Baru saja berlangsung semalam tapi ‘penangan’ majlis resepsi selebriti popular Fattah Amin dan Fazura masih hangat diperkatakan sampai hari ini. Paling membuatkan peminat tak berhenti bercakap mengenai majlis tersebut, tentunya keanggunan isteri pelakon KL Special Force itu yang persis puteri kayangan! Berbusana tradisional songket penuh dan bersanggul kemas, Fazura sekali lagi meraih perhatian ramai dengan penampilan yang begitu mempersona.
Orang kata kalau dah memang cantik, pakai apa pun tetap nampak cantik. Itulah hakikat sebenar tentang aktres Hero Seorang Cinderella ini. Walau pun mengenakan solekan natural, kecantikan Fazura tetap terserlah. Thumbs up buat @kfbongmakeup kerana berjaya menaikkan lagi seri pengantin kesayangan ramai ini. Tak lupa juga sentuhan magis @ckayliow yang turut mendapat pujian ramai hasil dandanan kemas sanggul Fazura. Segala-galanya nampak cukup indah dan sempurna.
Tak hanya tertawan dek kecantikan yang dimiliki, ribuan peminat Fattzura yang membanjiri Royale Palace semalam nyata kagum dengan sikap ramah pasangan ini yang rajin melayan peminat untuk bergambar. Malah, dalam satu ketika kelihatan kelibat Fazura sibuk beramah mesra dengan peminat di sebelah kiri pelamin. Sementara Fattah pula meluangkan masa bersama peminat di sebelah kanan. Memang nampak betul kedua-duanya sangat menghargai peminat masing-masing.
Sambil melambai ke arah hadirin dan sentiasa menguntum senyuman, Fazura dan Fattah turut membuat kejutan dengan persembahan tarian dan nyanyian popular mereka, Cinderella. Sporting habis!
Sebenarnya majlis resepsi kedua Fattah dan Fazura ini diadakan untuk dua sesi iaitu sesi pagi dikhaskan buat para penaja. Manakala pada sebelah petang pula khusus buat para peminat. Khabarnya, pereka kasut tersohor, Prof Datuk Jimmy Choo pun hadir memeriahkan majlis.
Ads
Pujian juga harus diberikan kepada Reka Teemor kerana berjaya menghasilkan singgahsana nan indah ‘The Fattamorgana’ yang sarat dengan elemen kerawang dan garapan rona putih bersih. Buatkan yang sudah berumah tangga pun terasa seperti mahu bersanding lagi. Selamat Pengantin Baru Fattah dan Fazura. Moga ikatan suci ini berkekalan hingga ke syurga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sempena bulan Ramadan ini, Majalah RASA di bawah Nu Ideaktiv Sdn Bhd telah menganjurkan program RASA Bubur Lambuk Warisan 2023, yang menampilkan pelbagai resipi bubur lambuk yang menarik dari 10 negeri yang berlainan. Program ini bertempat di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, bermula pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
Program ini telah berlangsung selama lima tahun berturut-turut dan kali ini Majalah RASA bersama para penaja seperti BABA’S, Petron Gasul dan Saji bekerjasama menghimpunkan resipi-resipi bubur lambuk kegemaran Malaysia dari Kuala Terengganu, Kuantan, Kota Bahru, Selangor, Pulau Pinang, Bukit Piatu, Kulai, Sarawak, Kuala Perlis dan Kubang Pasu di bawah satu lokasi yang sama, yang ditaja oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Turut menghadiri program tersebut Yang Berhormat Tuan Haji Azli Bin Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam menandakan perasmian beliau terhadap inisiatif ini.
“Malaysia sentiasa dikagumi kerana kepelbagaian budaya, kepelbagaian makanan dan kemurahan hati rakyatnya. Oleh itu, kami ingin meraikan para pengunjung dengan menyediakan hidangan wajib yang digemari ramai pada bulan Ramadan ini.
