Mempunyai empayar dan perniagaan sendiri iaitu pakej perkahwinan Bizmilla dan beberapa business lain menjadikan Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 31 sebagai anak seni yang berjaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
“Bukanlah sesuatu yang mudah dari seorang anak seni yang tidak tahu apa-apa dalam dunia perniagaan. Saya tekad untuk belajar dengan suami tentang selok belok dalam perniagaan sewaktu usia saya 19 tahun lagi”, tulisnya di laman instagram.
Malah, untuk berada ke tahap ini dia harus menanamkan sifat yang positif dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum dapat menyuntik semangat usahawanita lain untuk berjaya.
Ads
“Dalam fikiran saya hanya satu pada waktu itu iaitu untuk berikan kebahagiaan buat kedua ibu bapa. Alhamdulillah, walaupun pun ada saat jatuh dan bangun, saya tetap POSITIF serta YAKIN pada Allah”, tambahnya yang dikurniakan seorang anak lelaki, Arif Zikri.
Ads
Pencapaiannya dalam bidang perniagaan yang diusahakan bersama suami Ahmad Ailis, berbuahkan hasil apabila suami tersayang memberi kejutan dengan menghadiah sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz S400!
Ads
Walau bagaimanapun , hadiah tidak ternilai baginya ialah suami dan anak lelaki mereka kerana tidak ada yang mampu tandingi. Bergelar seorang ibu, isteri dan usahawanita dalam maasa yang sama tentunya memberi sedikit cabaran dalam hidupnya.
Bukan mudah untuk seseorang menempa kejayaan seperti Mila jika tidak disertakan dengan azam, semangat dan disiplin yang tinggi. Apa lagi dikurniakan suami yang sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar. Semoga kejayaan penyanyi kecil molek ini dapat memberi inspirasi kepada wanita lain di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memecah dominasi patriarki dalam bidang sains kimia dan nanoteknologi, pencapaian Academician Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ini jelas amat membanggakan.
Eksklusif sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, Nona mengatur bicara dengan Saintis Akademik berusia 65 tahun itu demi meresap aspirasi dan semangat berbaktinya.
Lembut dan bersahaja. Begitulah personaliti Prof Halimaton, anak Johor dan ibu kepada dua cahaya mata ini. Siapa sangka di sebalik senyuman manis yang terukir di bibirnya, beliau memegang pelbagai portfolio penting di Malaysia.
Jika mahu disenaraikan segala anugerah, pencapaian, pengiktirafan, penulisan mahupun penyelidikan akademik Prof Halimaton di peringkat nasional dan antarabangsa, barangkali terlalu panjang untuk ditulis.
Selain bergelar Profesor Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Halimaton juga merupakan Pengerusi Malaysia Institute for Innovative Nanotechnology (NanoMITe), Pengerusi Lembaga Pentadbiran International Science, Technology and Innovation Center (ISTIC) di bawah UNESCO, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin serta Senior Fellow Akademi Sains Malaysia.
Tengoklah senarai tu, bukan calang-calang wanita mampu menggalas jawatan sehebat Prof Halimaton!
HARI WANITA
Tanggal 8 Mac setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa untuk meraikan wanita di seluruh dunia. Bagi Prof Halimaton, beliau berbangga dengan pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains.
“Sebenarnya jika dibandingkan dengan negara membangun dan maju sekali pun, pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains hari ini sangat baik.
Wanita Malaysia bebas memilih bidang pengajian semenjak Malaysia merdeka dan telah menerima gaji dan sokongan yang sama.
Jadi melalui pengalaman dan pemerhatian saya, wanita dalam bidang sains di Malaysia telah membuktikan kebolehan mereka dalam penyelidikan, pembelajaran dan industri yang mereka ceburi.”
Bersandarkan falsafah hidup, ‘Tanya diri sendiri dan buat apa yang termampu tanpa menyusahkan orang lain,’ Prof Halimaton menjadikan arwah ayahnya sebagai sumber inspirasi. “Arwah seorang yang tegas, berintegriti dan mengutamakan pendidikan dalam kehidupan.”
