Menyepikan Diri & Pilih Kehidupan Sederhana, Rindunya Dengan Lakonan NASHA AZIZ!

Melihat personaliti dirinya yang lembut dan tersusun dari segi tutur kata, pasti ramai yang mengagumi aura yang dimiliki oleh Nasha Aziz yang mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihat kelibat dirinya walaupun kini dilihat seakan-akan menjauhkan diri dalam dunia seni.

“Memang saya sengaja meletakkan diri saya eksklusif terutama dalam bab kerja. Kena selektif sebelum bersetuju untuk menerima sebarang naskhah. Kerja juga tak boleh tangkap muat saja. Saya mahu menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai yang tinggi bukan sahaja untuk diri saya, malah untuk peminat dan individu yang bekerja bersama saya”, ujar Nasha yang mempunyai kredibiliti tiada ganti.

Dalam memperkatakan tentang penglibatannya dalam dunia lakonan yang semakin menyepi, akui Nasha dia sememangnya tidak dapat lari dari melibatkan diri dalam bidang yang amat disayanginya iaitu peragaan dan lakonan. Walaupun tidak kerap muncul di kaca televisyen dengan drama atau filem terbaharu, namun Nasha lebih selesa membuat kemunculan di beberapa drama televisyen untuk mengubati kerinduannya terhadap bidang lakonan.

“Siapa yang tidak rindu dunia lakonan yang sudah menjadi sebahagian rencah dalam kehidupan saya. Bohong jika saya katakan saya tidak rindu terhadap dunia lakonan. 50 peratus diri saya rindu untuk aktif berlakon, tetapi sebahagian darinya perlu memberi tumpuan terhadap perkara lain.

Jadi, saya faham peminat merindui kemunculan saya tetapi Insyaallah jika ada naskah yang sesuai, saya tetap akan memberi komitmen tanpa berbelah bahagi. Saya kini lebih memberi tumpuan terhadap perkara-perkara utama dalam hidup dan memilih untuk menjalani kehidupan yang lebih tenang dan sederhana. Itu matlamat saya,” ujar Nasha mengakhiri perbualan.

IKLAN
Share