Gaya Hidup

Menyingkap Intuisi Jiwa Muslimah, Beratkah PERANAN Yang Perlu Digalas Oleh Wanita Moden?

Di sekitar awal penciptaan manusia iaitu Adam telah menceritakan sememangnya manusia memerlukan teman. Oleh kerana itu, Allah SWT menciptakan Hawa sebagai pelengkap kepada kekurangan dan kesepian dalam hidup seorang Adam sebagai isterinya. Sebagai tujuan yang lebih tinggi iaitu bagi meramaikan umat, untuk melakar sejarah kebudayaan yang lebih menarik.

Meskipun begitu, dalam kebanyakan kisah di dalam al-Quran, khususnya apabila kita melihat perjalanan cerita penciptaan Hawa itu sendiri memperlihatkan tentang kepentingan peranannya yang berfungsi sebagai isteri dan menjadi peneman hidup kepada Adam.

Adapun kisah peranan wanita lain adalah ketika perjalanan riwayat hidup Nabi Muhammad SAW yang kita kenali iaitu memelihara Rasulullah SAW iaitu Aminah; ibu kandung baginda, yang menyusuinya; Halima As-Sa’diyah dan yang menjadi pengasuh baginda iaitu Ummu Aiman r.a. daripada Habsyah.

Rasulullah SAW telah bersabda, “Bahawa dia adalah ibuku setelah ibuku sendiri.” Kemudian, muncul pula Siti Khadijah binti Khuwailid r.a, wanita pertama yang beriman dan membantu baginda, Siti Aisyah, Ummu Salamah dan lain-lainnya daripada Ummahatul Mu’minin iaitu ibu daripada kaum Mukmin, juga isteri-isteri nabi serta isteri-isteri para sahabat Rasulullah SAW.

Sedari pada zaman kewujudan Adam lagi sehinggalah pada zaman kehidupan Rasulullah SAW, kaum wanita telah dilihat berperanan penting bagi sama-sama berjuang menegakkan agama Islam dan saling melengkapi kaum Adam.

Dahulu dan meskipun sekarang, wanita sering dianggap sinonim dengan dapur dan anak atau lebih kepada keperihalan rumah tangga semata-mata. Pun begitu, peranan mereka sudah banyak berubah terutama kini memegang profesion penting seperti peguam, doktor, jurutera, guru dan mencapai taraf pendidikan yang setanding dengan kaum lelaki.

Dewasa ini, peranan wanita cukup meluas sehingga meliputi pelbagai bidang terutama berhubungan dengan dirinya sendiri yang diselaraskan dengan Islam. Hal ini tentunya menjurus kepada perihal segi akidah seseorang wanita itu, akhlak dan jalan penyelesaian masalah yang tidak menyimpang daripada apa yang sudah digariskan oleh Islam.

Kaum Muslimah telah dilihat melalui satu fasa perubahan yang baharu di mana kaum wanita Islam juga mempunyai kerjaya yang tinggi sebagaimana dimiliki oleh kaum lelaki. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita yang dilihat pada masa kini lebih terjerumus kepada cara hidup kebaratan yang meniru secara membuta-tuli.

Fesyen wanita Islam hari ini telah melalui pelbagai peringkat yang rata-ratanya banyak melanggar hukum-hakam agama. Misalnya, pakaian yang terlalu melekat pada batang tubuh sehingga menampakkan bentuk tubuh lalu menjadikan alasan fesyen adalah sebahagian daripada trend masa kini. 

Seharusnya, mereka perlu menjalani dan memelihara akhlak dan perilaku mereka bersesuaian dengan yang dikehendaki oleh Islam. Kaum Muslimah tidak boleh semena-mena terpengaruh dengan sikap dan perilaku wanita bukan Islam.

Hal ini kerana, atur cara hidup mereka adalah bebas dan tidak terikat kepada perkara halal dan haram, mahupun baik atau buruk serta berbeza sama sekali dengan pemikiran dan peraturan-peraturan sebagaimana yang digariskan dalam panduan Islam.

Kepentingan kaum wanita adalah sama taranya dengan kaum lelaki kerana diawal kewujudannya, kaum Hawa diciptakan adalah bagi saling melengkapi antara Adam dan Hawa.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda, bahawa: “Janganlah kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian dan berkata, “Aku ikut saja seperti orang-orang itu. Jika mereka baik, aku pun baik; jika mereka jahat, aku pun jahat.

Tetapi teguhkan hatimu dengan keputusan bahawa jika orang-orang melakukan kebaikan, maka aku akan mengerjakannya dan jika orang-orang melakukan kejahatan, maka aku tidak akan mengerjakannya.”

SEIMBANG

Keseimbangan tanggungjawab yang dipikul kaum wanita berbanding lelaki ada perbezaannya. Namun begitu, di dalam al-Quran telah ditetapkan tentang kesemua perintah ditujukan kepada kedua pihak iaitu lelaki dan wanita, terkecuali yang tertentu bagi salah satu daripada keduanya, iaitu kewajipan bagi kaum wanita di dalam keluarganya ialah dengan menjalankan apa yang diwajibkan kepadanya. 

Perlu diketahui tentang tanggungjawab sebagai seorang anak, seandainya kedua orang tuanya menyimpang daripada batas-batas agama, maka dengan cara yang baik serta sopan, seharusnya dia mengajak kedua orang tuanya kembali ke jalan yang betul iaitu yang menjadi tujuan agama, di samping dia tetap menghormati kedua orang tuanya.

Selain itu, sentiasa menjaga nama baik dan maruah diri, agama serta keluarga. Sementara itu, wajib bagi setiap isteri membantu suaminya dalam menjalani perintah agama, selain mencari rezeki yang halal serta menerima dan mensyukuri apa yang dimiliki.

Wajib pula bagi setiap ibu untuk mendidik anak-anaknya supaya taat kepada Allah SWT dengan menjauhi segala larangan-Nya dan menjalankan segala perintah-Nya serta sentiasa taat kepada kedua orang tuanya.

Kewajipan bagi wanita seagama Islam adalah dengan ingat-mengingati sesama sendiri untuk sama-sama membersihkan akidah dan tauhidnya daripada terus dipengaruhi segala apa yang bertentangan dengan garis panduan Islam.

Dengan wujudnya tindakan-tindakan di luar Islam yang mengancam sebahagian kaum Muslimin terhadap wanita yang kurang prihatin, maka hal inilah yang akan menyebabkan terpengaruhnya mereka pada peradaban barat dan fahaman-fahamannya.

Selain daripada kerjaya atau profesion yang menjadi saingan kepada kaum lelaki hari ini, wanita Muslim seharusnya dibekali dengan keseimbangan ilmu di antara agama dan duniawi serta perlu arif tentang adab atau batas-batas perhubungan dengan kaum lelaki, hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga seperti hal perkahwinan, tanggungjawab suami dan isteri, perhubungan ibu bapa dan anak-anak serta perhubungan dengan saudara yang lain serta peraturan hidup seharian daripada segi pemakanan, berpakaian, pembelajaran, pekerjaan dan sebagainya.

Paling utama sekali, wanita Muslim perlu mempersiapkan diri mereka dari segi rohani, mental dan fizikal ke tahap yang sebaik mungkin supaya mereka dapat menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. KR

IKLAN
Share