihat dan perlukan rawatan sebaik-baiknya elak menggaya rambut secara berlebihan. Tidak perlu menggunakan pengering rambut sebaliknya biarkan rambut kering sendiri begitu juga tidak perlu mengeriting rambut. Tindakan ini akan menjadikan rambut semakin rosak dan tidak bermaya. Jika mempunyai aktiviti di luar rumah lindung rambut dengan memakai topi atau payung. Sinar matahari secara langsung menjadi punca rambut kering dan tidak teratur.
Peluk Islam Usia 24 Tahun, Wajah Cantik BEKAS PRAMUGARI Kacukan Cina-India Ini Hiasi Iklan TV!

Patutlah sering menjadi buruan syarikat iklan, memang cantik dan ayu sangat orangnya! Walau bukan berbangsa Melayu tetapi Sufya Subashni Nair Balen cukup fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan. Malah, dia juga memiliki nilai ketimuran yang tinggi. Seorang wanita yang sopan dan lemah-lembut dalam berbicara. Mengenali personaliti cantik ini, Sufya yang lebih mesra disapa sebagai Su seorang yang tenang dalam menempuhi liku hidup. Setenang raut wajahnya. Bahkan sepanjang pernah bekerjasama dengan Su sangat menyenangkan. Barangkali kerana wanita ini sudah terbiasa dengan budaya kerja yang memerlukannya bertindak tenang ketika bertugas sebagai krew kabin penerbangan.
Mengulas kerjaya di awan biru yang diceburi sejak hampir dua dekad lalu, Su menjelaskan menjadi pramugari adalah cita-citanya dari kecil. “Menjadi pramugari adalah childhood dream saya. Selepas tamat persekolahan Tingkatan 5 memang saya teringin sangat hendak memohon pekerjaan ini. Tapi kerana parent mahu saya sambung belajar dulu, saya terpaksa akur dan melupakan hasrat tersebut seketika.
Sudahnya, saya ambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia Institute of Integrative Media, MIIM yang dikenali sebagai Akademi TV3 dalam jurusan Diploma Kewartawanan. Pada tahun akhir pengajian sekitar 2002, saya nekad menghadiri temu duga pramugari MAS di sebuah hotel di Melaka. Ketika itu saya baru berusia 22 tahun dan alhamdulillah, saya lulus semua peringkat ujian sekaligus terpilih mengikuti latihan di Akademi MAS selama 4 bulan di Kelana Jaya.
Saya bekerja sebagai pramugari sejak umur 22 tahun bermula dari April 2003 sampai Mei 2020. Selama 12 tahun saya bertugas sebagai pramugari di Malaysia Airlines System dan kemudian di Suasa Airlines untuk setahun. Seterusnya kembali ke Malaysia Airlines Berhad dari tahun 2018 hingga tahun lepas. Menariknya kerjaya sebagai pramugari, kami menerima latihan penuh yang sungguh membanggakan. Kami dilatih menjadi doktor, bomba, polis selain mengenali food and beverages. Kami juga penyelamat dalam segala situasi yang berlaku dalam ‘burung besi’ itu.
Bercerita tentang kenangan yang tak dapat dilupakan ketika bertugas sebagai pramugari adalah apabila kami yang tak pernah kenal di antara satu sama lain dapat bertoleransi dan jadi satu keluarga kecil apabila ‘terbang’ bersama. Sebab kami semua berada dalam ‘burung besi’ yang terputus tali dari keluarga tercinta dan dunia luar. We only have each other.
Dalam erti kata lain, tugas menjaga penumpang adalah keutamaan kami di dalam setiap penerbangan dan mereka ibarat keluarga kami sendiri. Saya seronok dan bersyukur kerana dapat menimba pelbagai pengalaman sebab bukan semua orang dapat merasai pengalaman sebegini. Walau sedih berjauhan dari keluarga ketika bertugas tapi pengalaman kerjaya ini turut tersimpan bermacam-macam keindahan.”
Tambahnya lagi, “Being a crew memang banyak dugaan lebih-lebih lagi being away from family. Kalau ada kecemasan melibatkan ahli keluarga kebiasannya saya jarang dapat melawat atau teman mereka. Pernah suatu masa dulu, waktu saya mengikuti penerbangan ke Stockholm, New York selama hampir 2 minggu. In the midst of the trip saya dapat SMS daripada keluarga yang abang saya mengalami kemalangan teruk. I was so sad and lost.
Tak tentu arah dibuatnya sebab kapal terbang ke KL lagi 3 hari. Ikutkan hati memang mahu saja terbang balik ke rumah, tapi sebab tanggungjawab kerja terpaksa juga cekalkan diri. Mahu atau tidak, hanya rakan setugas jadi tempat saya mengadu. Dan mereka jugalah yang banyak memberi semangat.
Bila sudah berkahwin dan ada anak, situasi sama juga yang harus saya lalui. Sebagai ibu, saya sepatutnya yang jaga anak apabila mereka demam tapi terpaksa pergi kerja pula. Hendak tahu perkembangan anak pun kena tunggu sampai mendarat baru boleh telefon. Luaran memang nampak macam tak ada apa-apa dan tenang saja layan dan jaga keselamatan penumpang tapi dalam hati hanya Tuhan tahu,” bicaranya penuh semangat.
Rentetan keadaan pandemik Covid-19 yang menjejaskan industri penerbangan, Su terpaksa akur menamatkan perkhidmatan sebagai pramugari di Malaysia Airlines Berhad pada Mei tahun lepas. Enggan sekadar duduk di rumah dan mahu mencari pendapatan sendiri, Su kembali mencari peluang pekerjaan baharu dan kini dia merupakan eksekutif di sebuah syarikat farmaseutikal.
