MAUDY AYUNDA Pilih Jejaka Korea, Terima Mas Kahwin Dalam Matawang USD

Tiada angin, tiada hujan, pelakon yang juga penyanyi popular Maudy Ayunda mengejutkan dunia hiburan Indonesia dengan berita perkahwinannya baru-baru ini. Majlis perkahwinan bintang filem ‘Habibie & Ainun’ itu dilakukan secara privasi di kediamannya yang terletak di Cilandak, Jakarta Selatan.

Ramai yang tertanya-tanya siapakah jejaka bertuah yang berjaya menambat hati selebriti berbakat besar lulusan Universiti Stanford yang terkenal dengan gelaran ‘beauty with brain’. Tular di media sosial, suami Maudy yang dikenali sebagai Jesse Jiseok Choi dilahirkan di Korea namun dibesarkan di Amerika Syarikat. Difahamkan juga Jesse sudah lama menetap di Indonesia.

Kad undangan pernikahan Maudy dan Jesse juga tular di media sosial apabila dikongsi sendiri oleh pengarah dan produser terkenal, Mira Lesmana sekaligus menguatkan lagi andaian bahawa selebriti berusia 27 tahun itu sudah bergelar seorang isteri.

Khabarnya suami Maudy merupakan rakan baik Maudy ketika menuntut di Universiti Stanford, California. Pasangan ini dikatakan berkenalan pada hari pertama pengajian di Stanford Graduate School of Business (GSB).

PERKAHWINAN DUA BUDAYA
Majlis pernikahan pasangan ini dihadiri tidak lebih 150 tetamu yang terdiri daripada saudara terdekat pasangan pengantin. Tetamu hadir sekitar pukul 8 pagi namun majlis bermula pukul 9 pagi.

Majlis yang menggabungkan budaya perkahwinan Korea dan Jawa ini memperlihatkan pengantin lelaki memakai busana tradisional Jawa dan diapit oleh ibu bapa yang memakai pakaian tradisional Korea.

Manakala Maudy tampil jelita dalam persalinan kebaya putih moden lengkap dengan kain batik coklat sentuhan rekaan terkenal, Eddy Betty. Maudy cukup terkenal sebagai selebriti yang sering menggayakan busana tradisional termasuklah di majlis konvokesyennya tahun lalu.

Rambutnya digayakan menjadi sanggul klasik. Bintang Habibie & Ainun 3 ini juga menggunakan solekan natural berkonsepkan Jawa klasik. Walau ringkas tapi solekannya nampak glowing dan natural. Cukup sekadar menggunakan sehelai bulu mata dan garis kening yang ringkas. Agar lebih berseri, sedikit pemerah pipi digunakan.

Kebaya berkonsepkan tradisional Jawa moden, kerana dilengkapi dengan tanjung berjuntai. Perincian kebaya berkolar jantung dan diselitkan labuci dan kerongsang di bahagian dada. Penampilan dilengkapi aksesori seperti anting-anting, rantai dan tiara ringkas.

Maudy menerima mas kahwin sebanyak 22.522 dolar AS atau Rp 330 juta rupiah. Ia mempunyai makna tersendiri bagi pasangan tersebut. Malah, Maudy telah memuat naik detik manis itu di Instagram miliknya dengan kapsyen “22.5.22” yang sama dengan tarikh perkahwinan mereka.

Akad nikah turut dilengkapi dengan pemberian cincin perkahwinan sebagai hadiah kasih sayang daripada pengantin lelaki buat pengantin perempuan. Semoga pasangan sepadan ini kekal bahagia selamanya.

Kredit Foto: Instagram Maudy Ayunda

IKLAN
Share