Masihkah Ingat Lagi Penyanyi Popular 70-an Yunizar Hoessein? Rupanya Ada Kisah Di Sebalik LOCKDOWN

Masih ingatkah lagi kepada penyanyi lagu Dua Insan Bercinta dan Di Hari Persandinganmu ini? Yunizar Hoessein bukan suatu nama yang asing bagi peminat muzik era 70-an. Ketika itu, lagu-lagunya sering berkumadang di corong radio malah sehingga kini masih menjadi pilihan anak muda untuk menyanyi karaoke.

Yunizar Hoessein

Walaupun kini penyanyi yang pernah berduet dengan Dato’ M. Nasir ini telah meninggalkan dunia nyanyian tetapi namanya tetap dikenang. Nona menyingkap khabar terkini Yunizar yang mengikut suaminya, Michele Ranieri bertugas di kedutaan Itali, berpusat di New Delhi, India.

Penerbangan dari Kuala Lumpur International Airpost (KLIA) ke New Delhi telah dibatalkan

Tanpa disangka, rupa-rupanya Yunizar telah terkandas di Malaysia apabila gagal untuk pulang menemui suaminya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac yang lalu.

“Saya pulang ke Malaysia sejak 5 Mac yang lalu. Jadual penerbangan pulang ke New Delhi sepatutnya pada 21 Mac 2020. Bila saya pergi ke lapangan terbang pada hari itu, semua penerbangan telah dibatalkan dan lapangan terbang Delhi juga mula ditutup untuk semua penerbangan komersil antarabangsa bermula 22 Mac.

Perkhidmatan ERL tergendala, saya ambil bas ke One Utama namun tiada penumpang lain kecuali saya seorang.

Mulanya saya tukar penerbangan ke Singapura kerana penerbangan terus dari Malaysia ke India telah dibatalkan sejak 18 Mac lagi. Namun, setelah sampai ke KLIA, semua penerbangan ke Singapura juga sudah dibatalkan,” tutur wanita yang kini berusia 62 tahun.

Keluarga bahagia Yunizar Hoessein

Semoga PKP ini tidak dilanjutkan lagi dan ibu kepada sepasang anak ini boleh berjumpa dengan keluarga tersayang. “Kami sekeluarga kini terpisah di antara 3 benua. Saya di Malaysia, suami di New Delhi manakala anak sulung di Belanda dan anak bongsu di Nottingham, United Kingdom,” bicara Yunizar yang fasih bertutur di dalam bahasa Thai, Itali, Sepanyol, Perancis, Urdu dan Indonesia ini.

Francesco Fahd

Namun ibu kepada Francesco Fahd, 25 tahun dan Karima Althea, 21 tahun ini begitu positif dengan dugaan ini. “Saya bersyukur boleh berkomunikasi di antara satu dengan yang lain di ruang siber. Alhamdulillah anak-anak saya selamat dan mereka berdikari serta bijak.

Karima Althea

Sebelum ini, mereka mengikut kami suami-isteri menetap di Jakarta, Bangkok, Sudan, Vancouver dan Moscow. Mereka telah dibesarkan dan melihat pelbagai budaya yang berbeza ketika menghadapi darurat. Pengalaman telah mengajar mereka berfikiran terbuka, alhamdulillah,” ujar Yunizar.

Walaupun ‘terpisah’ namun Yunizar bijak mengumpulkan ahli keluarganya dengan cara yang tersendiri. “Semenjak lockdown kami berempat meluangkan masa dengan bertukar resipi dan bermain games dengan aplikasi HOUSEPARTY untuk melepaskan rindu dan seolah-olah kami bersama.

Saya anjurkan therapeutic lukisan mandala atau lukisan apa saja asalkan ada kegiatan dan tidak terlalu menumpukan masa dengan media sosial. Maklum, saya masih old school girl

dan waktu muda saya pernah mengalami ‘Peristiwa 13 Mei’. Ketika itu arwah ayah banyak buat kegiatan lukisan buat kami sekeluarga,” ungkap anak kepada Dato’ Mohamed Hoessein Enas, seorang pelukis handalan yang mendapat gelaran pelukis diraja.

 

Sejak tempoh PKP, Yunizar sempat meyiapkan 2 projek lukisan bersama keluarganya. “Projek kedua saya bertajuk ‘Haiwan’. Melukis memberi ketenangan pada sesiapa pun. Dari kecil anak-anak saya telah didorong untuk melukis dalam waktu pemikiran kusut dengan kerja sekolah. Ketenangan akan bertimbul bila melukis dan itulah ajaran arwah ayahanda, Hoessein Enas,” kongsinya.

Hasil lukisan anak perempuan Yunizar Hoessein

 

Bercerita pula tentang anak-anaknya pula, “Ketika ini anak saya, Karima berkongsi rumah bersama 5 pelajar di Universiti Nottingham. Namun, kawan-kawannya tidak tahu menahu tentang risiko penularan COVID-19 ini. Anak saya yang kini sudah tahun ketiga di sana mula membuat peraturan cuci tangan sebelum masuk rumah dan tanggalkan kasut di luar ruang supaya tidak terbawa kuman di dalam rumah dengan alasan jangan bimbangkan orang tua masing-masing.

Cantik! Hasil lukisan Yunizar Hoessein

Manakala anak lelaki saya tinggal di The Hague. Alhamdulilah, Francesco dah ada rumah sendiri di sana dan bekerja sebagai souś chef. Saya berpendapat apa yang kita ajar di rumah adalah bekal untuk anak-anak ketika menghadapi waktu yang memerlukan.

Bersama keluarga di Itali

Akhir sekali, saya bersama keluarga di Malaysia berdoa setiap hari agar keluarga suami saya di Itali diberi kemudahan dan diselamatkan. Kes penularan pandemik ini paling parah di Itali. Lebih dari 40,000 rakyat telah jadi mangsa COVID-19. Semoga kita di Malaysia mengamalkan dengan teliti arahan kerajaan dan STAY AT HOME, PLEASE,” ucap Yunizar yang berkahwin dengan lelaki berbangsa Itali ini mengakhiri perbualan kami.

IKLAN
Share