‘Macam Bapa-Bapa Kita Beli Barang Dapur,’ Momen PM Pergi Pasaraya Tarik Perhatian!

Setelah beberapa kali muncul di kaca televisyen menyampaikan amanat dan pelaksanaan kerajaan mengekang wabak Covid-19, hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik perhatian rakyat selepas turun padang ke sebuah pasaraya di Kuala Lumpur untuk melihat sendiri keadaan semasa di sana selain membeli barangan keperluan. Santai mengenakan kemeja lengan pendek, beliau turut dilihat memakai penutup muka dan hidung serta bersarung tangan.

Seperti kebanyakan pengunjung lain, Tan Sri Muhyiddin tidak terkecuali menjalani pemeriksaan suhu badan di pintu masuk sebelum memasuki pasaraya.

Kongsi Tan Sri Muhyiddin di laman Facebooknya, “Pagi tadi saya sempat turun ke sebuah pasaraya di Kuala Lumpur. Cari barang-barang sedikit sambil melihat amalan orang ramai di pasaraya. Alhamdulillah, ramai sudah peka mengenai keperluan penjarakan sosial. Barang-barang di pasaraya pun penuh. Jadi kita tidak perlu panik.”

Menjengah ruangan komen di Facebook Tan Sri Muhyiddin, rata-rata rakyat tidak kira agama dan bangsa memuji sikap prihatin Perdana Menteri Kelapan ini sambil menyifatkan beliau seorang pemimpin yang sarat dengan naluri kebapaan. Tidak kurang juga yang melahirkan rasa bimbang akan keselamatan Tan Sri Muhyiddin memandangkan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang salah satu objektifnya adalah untuk membantu golongan yang terjejas akibat virus berkenaan. Dengan pengumuman itu pastinya ia telah memberi kelegaan kepada rakyat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan pada 1 Mac lepas. Meskipun belum cukup sebulan mentadbir negara namun telah banyak usaha yang dilakukan beliau dalam keadaan yang serba mencabar ketika ini.

Apa-apa pun, Nona mendoakan agar Tan Sri Muhyiddin diberi kesihatan yang baik untuk terus mentadbir negara demi kemakmuran dan keselesaan rakyat berbilang kaum.

 

IKLAN
Share