Merecik! Tengok Ikan Keli Salai Masak Lemak Cili Api, Ayuh Cuba Resipi Datin Azrene

Gulai lemak atau masak lemak boleh dikatakan semua negeri dalam Malaysia mempunyai resipi yang tersendiri. Ada yang manis, ada yang pekat dan ada juga yang ditambah dengan buah-buahan seperti nanas atau belimbing. Tapi, Negeri Sembilan terkenal dengan Masak Lemak Cili Api.

Istimewa bersama NONA dalam Air Tangan VIP, Datin Azrene Ahmad berkongsi caranya masak Ikan Keli Salai Masak Lemak Cili Api Bersama Belimbing Buluh. Istimewanya masakan daripada Datin Azrene ini apabila tidak menggunakan gula dan kurangkan garam. Menurut ibu kepada 4 orang anak ini keluarganya kurang mengambil gula demi untuk menjaga kesihatan.

Malah isteri kepada Dato’ Fazley Yaakob ini sering mendapat pujian dari suaminya kerana kehebatan memasak di dapur sama ada lauk kampung mahu pun hidangan Barat. Dato’ Fazley sendiri pernah mengaku tidak masak di rumah sendiri kerana mahu makan air tangan isterinya. Beruntunglah isteri pandai masak. Mari kita cuba resipi yang telah dikongsi oleh pemilik Three Little Ahmads ini.

Bahan-bahan;

4 ekor ikan keli salai
5 ulas bawang merah, dikisar
5 ulas bawang putih, dikisar
5 biji cili padi kampung, dikisar
2 inci kunyit hidup, dikisar
5 keping asam keping
10 biji belimbing buloh
2 tangkai serai (dititik)
1 biji limau nipis
2 paket santan
1 jug air
Garam kasar

Cara membuat;

1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama serai, asam keping dan air.
2. Kemudian masukkan semua ikan ke dalam periuk dan masak sehingga semua aroma masukkan ke dalam ikan.
3. Bila sudah mendidih, masukkan belimbing buluh.
4. Masukkan garam kasar dan perah limau nipis.
5. Masak sehingga mendidih dan kacau sehingga air atau kuah surut sehingga separuh.
6. Masukkan santan. Kacau sehingga santan pecah minyak dan boleh dihidangkan.

Tip Datin Azrene Ahmad

Kalau masak makanan berasaskan santan, api dapur kena kecil baru boleh masak lama dan biarkan masak sampai santan pecah minyak. Bila masak lama, lauk yang kita masak pun boleh tahan lama dan tak cepat basi.

IKLAN
Share