Mengintai Persiapan Menuju Hari Bahagia IZARA AISHAH & ADIB KHALID, Tak Sangka Dapat Sentuhan Pereka Masyhur Negara!

November ini bakal membuka halaman baru dalam kamus hidup Izara Aishah Hisham dan Adib Khalid. Berbaki 18 hari sahaja lagi sebelum menjelangnya detik penyatuan dua jiwa ini sebagai pasangan suami isteri yang sah.

17 November 2017 adalah detik paling bahagia yang dinanti-nantikan oleh Izara dan Adib bagi melengkapkan kisah cinta mereka dalam sebuah majlis penuh berkat iaitu perkahwinan.

Bukan sahaja mereka yang berdebar menanti saat untuk disatukan, para peminat seni tanahair juga turut teruja untuk mengetahui perkembangan terkini persiapan perkahwinan Izara dan Adib. Betapa hangatnya aura eksklusif dari bakal wedding of the year ini.

Mencecah usia 25 tahun Izara kini yakin dia sudah mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu biarpun di saat karier seni serta bisnesnya kini sedang berkembang.

“Alhamdulillah tempoh empat tahun mematangkan kami dan kini tiba masanya yang sesuai. Sebelum ini kami tidak mahu terlalu terburu-buru kerana masing-masing ada matlamat dalam karier yang ingin dicapai terlebih dahulu.

Kini apa yang diimpikan itu terlaksana dan paling penting mampu dari segi kewangan barulah kami berani membuat keputusan untuk berkahwin,” kongsi Izara yang menganggap Adib punya ciri-ciri lelaki idamannya selain banyak persamaan.

KEISTIMEWAAN

Izara dan Adib berkenalan melalui rakan ketika mereka keluar menonton teater bersama rakan masing-masing. Waktu itu Adib tidak mengenali Izara sebagai artis. Adib mengambil langkah pertama untuk mengenali Izara dengan lebih dekat. Namun Izara hanya ingin berkawan biasa dahulu sebelum menjalinkan hubungan yang lebih serius bersama Adib.

“Saya kagum dengan Adib kerana sepanjang kami bersama dia sentiasa ingin membuatkan saya rasa bahagia dan gembira selain gemar membuat kejutan kepada saya. Di kala saya sedih pun Adib sentiasa ada di sisi selain dapat menerima kelebihan dan kekurangan saya.

Adib juga memiliki ciri-ciri seorang pemimpin yang bijak, matang dan bertanggungjawab. Adib sangat menghormati keluarga saya. Itu yang menambat hati saya untuk menerimanya sebagai suami,” luah Izara yang kini sedang popular dengan drama Dia. Adib pula menganggap Izara seorang yang merendah diri selain cantik luar dan dalam.

“Izara pandai memasak terutama hidangan Melayu. Pertama kali merasa hidangan Thai serta Asam Pedas hasil air tangan Izara, cinta dan sayang saya semakin kuat. Izara berjaya membuktikan kebolehannya dalam memasak sebelum berkahwin lagi.

LAMARAN DAN MAJLIS

“Sebelum berlangsungnya majlis merisik, saya terlebih dahulu melamar Izara mengikut cara tradisi keluarga di mana keluarga saya bertemu dengan keluarga Izara. Bagi kami cara ini adalah yang terbaik kerana ia lebih beradab. Ketika itu juga buat pertama kalinya ibu saya dan ibu Izara mengenali antara satu sama lain,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Tune Studios & Tune Records berusia 27 tahun ini.

Usai majlis pernikahan pada 17 November 2017, Izara dan Adib bakal dirai dalam sebuah majlis resepsi yang cukup eksklusif di mana ia bakal direalisasikan oleh perancang perkahwinan terkenal tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim yang akan diadakan pada 19 November 2017 bertempat di Mercu Mustapha Kamal, Damansara. Tema klasik menjadi pilihan Izara.

Sementara Nas Great Idea pula bertanggungjawab merealisasikan impian perkahwinan bakal pengantin bagi majlis resepsi kedua yang bakal berlangsung di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur bertemakan black tie event

.

“Kami percayakan mereka kerana pengalaman yang luas dalam merancang perkahwinan selain mahukan yang terbaik. Mereka juga tahu kehendak kami dan tidak pernah mengecewakan. Nantikan sahaja sentuhan hebat daripada mereka ini. Kami sendiri tidak sabar untuk menantikan detik itu,” luah Izara penuh ceria.

Izara dan Adib mengharapkan semoga ikatan perkahwinan mereka terus diberkati serta kekal buat selama-lamanya. Tahniah Nona ucapkan buat Izara dan Adib. Semoga berbahagia hingga ke hujung nyawa. AMY MOHD 

Solekan & Dandanan: DATIN SAIDATULNISA

Busana: FARAH KHAN COUTURE (Izara), HACKETT LONDON & LANVIN (Adib)

Aksesori: DE BEERS (www.debeers.com)

Tajaan Lokasi: HOTEL ISTANA KUALA LUMPUR

 

IKLAN
Share