
Lama tak dengar khabar Erynne Erynna. Mula dikenali sebagai pelakon cilik dalam filem Congkak, anak seni berbakat besar ini pernah merangkul anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) pada 2008.
Kian matang melayari kehidupan, Erynne yang kini berusia 28 tahun dilapor masih bergiat aktif sebagai pelakon dan dalam masa sama menyertai misi kebajikan dan kemanusiaan sama ada di dalam mahupun luar negara.
Erynne Erynna Aktif Misi Kebajikan

Erynne Erynna merupakan sukarelawan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction). Pada 29 Januari hingga 1 Februari lalu, dia dan pasukan MyFundAction berangkat ke Aceh, Indonesia bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di sana.
Misi tersebut turut disertai Penasihat dan Pengasas MyFundAction iaitu Dr Mohd Hizul Azri Md Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Ghafur Rahim Mustakim dan penyanyi Faizal Tahir selaku pengasas IamFATIHMEN.
Sepanjang misi berkenaan, Erynne kelihatan ceria dan mesra bertemu mangsa bencana terdiri daripada golongan emas, dewasa dan kanak-kanak. Sambil menghulurkan sumbangan berupa keperluan asas kepada mereka.
View this post on Instagram

Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Erynne Erynna meluahkan rasa syukur kerana impian untuk membantu ke arah kebaikan seperti yang diidam-idamkan sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan apabila MyFundAction ‘melamarnya’ sebagai sukarelawan yayasan tersebut.
Dalam pada itu, ibu muda ini juga tidak ketinggalan melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan di Rumah Amal Asnaf Al Barakh pada pertengahan Februari lalu.
Sempena keberkatan bulan Ramadan, Erynne menzahirkan hasrat untuk fokus memperbaiki diri secara spiritual dengan mendekatkan diri kepada Allah, memperbanyak zikir dan doa serta membaiki solat.
Erynne Erynna Matang Tempuh Kehidupan
Di sebalik senyum tawa dan perwatakan cerianya, Erynne Erynna nama penuhnya Syazlynne Erynna Abdullah melalui episod duka pada 2024 apabila rumah tangga yang dibina hanya mampu bertahan selama lima tahun.

Dia dilapor pernah mendirikan rumah tangga dengan Afify Sazali pada 17 April 2019. Namun umum penceraian kira-kira dua tahun lalu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Medinah.
Enggan menjadikan status itu sebagai halangan untuk mengecapi kebahagiaan hidup, Erynne positif dan reda menerima ketentuan takdir.
Akuinya, dia juga melalui pelbagai detik sukar tanpa pengetahuan umum namun bersyukur ujian tersebut telah banyak membentuk dirinya hari ini.
View this post on Instagram
“Kalau semuanya indah belaka dan baik-baik belaka, saya tak mungkin dapat jadi apa yang saya dapat seperti sekarang. Nikmat itu terbelah dibahagikan dua. Nikmat ujian dan nikmat rezeki.
Nikmat rezeki pada saya it is such a bonus. Setiap hari Allah bagi rezeki dari segala sudut, rezeki kesihatan, rezeki harta, rezeki keluarga, rezeki kawan yang baik, dan nikmat ujian itulah untuk kita menumbuh dan belajar dan menjadi lebih dewasa.”
Erynne turut berharap agar setiap perkongsiannya di media sosial dapat memberi kekuatan dan semangat kepada mereka yang sedang diuji serta berdepan waktu-waktu sukar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





