Gaya Hidup

Masih Ingat Dengan Penyanyi WAHEEDA? Ini Khabar Terkininya Selepas Berpurdah, Menarik!

Penyanyi yang suatu ketika dahulu popular dengan lagu nasyid ‘Wassini’ memilih untuk bersara dalam dunia nyanyian selepas mendirikan rumah tangga pada Ogos 2009 dengan pendakwah bebas, Ustaz Akhil Hayy.

Waheeda Abdul Wahab atau Waheeda tetap ramah seperti dahulu dan gemar ketawa lewat perbualan kami di corong telefon tempoh hari.

“Memang benar saya dah berhenti menyanyi tapi saya tidak meninggalkan dunia muzik secara total. Walaupun tidak mengikuti perkembangan muzik tanah air secara direct

tetapi saya masih ambil tahu.

Saya menghasilkan single terbaharu Ustaz Akhil Hayy berduet dengan Mawi featuring DEVOTEES yang bertajuk ‘Ighfir Zunubi’ selaku music producer. Single ini akan dirakamkan dalam InTeam Studio tidak lama lagi. Saya juga turut menghasilkan sebuah lagu lagi untuk suami dan sebuah lagu Inggeris untuk DEVOTEES, insyaAllah,” tutur Waheeda penuh sopan.

Tugasnya tidak bernoktah sebagai suri rumah tangga sepenuh masa malah turut berniaga secara online dan menghabiskan masanya mengikuti kelas pengajian agama untuk mendalami ilmu Islam.

Memiliki produk kecantikan, Nafretiri Serum By Waheeda dan jenama minyak wangi sendiri di bawah label Arum By Waheeda cukup untuk membuat wanita ini sibuk.

Sedar tak sedar sudah 8 tahun Waheeda menjalani kehidupan sebagai isteri. Walaupun belum dikurniakan cahaya mata tetapi kehidupannya tetap gembira di samping keluarga.

“Kebanyakan masa saya terisi dengan menguruskan rumah tangga, mendalami ilmu agama, menguruskan perniagaan online, mencipta lagu dan membesarkan anak-anak Ustaz.

Seperti pasangan lain, saya juga mahu melahirkan zuriat sendiri tapi percaya kepada rezeki. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang.

Anak-anak Ustaz juga sudah semakin dewasa dan membesarkan mereka adalah salah satu tanggungjawab saya juga,” terang Waheeda yang kini berusia 39 tahun.

Walaupun sudah menyepi tetapi Waheeda masih juga berhubung dengan rakan-rakan artis seperti Bienda dan Ezlyn. Berbicara tentang perkembangan muzik semasa nyata Waheeda mempunyai pendapat yang tersendiri.

“Perbezaan perkembangan muzik dahulu dan sekarang sangat berbeza. Penghayatan muzik dahulu lebih baik berbanding sekarang yang mementingkan populariti dan bukan kualiti.

Kehadiran saya dalam industri muzik bukan untuk bersaing dengan pendatang baru jauh sekali untuk bertanding. Saya belajar muzik dan apa yang saya lakukan hanya semata-mata kerana minat saya yang mendalam dalam bidang muzik,” ungkap Waheeda mengakhiri perbualan kami dengan penuh visi. Hamizatul Maizan Mohamed

IKLAN
Share