Sedekad kebelakangan ini, nama Prof Halimaton cukup masyhur dengan gelaran ‘Prof Maerogel’ susulan penemuan beliau mencipta aerogel daripada sekam padi. Bagaimana agaknya perkembangan penemuan tersebut setakat ini?
“Aerogel daripada sekam padi (Maerogel) yang ditemui telah menerima paten Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Penghasilan Maerogel telah dibangunkan di peringkat pasca-makmal dan pra-komersial.
Melalui kajian lanjutan yang telah dijalankan, berasaskan permintaan industri, teknologi penghasilan aerogel silika telah dipertingkatkan, yang mampu menyelesaikan masalah keselamatan dan penggunaan tenaga yang tinggi.
Penghasilan aerogel silika menggunakan teknologi Renewable Silica (RenSil-A) ini telah diuji untuk penggunaan oleh industri penebat haba (insulation blanket), sarung tangan, kabel elektrik dan paip gas dan minyak.
Dengan kerjasama daripada industri, projek penghasilan RenSil-A yang pertama akan dibangunkan dalam masa terdekat,” cerita Prof Halimaton panjang lebar.
Terkini, saintis akademik hebat ini sedang dalam fasa akhir projek penyelidikan NanoMITe (2015-2020). Mereka sibuk membangunkan sistem pirolisis pasca penyelidikan bagi penghasilan bahan api jet (jet biofuel) daripada biojisim kelapa sawit.
“Kami juga dalam proses komersial produk dan teknologi penyelidikan, merancang hala tuju strategik dan pengurusan ISTIC, memperbaiki perlaksanaan pembelajaran atas talian pasca COVID-19 di UTM, melaksanakan program pemerkasaan ilmu STEM kepada guru bersama ISTIC dan Pusat STEM serta merancang hala tuju strategik penyelidikan nanoteknologi (NanoMITe).”
Sebagai ahli akademik, Prof Halimaton tidak menafikan turut bimbang dengan masa depan pendidikan sains pasca COVID-19.
“Pendidikan sains sangat terjejas oleh pandemik. Seperti yang kita maklum, pendidikan sains di Malaysia sedang dalam proses pemerkasaan dengan menerapkan pendekatan belajar memahami dengan melakukan eksperimen.
Pandemik COVID-19 telah memaksa pembelajaran atas talian dijalankan secara tiba-tiba yang merencatkan pembelajaran sains khususnya. Justeru, kita menghadapi cabaran yang sangat besar untuk memastikan pembelajaran sains yang telah tertinggal di semua peringkat dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Pelajar perlu mampu mengubah ilmu sains alam maya ke alam nyata sebaik sahaja mereka bersekolah semula,” luahnya sambil menyatakan alangkah baik jika rakyat Malaysia telah dibekalkan dengan ilmu sains yang menyeluruh sebelum ini.
Generasi zaman ini lebih cenderung belajar secara visual, kurang kemahiran motor, jauh sekali minat terhadap sains. Komen Prof?
“Kecenderungan ini bukan atas dasar keperluan tapi kemudahan. Sekiranya pembuat polisi memahami keperluan asas pembelajaran sains adalah melalui pendekatan membuat dan mengalaminya secara nyata dan diberikan keutamaan, minat terhadap sains pasti dapat dikekalkan.
Sebagai contoh, dengan melihat video orang memasak sesuatu resipi tidak menghasilkan makanan yang sedap jika kita tidak memasak sendiri dan memahami ilmu yang terlibat.”
YAYASAN MYPRIHATIN
Selain bidang pendidikan, Prof Halimaton juga aktif dalam bidang amal kebajikan. Antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin.
“MyPrihatin telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemuda untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dan sihat.
Badan amal ini berhasrat melaksanakan program tertentu, menggunakan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat untuk dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.