Selain itu, saya melihat program ini sebagai satu platform untuk menghimpunkan pelbagai generasi atau unit kekeluargaan bersama-sama menghayati warisan peninggalan nenek moyang kita.” Syamil Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd.
Syamil juga berkata, selain dari mengimbau nostalgia warisan, program ini juga bertujuan untuk berkongsi rezeki kepada para wira barisan hadapan seperti anggota polis, bomba, hospital dan juga kepada masyarakat yang memerlukan.
Ida Abdul Aziz selaku Editor Pengurusan Rasa turut menambah bahawa program ini selain mengimbau nostalgia warisan, ia juga bertujuan untuk berkongsi rezeki dan menghargai para wira barisan hadapan seperti anggota polis, bomba dan hospital serta menzahirkan keperihatinan kepada masyarakat yang memerlukan.
“Kami di pihak BABA’S amat berbesar hati dan bersyukur kerana dapat terlibat untuk menjayakan program murni ini dalam mengimarahkan bulan Ramadan yang barakah ini. Selain mengeratkan ukhwah dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat, pihak kami ingin juga berkongsi keberkatan Ramadan bersama golongan yang memerlukan dengan telah menjemput 70 orang anak yatim dengan usaha bersama Nu Ideaktiv.
Pihak kami telah mendermakan duit raya, beg hadiah bersama barangan produk BABA’S ke rumah anak yatim tersebut dengan harapan ia dapat memberi keceriaan untuk menyambut sambutan Hari Raya yang akan datang nanti. Uniknya tentang program agihan bubur lambuk tahun ini, ia menampilkan 10 resipi bubur lambuk nostalgia dari seluruh negara, dan setiap resipi ada menggunakan produk BABA’S di mana sebanyak 50 kg rempah ratus BABA’S telah disumbangkan dan digunakan.
Kesemua produk BABA’S diperbuat daripada bahan-bahan berkualiti tinggi dari seluruh dunia dan bebas aditif, pengawet dan penambah rasa. Kami berharap program ini dapat diteruskan lagi dengan skala yang lebih besar lagi dan kami akan terus menyokong dan berkerjasama dengan Nu Ideaktiv untuk meneruskan tradisi agihan bubur lambuk ini di masa depan.” Tuan Haji Azrain Mohamad, Ketua Pemasaran BABA’S.
Pada hari yang sama, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan busker, qasidah, tazkirah dan macam-macam lagi.
“Petron Malaysia amat berbesar hati menjadi penaja gas memasak rasmi untuk majlis RASA Bubur Lambuk Warisan. Saya sangat teruja melihat Chef Adu dan Chef Fendi bersama-sama sukarelawan menyediakan Bubur Lambuk menggunakan Petron Gasul kami.
Perkataan Gasul berasal daripada perkataan ‘gas’ dan ‘azul’ yang membawa maksud biru dalam bahasa Filipina dan Sepanyol iaitu merujuk kepada Petron Gasul yang bersih dengan nyalaan api biru.
Di Petron, kualiti produk, keselamatan serta kemudahan pelanggan merupakan keutamaan dan kami amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada majlis ini bagi meraikan serta menonjolkan ciri-ciri unik budaya Malaysia.” Mohd Asri Ibrahim, Ketua Perniagaan Komersial Petron Malaysia.
Petron merupakan yang pertama menawarkan gas memasak LPG di stesen. Bermula hanya dengan 5 stesen pada 2018, Gasul yang berkonsepkan ‘tunai dan bawa’ kini boleh didapati di kira-kira 150 stesen Petron di seluruh negara.
“FGV Holdings Berhad komited dalam mencari peluang untuk memberi khidmat sokongan terbaik kepada masyarakat dengan berkolaborasi bersama pihak kerajaan mahupun swasta. Menerusi jenama ulung, SAJI, kami sentiasa aktif menjalankan projek dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Kami akan menyalurkan bantuan menerusi kempen “SAJI Sentiasa Di sisi”, di mana setiap jualan 1 karton Minyak Masak SAJI 5kg, RM SATU (1) ringgit akan diinfakkan ke tabung inisiatif SAJI Seikhlas Hati, dengan sasaran sumbangan bernilai RM 300,000 kepada rumah-rumah kebajikan masyarakat yang terpilih.” En Shammim Azad Kamruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif DOPSB.
