Gaya Hidup

Menonton TV Jarak Dekat TIDAK Merosakkan Mata. 5 Fakta Tentang Mata Harus Anda Tahu!

Mata merupakan deria yang penting dalam menjalankan aktiviti seharian. Jika penjagaan mata tidak diberi perhatian khusus, kemungkinan seseorang bakal berhadapan masalah kehilangan penglihatan kekal. Ia merupakan masalah kesihatan global yang melibatkan hampir 161 juta penduduk dunia.

Masalah penglihatan merupakan gangguan yang disebabkan oleh penyakit mata, kecederaan atau abnormaliti struktur mata sejak lahir yang menghalang penglihatan normal pada satu atau kedua-dua belah mata. Mitos dan stigma masyarakat yang wujud menjadi punca kelewatan pengesanan, pencegahan dan rawatan kepada pesakit terutamanya kanak-kanak.

Mitos 1: Penggunaan Komputer Boleh Merosakkan Mata

Fakta :

Melihat pada monitor komputer secara berterusan selama berjam-jam akan menyebabkan ketidakselesaan pada mata atau dikenali sebagai computer vision syndrome (CVS). CVS akan terjadi pada seseorang yang membuat pergerakan yang sama setiap masa contohnya kanak-kanak yang bermain permainan video secara portable

atau mereka yang menggunakan komputer dalam aktiviti harian secara berterusan terutamanya jika pencahayaan dan kedudukan komputer yang tidak sesuai.

Masih belum terbukti bahawa CVS akan menyebabkan kerosakan kepada mata contohnya katarak. Simptom-simptom CVS adalah seperti mata kabur, penglihatan berganda (double vision), mata kering dan merah, iritasi mata, sakit leher, sakit belakang serta sakit kepala. Jika simptom-simptom ini tidak dirawat, ia akan menjejaskan prestasi kerja individu tersebut.

Mitos 2: Membaca Dalam Keadaan Samar Akan Merosakkan Mata

Fakta :

Menurut Dr. Richard Gans, seorang Pakar Oftalmologi dari Cleveland Clinic Cole Eye Institute, cahaya samar akan menyebabkan mata kurang berkedip, sukar untuk fokus dan akan mengakibatkan mata menjadi penat dan kering. Ketidakselesaan ini tidak menyebabkan sebarang kerosakan pada struktur atau fungsi mata. Untuk menyelesaikan masalah ini, pesakit hanya perlu menggunakan ubat titis sebagai pelembap. Menurut beliau lagi, tiada bukti saintifik yang membuktikan bahawa membaca di dalam cahaya samar akan menyebabkan kerosakan pada mata.

Mitos 3: Menonton TV Pada Jarak Dekat Akan Merosakkan Mata

Fakta :

Pernyataan ini adalah tidak benar. Keadaan ini adalah sama seperti membaca dalam keadaan samar. Ia tidak akan merosakkan mata sama ada disebabkan oleh overfocusing ataupun daripada segi radiasi. Kanak-kanak yang melakukan sedemikian mungkin bagi melihat imej di televisyen dengan lebih jelas dan ini adalah petanda bahawa kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan kaca mata.

Mitos 4: Makan Lobak Merah Akan Memulihkan Rabun Mata

Fakta :

Lobak merah adalah makanan yang kaya dengan beta-carotene iaitu pigmen karotid yang juga dijumpai di dalam buah oren, sayur-sayuran, keju, susu, kuning telur dan hati. Karotid merupakan precursor penting bagi vitamin A di mana kekurangan vitamin A yang ekstrem akan menyebabkan kebutaan seperti yang berlaku di kebanyakan negara yang sedang membangun. Vitamin A boleh membantu dalam mengatasi masalah katarak dan degenerasi makular akan tetapi jika masalah penglihatan anda tidak berkait dengan vitamin A, penglihatan anda tidak akan berubah walau sebanyak mana pun anda memakan lobak merah.

Mitos 5: Kuasa Cermin Mata Dapat Dikurangkan atau Akan Bertambah Sekiranya Memakai Cermin Mata Setiap Hari

Fakta :

Penambahan atau pengurangan kuasa cermin mata adalah bergantung kepada pertumbuhan mata pesakit. Cermin mata hanyalah alat bantuan penglihatan yang dapat membantu si pemakai untuk melihat dengan lebih jelas. Pemanjangan bola mata akan tetap berlaku walaupun memakai cermin mata.

Tanda-tanda yang boleh diperhatikan jika seseorang mempunyai masalah mata adalah:

  1. Melihat televisyen atau sesuatu objek pada jarak dekat
  2. Kerap berkelip dan menggosok mata
  3. Mata berair
  4. Sakit kepala
  5. Mata mudah menjadi penat
  6. Suka menelengkan kepala

ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Sumber: Portal myhealth.gov.my

IKLAN
Share