
Masjid Habib membuka pintunya hari ini, 5 Disember 2025 untuk jemaah menunaikan solat Jumaat pertama. Majlis pembukaan rasmi berlangsung sebentar lagi, disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Dalam sejarah manusia yang fana, ada nama yang meninggalkan jejak pada bumi, dan ada pula yang meninggalkan cahaya pada hati. Di Pulau Pinang, sebuah mercu tanda sedang tumbuh, bukan daripada batu marmar semata tetapi daripada niat tulus seorang dermawan yang memahami makna hakiki rezeki sebagai amanah. Itulah Masjid Habib, rumah Allah yang dibangunkan dengan penuh adab, cinta dan kesedaran bahawa harta menjadi mulia apabila dikembalikan kepada Tuhan.
Terletak di Bandar Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong, masjid yang didirikan di atas tanah seluas 8,615 meter persegi ini bakal berdiri sebagai mercu tanda baharu kawasan tersebut.
Dibina berdekatan denyut kehidupan masyarakat setempat, Masjid Habib bukan sekadar bangunan ibadah, tetapi simbol syukur sebuah keluarga yang sekian lama meniti rezeki dalam dunia perhiasan barang kemas.
Cantiknya, terpegun tengok seni bina Masjid Habib ni…
Masjid ini adalah hasrat yang diwarisi. Pengasas Kumpulan Habib, Allahyarham Datuk Habib Mohamed Abdul Latif pernah menyimpan impian untuk membina sebuah masjid yang menjadi manfaat ummah.
Hari ini, impian itu disempurnakan oleh anakanda beliau, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Dato’ Sri Meer Sadik Habib, yang menanggung keseluruhan kos pembinaan dianggarkan berjumlah RM30 juta. Dalam dunia korporat yang sering dilingkari angka dan keuntungan, jarang kita melihat sebuah keputusan besar lahir daripada bahasa cinta dan ketaatan kepada Allah. Namun di sinilah bezanya rezeki yang diurus oleh hati yang tunduk.
Bangga dengan kejayaan jutawan Muslim, Dato’ Sri Meer Sadik Habib serta keluarga. Benarlah sebaik-baik harta adalah harta yang digunakan di jalan Allah. Dan sebaik-baik perbelanjaan adalah perbelanjaan untuk mencari reda Allah.
Keunikan Masjid Habib bukan terletak pada angka kos atau saiznya semata. Ia tersirat pada roh seni bina yang merangkum identiti Jawi Peranakan, sebuah komuniti kacukan yang sarat sejarah dan nilai estetika. Menurut Datuk Seri Meer Sadik, inspirasi masjid ini lahir daripada khazanah budaya yang hampir pupus daripada pandangan generasi muda.
Kubah masjid diinspirasikan daripada potongan intan. Bukan sekadar menzahirkan warisan perhiasan wanita Jawi Peranakan suatu ketika dahulu, tetapi juga sebagai simbol bahawa cahaya Islam itu berlapis-lapis keindahan, seperti kilauan permata yang memantulkan sinar dari setiap arah. Di sinilah seni dan spiritual bertaut, membentuk identiti sebuah masjid yang lain daripada yang lain.
Sebagai anak jati Pulau Pinang, keluarga ini mendirikan Masjid Habib di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong.
Menjangkakan kapasiti sehingga 1,600 jemaah pada satu-satu masa, masjid ini dibina dengan jiwa inklusif. Ruang yang selesa untuk wanita, warga emas, kanak-kanak dan golongan OKU. Sebuah masjid yang benar-benar memahami makna rahmatan lil ‘alamin, menyediakan ruang bukan untuk golongan tertentu tetapi untuk semua yang ingin mendekatkan diri kepada Pencipta.
Selain ruang solat, masjid ini dilengkapi dewan serba guna sebagai nadi komuniti; tempat di mana akad nikah berlangsung, majlis ilmu bertunas, kenduri kesyukuran diraikan. Turut disediakan bilik kuliah, bilik mesyuarat dan ruang-ruang serbaguna yang menjadikan masjid ini pusat penghidupan, bukan sekadar destinasi ibadah.
Inilah wajah sebenar seorang jutawan Muslim. Tidak meninggi dengan hartanya tetapi meninggikan agama dengan rezeki yang dipinjamkan Tuhan. Masjid Habib adalah wakaf yang hidup, doa yang berpintal dalam batu dan besi, hadiah seorang ayah kepada ummah, dan tanda bahawa kekayaan paling abadi ialah sedekah yang berterusan pahalanya.
Apabila masjid ini siap kelak, ia tidak hanya menjadi mercu tanda Pulau Pinang, tetapi juga mercu tanda hati. Mengingatkan kita bahawa setiap rezeki akan kembali indah apabila diserahkan kepada yang Maha Memberi. Semoga masjid ini berdiri teguh sebagai cahaya yang tidak pernah malap, menjadi saksi bahawa ada manusia yang memilih untuk membina syurga melalui pintu dunia.
Semoga segala kebaikan keluarga besar ini mendapat keberkatan dan dikurniakan syurga tertinggi Jannatul Firdaus.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/wan-khatijah-gemar-hias-rumah-travel-pilates-rahsia-perkahwinan-bahagia-cecah-26-tahun/
This website uses cookies.