Menerima Kelebihan Dan Kekurangan Pasangan, Resepi Kebahagiaan Rumahtangga YM TENGKU PUTERI NADIAH!

Bersempena bulan kasih-sayang, Majalah Nona berkesempatan menemu figura bernama YM Tengku Puteri Nadiah Tengku Aziz. Mahligai cinta yang dibina lebih sembilan tahun bersama suami tercinta membawa satu momen terindah dalam bahtera perkahwinan yang dicipta sekian lama. Hasil perkahwinan Tengku Nad dan suami, Wan Ahmad Kamal Mohd Rasdi, 43 tahun telah mengurniakan pasangan romantis ini cahaya mata yang cukup comel.

“ Saya mengenali suami melalui saudara. Dia dan suami saya berkawan rapat. Pada mulanya, kami kenal sebagai kawan biasa sahaja. Namun lama kelamaan, selepas dua tahun mengenali hati budi masing-masing, kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama pada tahun 2009.

“ Beza usia saya dan suami ialah sembilan tahun. Saya melihat dia seorang yang sangat matang. Saya kagum dengan cara dia menjaga ahli keluarga terutama ibu dan kakaknya yang tidak boleh melihat. Saya melihat dia seorang yang amat bertanggungjawab dan bertimbang rasa. Ciri-ciri itulah juga yang membuatkan saya tertawan dan jatuh hati kepadanya. Alhamdulillah, Allah mengurniakan kami rezeki dengan kehadiran tiga cahaya mata hasil daripada perkahwinan bersama,” bicara Tengku dan memulakan bicara.

URUS RUMAHTANGGA

Tengku Nad kini cukup bahagia di samping suami dan anak-anak tercinta. Beliau juga obses terhadap keluarga dengan menumpukan sepenuh perhatian buat insan-insan yang dicintainya. Walaupun Tengku Nad mempunyai karier hebat sebelum ini, beliau percaya, keputusan untuk bergelar suri rumah sepenuh masa adalah yang terbaik.

“Saya mempunyai Diploma in secretaryship dari salah sebuah kolej di Kuantan, Pahang dan pernah bekerja di sebuah Syarikat Agensi Pelancongan bersama makcik saya. Selepas dua tahun disitu, saya cuba menceburi bidang lain dengan menjadi salah seorang pramugari selama lima tahun di Malaysia Airlines.

Namun selepas berkahwin, saya dan suami membuka perniagaan Travel Agent yang diberi nama Golden Holiday dan kini sudah beroperasi lebih daripada lapan tahun. Selepas lahir puteri saya yang kedua, saya membuat keputusan untuk berhenti bekerja. Suami juga turut menyokong tindakan saya ini. Tambahan pula jarak antara anak kedua dan ketiga saya boleh dikatakan agak dekat. Jadi, saya perlu memberi fokus dan perhatian yang lebih. Buat masa sekarang, bisnes ini dikendalikan sepenuhnya oleh adik ipar saya.

Suami saya juga mempunyai perniagaan sendiri. Dia mengusahakan bisnes scrap besi buruk dan dalam pada masa yang sama, dia buat event. Kebanyakan event yang dia kendalikan terdiri daripada pihak kerajaan. Bisnes ini boleh dikatakan perniagaan keluarga dimana suami saya menguruskannya bersama adik-beradiknya sendiri.

Walaupun kini bergelar suri rumah sepenuh masa, saya cuba mencari peluang pekejaan dari rumah dengan membuat bisnes online secara kecil-kecilan. Saya menjadi salah seorang stokis tudung jenama terkenal Malaysia. Namun, jika ada rezeki, saya ingin keluarkan produk kecantikan saya sendiri suatu hari nanti, Insyaallah,” jelas Tengku Nad.

RESIPI KEBAHAGIAAN

“ Komunikasi itu amat penting dalam perhubungan. Saya dan suami akan lebihkan komunikasi dalam rumahtangga. Saya seorang yang suka luahkan jika ada sesuatu yang tidak kena. Saya tidak suka menyimpan atau memendam perasaan kerana ia boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Begitu juga dengan suami saya. Kami sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain.

Kami juga menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kami mengamalkan sikap toleransi agar rumahtangga yang dibina sentiasa mekar dan utuh. Labih-lebih lagi mengenai soal anak-anak. Kami akan dahulukan mereka terlebih dahulu dan sentiasa bekerjasama dalam mendidik serta membesarkan anak-anak kami,” tutur Tengku Nad lembut.

Tambah Tengku Nad lagi, suami isteri perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan rumahtangga disemai dengan nilai-nilai cinta. Berterus terang dalam perhubungan merupakan tunjang utama yang mampu memupuk nilai kasih-sayang dan mengekalkan kebahagiaan dalam rumahtangga.

“ Sejujurnya, suami saya tidaklah seorang yang benar-benar romantik. Kadangkala saya merasakan diri ini lebih romantik daripada dia. Bila tiba hari ulang tahun perkahwinan kami pula, biasanya kami akan mengambil peluang ini untuk bercuti di sekitar Kuala Lumpur sahaja dengan bermalam di Hotel sahaja.

Suami sering membuat kejutan untuk saya terutama bila tiba hari lahir saya. Seperti baru-baru ini, dia memanggil semua ahli keluarga saya untuk meraikannya bersama-sama. Pernah juga dia menyambut hari lahir saya di Langkawi pada tahun lepas. Dia deko bilik hotel kami untuk memberikan saya kejutan. Kadangkala, dia ada membuat kejutan dengan memberi saya jambangan bunga, “ ujar Tengku Nad.

IKLAN
Share