Selain itu, majalah tersebut turut menganjurkan sebuah rancangan masakan sebanyak 22 episod iaitu Rasa Nostalgia Kampung Style yang dibawakan oleh BABA’S – menampilkan chef-chef terkenal seperti Chef Adu Amran dan Chef Wan bersama beberapa artis tanah air seperti Ezzaty Abdullah Zizi Kirana, Namie Ubi, Sazzy Falak dan ramai lagi. Ketahui pelbagai resipi tradisional yang menarik, tonton rancangan ini setiap hari Rabu hingga Ahad, jam 7:00 malam di Astro Ria.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sambutan Hari Kebangsaaan tahun ini pastinya menjadi tarikh paling bermakna buat Goh Liu Ying. Apa tidaknya, tanggal 31 Ogos lepas bekas ratu badminton tanah air tersebut selamat melahirkan cahaya mata sulung.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Liu Ying memuat naik gambar anak tersayang yang turut dihiasi dengan Jalur Gemilang khas buat tatapan peminat dan followers tersayang!
Daripada foto itu juga kelihatan perkataan ‘BOY’ di tingkap bilik wad. Sekaligus menjelaskan jantina anak kepada bekas atlet badminton berkenaan.
Bagaimana pun, Liu Ying belum mendedahkan nama dan wajah anak lelaki. Ujarnya, “Welcome to the new world, my Merdeka baby. Saya Anak Malaysia.”
Liu Ying yang kini berusia 34 tahun mengumumkan persaraan daripada dunia badminton pada 11 Januari lepas. Anak kelahiran Melaka itu mengesahkan pernikahan dan kehamilannya pada pertengahan April lalu.
Pun begitu, dia tidak berkongsi butiran jejaka pilihan dan wajah suami tercinta kepada khalayak.
Menurut portal olahraga berbahasa Mandarin Wellsport.asia, Liu Ying memberi gambaran suaminya merupakan seorang usahawan yang ditemui sejak dia masih aktif dalam sukan
badminton.
Wanita cantik ini ialah bekas atlet beregu campuran badminton negara yang pernah menduduki ranking ketujuh dunia.
2 Julai lepas, Goh Liu Ying membuka ruang badminton miliknya iaitu GLY Badminton Hall di Melaka.
“Kepada peminat-peminat badminton atau fans mummy yang di Melaka ni, dah boleh start book court.
GLY Badminton Academy yang di Melaka juga dah start! You are very welcome to join mummy’s family. Ada orang tanya kenapa di Melaka? Sebab mummy balik rumah je.”
Anak sulung daripada tiga beradik kepada pasangan Goh Chak Wee dan Yong Oi Lin ini merangkul pingat perak di temasya Olimpik Rio 2016.
Pada saat seluruh rakyat Malaysia masih lagi meratapi tragedi menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, ingatan masih lagi tersisa terhadap kes kematian tragis pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) iaitu arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Kedua-dua kes ini jelas menunjukkan tahap keruntuhan moral di kalangan remaja hari ini semakin parah sehinggakan perbuatan yang dilakukan tak tercapai dek akal.
Salah siapa? Yang bersalah tetap bersalah dan pasti akan menerima hukuman yang setimpal. Namun, bagaimana pula dengan perasaan dan emosi keluarga si mangsa yang pastinya terlalu sedih akan kehilangan insan tersayang.
Kesannya ibarat luka yang meninggalkan parut kekal. Sekelip mata insan yang disayangi pergi buat selama-lamanya meninggalkan kenangan-kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Mengungkapkan maaf mungkin mudah, namun jauh di lubuk hati untuk melupakannya ternyata sukar.
