Merdunya, Nyanyian ERNIE ZAKRI Bikin Ramai Tergoda! Sanggup Dengar Suara Emas Ini Berulang Kali

Ahad lalu, selepas dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik dalam sebuah pertandingan muzik berprestij, populariti gadis kecil molek ini mencanak naik. Ramai yang memuji bakat luar biasa yang dimiliki Ernie Zakri, malah video nyanyian gadis berusia 26 tahun ini juga penuh menghiasi medium media sosial beberapa hari kebelakangan ini. Lantas membuatkan ramai yang cuba menggali latar belakang penyanyi hebat berkenaan.

Ernie Zakri atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri bukanlah pendatang baru dalam industri muzik tanah air. Kerjaya seninya telah bermula hampir sembilan tahun lalu selepas menjadi Juara Bintang RTM 2009. Dua tahun selepas kemenangan tersebut, Ernie melangkah setapak ke hadapan menerusi pelancaran album sulungnya, Sinaran. Namun, percaturan anak saudara kepada penyanyi popular Ziana Zain dan Anuar Zain ini tidak begitu menyerlah waktu itu.

Ernie bersama Pak Ngahnya, Anuar Zain

Selesa berada di belakang tabir sebagai guru vokal meskipun kemampuan lontaran suaranya sudah diakui, Ernie merupakan graduan muzik (vokal) dari Universiti Teknologi MARA sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah di Universiti Malaya. Tidak hairanlah ramai kenalan artis yang menempa nama lebih awal daripada Ernie mendapatkan tunjuk ajar dari gadis berjiwa besar ini. Dia punya ilmu yang luas dalam bidang muzik rupanya!

Kalau diselidik kembali single yang pernah dilancarkan Ernie memang banyak. Pada tahun 2011 dia hadir dengan lagu Mencari Diriku dan Tersalah Sangka. Kemudian berkolaborasi bersama Dali Ahli Fiqir untuk lagu Sedetik Cinta pada 2014 dan tahun berikutnya muncul dengan dua lagi single

iaitu Takkan Cinta dan Itu Yang Ku Mahu. Diikuti pada tahun 2016 dengan Jangan Marah. Penglibatan Ernie kian menyinar pada tahun 2017 apabila memenangi pertandingan Duo Star bersama Naib Juara Akademi Fantasia 2015, Syamel.

Dendangan lagu Aku Cinta nyata mencetuskan fenomena tersendiri buat Ernie sepanjang pembabitannya dalam arena muzik tanah air. Mendapat pujian tinggi daripada Ketua Juri tentang vokalnya yang ‘perfect pitch’ dan cukup lunak, nyanyian Ernie turut mendapat perhatian penyanyi tersohor, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang mengakui kehebatan pelapis seni ini.

Lebih menarik, kebanyakan netizen tanpa berselindung mengaku menonton video nyanyian Ernie dan Syamel berulang-ulang kali. Malah, jumlah pengikut Ernie di lnstagram turut dilihat makin meningkat sejak detik manis itu. Pun begitu, ada juga usikan nakal yang menganggap Ernie tidak wajar menyertai pertandingan seumpama itu kerana profesion guru vokal yang disandangnya ketika ini.

Apa-apa pun, Nona percaya peminat seni tanah air tahu menilai bakat seseorang penyanyi dan pastinya kehadiran anak seni seperti Ernie dalam industri muzik sangat dialu-alukan!

 

 

 

 

IKLAN
Share