
Biarpun hampir dua bulan melabuhkan tirai, majlis perkahwinan primadona tanah air Erra Fazira dan suaminya, Ezwan Zain masih menjadi bualan ramai. Disifatkan sebagai Wedding of the Year, ia bukan sekadar kerana keindahan majlis yang berlangsung penuh elegan, tetapi juga simbolik mas kahwin berupa dinar emas yang mencuri perhatian serta mencetus inspirasi kepada bakal pengantin.
Pilihan mas kahwin dinar emas berupa 24 keping dinar emas, berat 102gm anggaran lebih RM60,000. itu dianggap unik dan sarat makna, sekali gus membuka perspektif baharu masyarakat tentang nilai perkahwinan yang bukan hanya berteraskan simbol cinta, malah kesedaran kewangan jangka panjang.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 52, keputusan memilih emas sebagai mas kahwin dibuat secara sederhana tanpa sebarang niat untuk mencetus fenomena. Namun, beliau sendiri tidak menyangka pilihan tersebut memberi impak besar kepada masyarakat.
“Waktu kami sedang berbincang tentang persiapan perkahwinan, suami tanya saya mahukan hantaran berapa. Saya beritahu, saya tak nak duit, saya nak emas,” katanya ketika berkongsi pengalaman tersebut.
Keputusan memilih mas kahwin dinar emas ini dilihat sebagai langkah bijak kerana emas bukan sahaja memiliki nilai fizikal, malah berfungsi sebagai aset perlindungan nilai dalam jangka masa panjang.
Pilihan tersebut turut mencerminkan perubahan pemikiran Erra terhadap pengurusan kewangan dan simpanan aset. Akui pelakon dan penyanyi berpengalaman ini, pandangannya terhadap emas berubah seiring pertambahan usia dan kematangan hidup.
“Kalau dulu saya lebih gemarkan emas putih. Sekarang saya mula menyimpan emas kuning kerana nilainya yang lebih stabil untuk jangka panjang,” jelasnya.
Kesedaran ini selari dengan realiti ekonomi semasa yang menuntut individu lebih peka terhadap pelaburan selamat dan berisiko rendah.
Amalan menyimpan emas bukan sahaja diamalkan untuk diri sendiri, malah diterapkan dalam kehidupan keluarganya. Erra mendedahkan dia membelikan anak tunggalnya, Engku Aleesya, emas sekurang-kurangnya setahun sekali sebagai simpanan masa depan.
Baginya, emas merupakan aset fizikal yang mudah disimpan, mempunyai nilai intrinsik dan sesuai dijadikan pelaburan jangka panjang sejak usia muda.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, Erra mengakui menyimpan aset seperti emas adalah langkah penting. Ketidaktentuan ekonomi global, isu peperangan dan turun naik pasaran kewangan menjadi antara faktor utama mengapa beliau memilih emas sebagai simpanan.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu sekarang — isu peperangan, ekonomi dan ketidakstabilan global, menyimpan aset seperti emas sangat penting sebagai perlindungan nilai,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Amelia Jewellery, baru-baru ini.
Pendekatan ini menjadikan mas kahwin dinar emas bukan sekadar simbol perkahwinan, malah satu mesej kesedaran kewangan yang relevan dengan realiti masa kini.
Terdahulu, Erra dan Ezwan selamat diijabkabulkan pada 12 Disember 2025 di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang. Pada majlis tersebut, Ezwan menyerahkan mas kahwin berupa pokok emas yang mengandungi 24 keping dinar emas.
Simbol tersebut bukan sahaja melambangkan penyatuan cinta, malah membawa maksud kestabilan, keutuhan dan perancangan masa depan yang kukuh dalam alam perkahwinan.
Pilihan mas kahwin dinar emas oleh Erra Fazira ini nyata membuka mata ramai pihak bahawa perkahwinan boleh dimulakan dengan kesedaran kewangan dan perancangan aset yang bijak.
Ia sekaligus menjadi inspirasi kepada bakal pengantin untuk melihat mas kahwin bukan sekadar adat, tetapi satu permulaan yang membawa nilai praktikal, simbolik dan berpanjangan dalam membina kehidupan berumah tangga.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/bawa-rakan-sekelas-melawat-muzium-pahang/
This website uses cookies.