Dalam masa sama, dia turut aktif sebagai model sambilan untuk iklan komersial. Memang selalu nampak wajah cantik Su di kaca televisyen mahupun iklan di media cetak. Tidak cukup dengan itu, Su turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual aneka jenis dessert seperti cream puff, almond chocolate dan sambal hitam.
Berkongsi sisi peribadi dan salasilah diri, ibu dua anak ini tanpa berselindung mengakui mewarisi darah kacukan dari kedua-dua belah ibu bapa tersayang. “Iya, saya mempunyai darah campuran India (Malayam) dari bapa. Ibu saya pula berketurunan Cina (Hokkien) dari Melaka. Kerjaya sebagai model pula, saya sudah lama berjinak dalam dunia pengiklanan. Bermula dari zaman kolej pada usia 18 tahun sehinggalah sekarang dah beranak dua. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri dengan mengurniakan sepasang anak yang sangat menjadi kebanggaan keluarga. Anak saya ini boleh dikatakan anak ‘Satu Malaysia’ sebab mereka bukan je ada darah keturunan India, malah mewarisi keturunan Cina dan Melayu.”
Bercerita tentang rejim kecantikan jelitawan ini, tidak dinafikan Su kekal kelihatan awet muda. Kalau tengok susuk tubuh dan raut wajahnya, macam tak makan dek usia. Walhal, tahun ini dia meniti usia 40 tahun. Tersenyum manis saat kecantikan dirinya menjadi bualan, isteri kepada Shan Irwan Sallehudin ini mengakui dia tidak terlalu obses menjaga penampilan sebaliknya hanya mengamalkan rutin normal seperti wanita lain.
“Menjaga kesihatan diri adalah penting bagi saya kerana bila kesihatan terjaga barulah saya boleh menjaga anak-anak dan keluarga dengan baik. Penjagaan yang saya amalkan sebenarnya biasa saja. Seperti tidak ambil minuman sejuk dan berkarbonat. Selain menjaga diet seimbang, saya juga sangat mengutamakan penjagaan diri selepas bersalin. Memang saya ikut amalan orang dulu-dulu yang berpantang selama 100 hari dan banyakkan minum air suam.
Soal kecantikan, saya amat bersyukur dengan pinjaman yang Allah berikan. Menyentuh penjagaan dan rutin harian, saya cuma akan pastikan membersih muka dengan air sekurang-kurangnya setiap kali mengambil wuduk. Penjagaan kulit muka biasa saja, pakai pelembap, sunblock dan krim malam. Itu sahaja.”
Mula memeluk Islam ketika berusia 20an, Su mengakui tertarik mendalami agama suci ini sebelum dia mendirikan rumah tangga. Apatah lagi, sejak remaja lagi dia bergaul rapat dengan kawan-kawan Melayu di sekelilingnya. Petunjuk Allah SWT datang tanpa diduga. Membesar dengan persekitaran dan bergaul rapat dengan masyarakat Melayu telah banyak mempengaruhi cara hidup Sufya. Sejak zaman persekolahan sehinggalah bekerja, kehidupannya dikelilingi dengan budaya Melayu dan ajaran Islam. Tanpa berselindung, wanita ini mengakui dia cukup terkesan melihat keindahan Islam.
“Tanggal 17 Jun 2005 sambil ditemani suami yang ketika itu kenalan rapat, dia bersama ibu bapa serta bapa saudaranya telah membawa saya ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Kuala Lumpur untuk mengucap dua kalimah syahadah. Tiada paksaan daripada mana-mana pihak kerana memeluk Islam adalah pilihan saya sendiri.
Memang dari kecil ketika saya tinggal bersama datuk dan nenek di Negeri Sembilan, saya sudah biasa hidup dalam kejiranan yang majoritinya berbangsa Melayu. Bahkan ketika masih di bangku sekolah rendah, saya turut mengikuti subjek Pendidikan Islam.
Pendek kata, cara hidup saya sama seperti orang Melayu bezanya cuma kami berlainan agama. Keputusan untuk memeluk Islam dibuat tanpa pengetahuan keluarga. Pada mulanya, mereka agak keberatan untuk terima hakikat. Tetapi lama-kelamaan, mereka sedar dan menerima saya seadanya,” jelas model iklan komersial yang pernah menghiasi kempen produk Nestle, Fair & Lovely, MAS dan McDonalds ini.
Dua tahun bergelar mualaf dan mendalami Islam, Sufya akhirnya dilamar Shan Irwan. Perkenalan bersama jejaka Melayu yang dikenalinya sejak menuntut bersama pada tahun 2000 membawa ke jenjang pelamin.
“Saya kenal dengan suami ketika masih muda lagi. Waktu tu tahun 2000 dan saya baru berumur 19 tahun. Kami sama-sama belajar di Kolej ATV3 dan dia adalah cinta pertama saya. 7 tahun mengenali hati budi masing-masing, kami sepakat mendirikan rumah tangga pada tahun 2007 semasa berusia 28 tahun. Alhamdulillah masuk 14 tahun kami berkahwin dan masih lagi dalam alam percintaan. InshaAllah more years to come. Aamiin.”
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata comel iaitu Shaisha Irna Shan Irwan yang kini berusia 12 tahun dan Shahir Issa Shan Irwan, 7 tahun.
Kredit foto: Instagram Sufya Subashni