Insan paling terkesan saat kehilangan seorang anak semestinya ibu. Ya, ibu yang mengandungkan selama sembilan kemudian membesarkan anak itu dengan penuh kasih sayang. Namun akhirnya nyawa anak itu ‘diragut’ dengan mudahnya oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan!
Inilah yang dirasai oleh ibu arwah Zulfarhan, Hawa Osman masih lagi tidak dapat menerima kenyataan ini sepenuhnya selagi kebenaran masih belum terjawab. Hawa hadir ke Karangkraf ditemani oleh suami, Zulkarnain Idrus serta tiga anak mereka.
Hari ini genap sudah pemergian arwah Zulfarhan yang ke-111. Kesempatan bertemu dengan wanita berusia 54 tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyelami isi hatinya setelah tiga bulan arwah Zulfarhan pergi menghadap Ilahi. Setenang mana pun tetap terusik jua kolam hati seorang ibu sehingga menitiskan air mata.
“Sejujurnya perasaan sedih ini masih belum pulih sepenuhnya. Setiap kali terkenangkan arwah, mudah saja air mata mengalir. Setiap kali selepas solat saya pasti terkenangkan arwah. Saya juga pernah mimpikan arwah Zulfarhan yang tersenyum tenang.
Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah benar-benar memberi kesan mendalam terhadap saya sebagai ibu yang juga kehilangan anak. Saya sangat terkesan dengan tragedi ini dan faham perasaan ibu-ibu mangsa. Tragedi ini telah ditakdirkan dan semestinya emosi ibu bapa anak-anak tahfiz itu lebih hebat dan tragis.
Ramai juga yang bertanya dari mana saya dapat kekuatan, mampu naik turun Mahkamah dan sebagainya. Ada juga yang berminat untuk mengikuti kisah arwah. Suami, anak-anak dan rakyat Malaysia kekuatan saya.
Sebagai ibu, saya nak tengok sendiri perjalanan perbicaraan di Mahkamah. Saya tidak akan putus asa kerana nak tengok sendiri wajah-wajah suspek. Niat saya ingin membersihkan nama arwah atas tuduhan mencuri itu.
Saya nak tahu apa motif sebenar mereka buat begitu kepada arwah. Baik suspek mahupun ibu bapa mereka, tiada seorang pun yang datang berjumpa untuk minta maaf dengan kami,” luah Hawa dalam nada perlahan.
Sebagai tanda sokongan untuk memperjuangkan keadilan dan memberi kesedaran kepada masyarakat, maka terhasilnya t-shirt yang tertera perkataan #justice4farhan #sayNOtoBULLY dan #humanity.
Idea ini datangnya daripada ibu saudara arwah yang mendapat persetujuan daripada Hawa sendiri.
“Yang buat ni pun di kalangan ahli keluarga kami juga. Anak saudara pula uruskan hal percetakan. Jual pun di kalangan ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan terdekat saja. Kami tidak komersialkan.
Niat kami positif sebagai tanda sokongan dan memberi kesedaran. Dan setiap kali ke Mahkamah kami akan pakai,” jelas Hawa.
“Setakat ini pihak UPNM masih berhubung dengan kami. Mereka turut menyerahkan sijil-sijil penglibatan arwah dalam aktiviti sukan. Mereka juga kehilangan seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan sukan.
Salah seorang profesor di bahagian Hal Ehwal Pelajar pernah datang ke rumah untuk memberi motivasi kepada anak saya yang bakal menduduki PT3.
Kami sekeluarga reda dan menerima ketentuan Ilahi. Hidup mesti diteruskan. Namun kami juga berharap supaya masyarakat jangan selindung kes buli. Jika ia berlaku, dedahkan dan segera ambil tindakan.
Begitu juga dengan pihak kementerian agar sentiasa peka dengan isu ini. Saya melihat kebanyakan ibu bapa hari ini terlalu manjakan anak-anak. Nasihat saya, didiklah anak-anak dengan cara yang betul bersama iringan doa agar mereka menjadi insan berguna di dunia dan akhirat,” akhiri Hawa. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.