Pengalaman saya dalam akademik dan bidang sains mendorong saya untuk membantu Yayasan menyumbang ke arah tersebut. Kita mahu membantu golongan yang memerlukan untuk mendapatkan ilmu yang sesuai untuk membantu kehidupan masa hadapan.
Banyak pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bergelar Pengerusi Yayasan MyPrihatin. Namun salah satu yang paling bermakna bagi saya adalah sewaktu kami bekerjasama dengan Yayasan IJN.
Ketika itu MyPrihatin telah membantu melalui proses logistik yang membolehkan ramai pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan di IJN. Ramai pesakit kanak-kanak daripada golongan keluarga B40 dapat dibantu untuk mendapatkan rawatan di IJN.
Pengalaman itu cukup-cukup berharga bagi saya,” akhirinya.
Syabas Prof Halimaton! Nona mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2021 buat seluruh wanita yang sentiasa berbakti, berkorban masa dan keringat demi masa depan anak pertiwi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Romantisnya pasangan suami isteri ini. Bukan hanya kelihatan sepadan bersama bahkan kemesraan mereka cukup asli. Ternyata, mereka saling memerlukan dan melengkapi di antara satu sama lain. Perkahwinan Adam Corrie Lee Abdullah dan Fazema Mohd Fuad pada 21 November 2008 tidaklah segemilang majlis resepsi pasangan selebriti lain namun cara pertemuan mereka begitu indah untuk dikenang.
Hanya sempat berkenalan dalam tempoh singkat, Adam Corrie dan isteri sepakat mendirikan rumah tangga selepas hanya tiga kali bertemu. Benarlah, aturan Allah itu adalah yang terbaik. Menerusi satu klip video yang dikongsikan Adam Corrie di laman Instagramnya baru-baru ini, bintang berbakat besar ini mengakui telah menyampaikan hasrat untuk berkahwin di hadapan makam Rasulullah SAW ketika mengerjakan umrah selepas lapan bulan dia kembali kepada fitrah (peluk Islam).
Tersipu-sipu si isteri bila suami cerita semula detik perkenalan mereka. Hihi……Kredit: Kengkawanproject dan Astro Gempak…Hadith Open Mic adalah sebuah acara anjuran Kengkawan Project sebelum ia diangkat menjadi sebuah program TV di Astro Oasis. …Untuk mengetahui lebih lanjut dan menyertai program #hadithopenmic, boleh ikuti Facebook page Kengkawan Project di sini: https://www.facebook.com/kengkawanproject/ ..#sampaikanwalausatuayat
Menurut Fazema yang sering digelar sebagai Bidadari oleh suaminya, Adam Corrie telah menghubunginya pada 3 Ramadan dan propose jadi isteri. “Apabila suami propose, saya kata nanti dulu. Bagi saya masa untuk saya buat istikarah dan solat hajat. Bila saya rasa ok, saya akan minta izin daripada ibu bapa saya sama ada jodoh ini betul ke tidak.
Dan keluarga saya pun buat istikarah dan alhamdulillah rasanya itu jodohnya. Walau pun kita tak kenal, Allah dah tetapkan jodoh kita. Dalam masa 2 minggu iaitu pada Nuzul Al-Quran saudara Adam Corrie telah datang meminang saya. Itulah kali kedua kami berjumpa. Dalam masa dua bulan, kali ketiga kami berjumpa adalah pada hari akad nikah kami.”
Tahun ini merupakan tahun ke-10 Adam Corrie bergelar umat Islam sejak memeluk agama suci ini pada 13 Julai 2007. Meskipun telah 9 tahun melayari bahtera perkahwinan di samping insan tersayang dan tanpa kehadiran cahaya mata, namun Fazema dan Adam Corrie mengharungi hidup dengan penuh kesyukuran.
Tulis Fazema di Instagramnya suatu ketika dulu, “Kami ok berdua. Jika belum masanya untuk kami timang cahaya mata mesti Allah ada perancangan yang terbaik untuk kami berdua. Allah dah bagi saya merasa hamil 3 kali. Itupun sudah saya rasa syukur alhamdulilah.
