Menitik Air Mata Baca Kisah PELAJAR MISKIN Ini, Mula Sesi Pertama Persekolahan Dengan Baju LUSUH & Kasut KOYAK!

Saat kanak-kanak seusianya bersemangat menempuh sesi persekolahan dengan pakaian dan kelengkapan serba baru semalam, Nadia Natasha hanya mampu bersyukur kerana masih berpeluang mengikuti persekolahan tahun ini. Tiada pakaian baru yang disarungkan ke tubuhnya. Bahkan kasut hitam yang melindungi kaki juga kelihatan uzur dan terkoyak hingga menampakkan stoking hitam yang dipakai. Aduh, bergenang air mata lihat keadaan pelajar ini.

Dari riak wajahnya terserlah kesukaran hidup yang sedang dialami anak keenam daripada lapan beradik tersebut. Tudung sekolah yang dipakai juga polos tanpa lencana sekolah mahupun tanda nama. Barangkali ibu bapa Natasha tak mampu untuk membeli keperluan tersebut. Dan jika kebanyakan pelajar lain menaiki kereta ke sekolah, Natasha terpaksa jalan kaki sejauh dua kilometer ditemani adiknya yang turut bersekolah di tempat sama.

Menurut sumber yang dikongsikan Shahrizan Cunn di Facebook hari ini, Natasha memang berasal dari keluarga miskin. Ayahnya hanya mengambil upah dengan menjaga ternakan manakala ibunya pula bekerja memungut tiram. Namun disebabkan cuaca tidak menentu, ibu Natasha terpaksa mencari daun nipah muda untuk dijadikan rokok dan dijual kepada peraih. Berapalah sangat duit jualan yang diterima dan mungkin cukup-cukup makan saja.

Disebabkan kedaifan tersebut, hanya Natasha dan adik yang ketujuh saja bersekolah. Adik-beradik yang lain terpaksa berhenti sekolah awal kerana kedua-dua ibu bapa mereka tidak mampu menampung persekolahan anak-anak. Malah, ayah Natasha iaitu Ibrahim Donik sudah tua dan berusia 64 tahun tidak berupaya untuk melakukan kerja-kerja berat. Kini, semuanya bergantung di bahu ibunya.

Berdasarkan kenyataan Sharizan Cunn, keluarga ini ada menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM 300 sebulan dan Natasha yang memiliki kad OKU menerima bantuan RM 1800 setahun. Difahamkan, wang bantuan ini digunakan sepenuhnya untuk menampung kos sara hidup sekeluarga. Lebih menyedihkan, adik bongsu Natasha menghidap sakit lelah (asthma).

Bayangkan, 8 beranak berlindung dalam sebuah rumah usang tanpa perabot dan serba kekurangan. Mereka juga tidak mempunyai kenderaan walaupun sebuah motorsikal. Yang ada hanya sebuah basikal tua.

Bagi yang ingin meringankan beban Natasha dan keluarga, boleh berkunjung ke kediaman mereka di Kampung Sador Tawang, Bachok, Kelantan. Sumbangan juga boleh dihulurkan melalui Akaun Bank Islam 03-018-02-143989-7 Ibrahim Donik.

Sumber Facebook: Shahrizan Cunn

IKLAN
Share