Menakutkan, Rakyat Malaysia Mati 18 Tahun Lebih Awal Akibat DIABETES & Penghidap PALING RAMAI Di Asia!

14 November setiap tahun merupakan tarikh umum bagi Hari Diabetes Sedunia. Bertemakan ‘Wanita dan Diabetes’ bagi tahun 2017, pendedahan yang dibuat menerusi kajian ‘Kesedaran Diabetes Asia’ oleh Sun Life Financial mendapati penyakit ini menyebabkan jumlah jangka hayat warga Malaysia berkurangan 18 tahun.

Merujuk laporan Astro Awani, selain Malaysia, pengurangan jangka hayat warga Filipina mencatatkan angka paling tinggi berbanding negara Asia lain iaitu sebanyak 33 tahun. Ini diikuti Malaysia, 18 tahun, Hong Kong dan Indonesia selama 16 tahun dan Vietnam 11 tahun. Kajian turut menunjukkan Malaysia mendahului jumlah pesakit kencing manis teramai di Asia diikuti Hong Kong dan Filipina.

Ia sekali gus meletakkan kes penyakit diabetes di Malaysia pada kadar 17.9 peratus, Hong Kong 9.6 peratus dan Filipina 6.9 peratus. Malah, kajian turut mendedahkan 42 peratus wanita di lima negara Asia tidak mengetahui bahawa wanita mengandung mempunyai lebih risiko kencing manis.

Secara purata, penghidap kencing manis membelanjakan RM7, 508 untuk merawat penyakit berkenaan.

Mengintai kes diabetes di Timaru, New Zealand, seorang ibu yang dikenali sebagai Julie Potatau terkejut apabila mendapati anak lelakinya iaitu Quinn Potatau yang berusia 8 tahun telah didiagnosis diabetes jenis pertama. Belum reda dengan berita tersebut, beberapa bulan kemudian, anak perempuannya, Jade Potatau yang berumur 6 tahun pula disahkan menghidap penyakit sama.

Julie yang bertugas sebagai pentadbir di Hospital Timaru berkata, penyakit tersebut mula menyerang anak lelakinya sebelum perayaan Hari Krismas tahun lalu selepas dia mengalami simptom yang teruk.

“Selama hampir 6 minggu, Quinn dilihat sering minum berlebihan dan kerap membuang air kencing sehinggalah pada suatu hari dia mengadu sakit perut dan mengalami penurunan berat badan. Ketika dibawa ke klinik, doktor telah melakukan pemeriksaan darah dari hujung jarinya dan didapati ada simptom diabetes. Memang saya sangat terkejut dan tak sangka kanak-kanak berisiko menghidap penyakit ini meskipun masih kecil.”

Enam bulan selepas Quinn disahkan diabetes, adik perempuannya pula mengalami simptom kencing dengan kerap selama dua malam berturut-turut. Bimbang dengan keadaan Jade, Julie segera membawanya ke South Canterbury District Health Board (SCDHB) dan disahkan pesakit kencing manis. Pun begitu, jelas Julie kedua-dua anaknya cukup berani dan kental mengharungi penyakit tersebut.

Sambil menyifatkan diabetes telah mengubah kehidupan mereka 360 darjah, Julie mengakui harus merancang banyak perkara dan selalu memantau kesihatan mereka. Malah, regim rawatan untuk anak-anaknya juga sangat ketat. Senaman, jenis makanan dan pengambilan insulin, segala-galanya perlu seimbang.

“Jade mesti ambil dua suntikan insulin setiap hari dan terpaksa membuat pemeriksaan darah di hujung jari sebanyak enam hingga lapan kali untuk mengenal pasti berapa banyak insulin yang harus diberikan keapdanya. Sementara Quinn pula dikenakan dos suntikan insulin yang lebih banyak pada waktu pagi dan perlu ‘berpuasa’ untuk seketika sebelum makan. Seperti Jade, Quinn juga terpaksa membuat pemeriksaan darah enam ke lapan kali sehari.”

Meskipun selama ini Julie sama sekali tidak mengetahui tentang diabetes, dia kini menggalakkan ibu bapa agar mengambil tahu mengenai penyakit ini. Katanya, apa yang penting adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang simptom penyakit kencing manis. Gejala utama yang akan dialami pesakit diabetes adalah rasa dahaga yang berlebihan, kerap membuang air kencing, penglihatan kabur, penurunan berat badan, sakit perut dan muntah.

 

Penyakit diabetes sebenarnya tebahagi kepada dua jenis iaitu

  • Diabetes bersandarkan insulin (jenis pertama)

Terbentuk apabila sistem imunisasi badan memusnahkan sel kelenjar pankreas iaitu satu-satunya jenis sel yang menghasilkan hormon insulin yang digunakan untuk penghadaman glukosa kepada tenaga.

  • Diabetes bebas insulin (jenis kedua)

Biasanya ia bermula dengan ketahanan insulin yang kemudian membuatkan sistem badan tidak menggunakan insulin dengan berkesan. Apabila insulin meningkat, kelenjar pankreas tidak mampu lagi mengeluarkan insulin pada kadar mencukupi. Kebanyakan kes diabetes jenis kedua ini berlaku seiring faktor usia lanjut, obesiti, keturunan, dan kurang bersenam.

Sumber: Astro Awani & www.stuff.co.nz

IKLAN
Share