Setiap kali mendengar khabar berita orang sekeliling hamil, saya mesti menangis kerana gembira. Hingga sekarang kami masih berusaha, yang pasti kami masih tidak berputus asa dan kecewa. Kerana Allah dah beri banyak nikmat yang perlu saya rasa bersyukur. Iaitu mendapat seorang suami yang baik dan penyayang serta keluarga yang memahami dan sentiasa beri sokongan di kala susah dan senang.
Setiap perkara yang berlaku mesti ada hikmahnya. Yang penting kami berdua bahagia. Masih rasa seperti baru mendirikan rumah tangga walaupun sudah 9 tahun berkahwin. Teruskan mengharap dengan Allah tanpa putus asa. Hikmahnya 3 org zuriat kami iaitu Amin, Alif dan Idris sudah menunggu di sana.”
Sememangnya semangat dan jiwa kental mereka menghadapi ujian Allah SWT menyentuh hati ramai pihak. Baik Adam Corrie mahupun Fazema, kedua-duanya saling bersangka baik terhadap Yang Maha Esa dan percaya rezeki anak akan dikurniakan bila tiba masanya.
Moga apa yang dikongsikan mereka menjadi iktibar kepada pasangan suami isteri di luar sana yang masih menunggu kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga. Aminn.
Sumber: Instagram Adam Corrie Lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu ketika dahulu, Lynn Alkhaired sering menjadi bualan bukan sekadar bakat lakonannya yang mantap malah turut terkenal dengan jolokan nama ‘Julia Roberts Malaysia’ hanya kerana iras wajahnya yang persis aktres antarabangsa tersohor itu.
Agak lama juga kita tidak mendengar cerita tentang Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar Al Khaired atau nama komersilnya Lynn Alkhaired. Dramatis popular ini seakan ‘membisu’ seketika dari dunia seni tanahair.
Biarpun usianya kini mencecah 48 tahun namun Lynn masih kelihatan anggun. Kini bidang seni bukan lagi menjadi keutamaan buat Lynn kerana dia kini ligat mengusahakan perniagaan pastrinya iaitu ‘Dapur Lynn Alkhaired’ yang dilakukan di rumah.
DAPUR LYNN ALKHAIRED
“Bisnes online ni lebih kepada biskut, dessert dan kek. Antara signature product saya ialah Red Velvet Cookies dan brownies. Mula-mula tu saya buat sekadar suka-suka saja sebab banyak masa di rumah menjaga anak-anak.
Mulanya saya tak jual, bagi saja kepada kawan-kawan untuk rasa. Tapi mereka pula yang cadangkan untuk saya buat bisnes. Saya pun setuju dan buat bisnes suka-suka saja. Dari situlah bermulanya bisnes online saya.
Alhamdulillah makin lama makin banyak sambutan. Secara tak langsung saya makin bersemangat untuk teruskan, pendapatan pun dapat. Walaupun cuma hobi tapi ia memberikan pulangan.”
JATUH CINTA DENGAN MUAY THAI
Lynn Alkhaired berkongsi pengalaman di mana sebelum ini dia pernah mempelajari Muay Thai. Menariknya, dengan inisiatif sendiri Lynn sanggup turun ke Phuket semata-mata nak belajar teknik dan skill tinju tradisi Thailand itu. Bangga betul dengan ibu anak lima ni!
“Saya memang suka fitness sejak kecil. Pantang dengar muzik saya akan terus menari. Bila dah dewasa saya buka gim pertama yang berkonsepkan kecergasan dan bina badan. Selepas lima tahun saya jual gim tu.
Kemudian saya mengikuti perkembangan aktviti kecergasan semasa. Yang tengah popular ketika itu ialah sukan Muay Thai dan MMA. Saya pun pergilah bertemu dengan rakan-rakan serta pemilik gim yang berpengalaman.
