“Mentua Layan Saya Seperti Anak Mereka Sendiri, Bukan Macam Menantu” PUTERI SARAH LIYANA

Disakiti dan dilukai pasti akan meninggalkan bekas yang mendalam.

Itulah yang dialami oleh pelakon jelita, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin. Kalau dulu kehidupannya sehari-hari hanyalah suami dan anak-anak namun sejak rumah tangganya bersama pengarah terkenal, Shamsul Yusof ‘goyah’ disebabkan pihak ketiga, Puteri Sarah mula bangkit.

Ibu kepada Syaikul dan Sumayyah ini kembali aktif dalam dunia lakonan. Rezekinya kian mencurah-curah berkat kesungguhan dan niat kerana Allah SWT.

“Alhamdulillah, dengan izinNya kehidupan saya dan anak-anak sekarang semakin baik. Selain lebih bahagia, saya kembali menjadi Puteri Sarah yang dulu. Lebih fokus dan tegas dalam membuat sebarang tindakan dan keputusan.

“Saya juga bersyukur kerana Dia hadirkan orang yang baik-baik di sekeliling saya iaitu keluarga, keluarga mentua termasuk pembantu peribadi saya. Mereka sentiasa memberi sokongan dan ada di sisi saya saat susah senang.

“Keluarga mentua pun selalu layan saya seperti anak mereka sendiri, bukan macam menantu,” kongsi anak kelahiran London ini yang berusia 36 tahun.

MULA BANGKIT
“Untuk berhadapan dengan situasi ini bukan mudah. Cara yang terbaik untuk seorang wanita itu bangkit ialah mengambil tindak sewajarnya.

“Bila perkara itu mula berlaku, saya sudah mula terfikir hendak buat bisnes secara kecil-kecilan sahaja. Dengan wang simpanan yang ada, saya buat bisnes produk penjagaan kulit, kosmetik serta tudung.

“Kebetulan pula waktu itu saya mengandungkan Sumayyah. Satu keajaiban berlaku di mana saya baru saja sebulan memulakan bisnes kosmetik. Agak sukar juga nak berkembang sebab orang belum kenal produk kita. Tetapi, dengan izinNya rangkaian kosmetik saya itu berjaya memasuki AEON Wellness seluruh Malaysia selama dua tahun.

REZEKI BERKAT
“Agar rezeki lebih berkat sentiasalah bersedekah walaupun rasa tidak cukup duit. Bersedekah dengan seikhlas hati. Satu lagi, gembirakan ibu bapa. Alhamdulillah, rezeki Syaikhul dan Sumayyah juga.

“Hasil keuntungan bisnes, saya buat simpanan untuk anak-anak termasuk diri sendiri. Anak-anak saya sudah mulakan sejak mereka bayi lagi ternasuk insuran serta simpanan haji. Selain itu, saya juga sudah merancang untuk menghantar mereka ke sekolah terbaik di samping seimbangkan ilmu dunia akhirat. Insha-Allah.”

WANITA USAH TERLALU SELESA
“Sesetengah wanita di luar sana mereka terlalu selesa bila dapat suami yang ada segalanya. mereka fikir tidak perlu berbuat apa-apa dan terus berada dalam keadaan selesa. Ini nasihat saya agar kita sentiasa beringat, takut tiba-tiba Allah pusing hidup kita seperti yang berlaku pada saya sekarang ini.

“Saya yakin Allah dah susun cantik perjalanan hidup saya ketika ini. Sekarang ini bila sudah mula bekerja, saya berjaya membina keyakinan diri. Saya tak mahu lagi anak-anak lihat saya sebagai seorang yang pemarah dan negatif. Saya mahu anak-anak hidup dalam persekitaran yang positif.”

Kredit Foto: Instgram Puteri Sarah Liyana

 

IKLAN
Share