Selepas itu saya buat keputusan untuk mengambil kursus jangka pendek di Phuket selama seminggu. Saya ke sana seorang diri saja. Saya menyertai sebuah pusat latihan Muay Thai yang ada short course setiap pagi dan petang selama 5-6 hari.
Akhirnya saya tertarik dan seronok dengan sukan ini walaupun ia agak lasak. Kepuasannya bukan saja dari segi kecergasan badan malah dapat membakar banyak kalori serta mendapat ilmu mempertahankan diri.
Sepanjang berada di situ saya lihat bukan golongan dewasa saja yang datang belajar, kanak-kanak pun ada. Umur antara 10-11 tahun, mereka dah dilatih dengan latihan tradisional Muay Thai.
Balik saja Malaysia saya rasa rindu dan ‘ketagih’ dengan Muay Thai. Lalu saya buat keputusan untuk membuka gim baru yang berkonsepkan MMA dan Muay Thai. Maka dari situlah bermulanya bisnes dan juga aktiviti sukan Muay Thai saya.”
Lynn juga merupakan pemilik MuayFit Damansara Perdana yang pernah menganjurkan acara KL Fight 2018 secara besar-besaran sekitar tahun lalu.
“Dari segi kecergasan Muay Thai sangat bagus untuk wanita terutama yang nak cepat kurus. Sebab ia melibatkan latihan kardio yang non-stop, lasak dan tangkas sehingga dapat mengecilkan otot-otot badan. Yang penting kena praktis selalu dan tak boleh berhenti. Kena ada minat dan tekad. Kalau tak minat kita akan cepat give up.
Muay Thai juga bagus untuk kecergasan badan dan minda kerana banyak menggunakan otak ketika mempraktikkan teknik-tekniknya. Dengan ilmu Muay Thai kita boleh guna untuk mempertahankan diri terutama ketika diserang. Percayalah, apa yang kita belajar akan keluar secara spontan. Muay Thai memang sangat bagus bukan saja untuk wanita bahkan kanak-kanak juga.
BERALIH KEPADA YOGA
Kemudian saya beralih angin pula ke yoga. Dalam usia begini saya memerlukan aktiviti yang lebih tenang dan santai. Tak salah sebenarnya kalau ada yang nak meneruskan Muay Thai walaupun umur dah mencecah 50 atau 60 tahun sekalipun asalkan konsisten dengan latihan, kekalkan stamina dan keazaman yang kuat.
Saya sekarang dah tak praktis sebab minat ke arah Muay Thai tu dah semakin berkurangan. Selain yoga kini saya juga aktif dengan aktiviti mendaki. Dengan mendekati alam semula jadi dapat menjadikan jiwa lebih tenang.
Mendaki ni juga kepuasannya apabila kita sampai di puncak dan dapat melihat pemandangan ciptaan Allah SWT yang sangat menakjubkan di samping mendengar bunyi burung-burung serta unggas. Subhanallah sangat mendamaikan!
DIDIKAN AGAMA KEPADA ANAK-ANAK
Saya memberikan kasih sayang dan didikan sama rata terhadap lima orang anak. Yang sulung, Alif Ronan lebih kepada pengajian Islam. Impiannya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang usuluddin.
Cita-citanya itu sangat tinggi tapi saya tak kisah dan tak pernah paksa Alif untuk jadi apa yang saya nak. Yang penting saya cuba untuk pupuk apa yang dia minat asalkan ianya tidak lari daripada fitrah manusia yang normal. Bagi saya anak-anak perlu memiliki asas agama yang kukuh terlebih dahulu. Tentang kerjaya pula just follow the flow.”
Kredit Foto: IG @dapur.lynn.alkhaired
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sudah setahun berlalu namun pemergian isteri tercinta ke rahmatullah masih meninggalkan kesan mendalam terhadap Ridz Okumura sampai ke hari ini. ‘Kehilangan’ Allahyarham Akiko Okumura pada 28 Februari 2025 bukan hanya mengejutkan warga maya yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial suami, Ridz Okumura.