Gaya Hidup

Miliki Rambut SIHAT MENAWAN Bak Anzalna Nasir Dengan Amalan 10 Tip Penting Ini!

Tahukah anda, rambut panjang menuntut lebih perawatan dan perhatian kerana ia kian rapuh melangkaui arus peredaran masa. Masalah kulit kepala berminyak, kusut ketika basah, hujung bercabang dan kehilangan kilatan asli merupakan antara penyebab yang mengundang gejala rambut panjang rosak seperti akar kayu.

Tidak ramai bertuah dilahirkan dengan kecantikan rambut serba sempurna. Huraian mahkota di kepala tidak akan berseri tanpa komitmen yang tinggi. Perawatan rambut cukup penting untuk memastikannya kekal sihat berkilauan. Justeru, sedikit pengetahuan dan tip berikut mungkin membantu anda memberi perhatian lebih kepada rambut idaman.

  1. Ketika bangkit dari tidur, usapkan rambut anda dengan jari-jemari untuk meleraikan kusutan dan gumpalan.
  2. Semasa kering, berus rambut anda dari kulit kepala ke hujung dengan cara menundukkan kepala ke bawah menggunakan berus sikat besar dan bujur. Jadikan amalan ini sebagai rutin dan tambah kekerapan dari semasa ke semasa.
  3. Buat belahan rambut dengan potongan seksyen yang kecil-kecil. Menggunakan sikat bergigi besar, sikatlah rambut anda dari arah pangkal ke hujung.
  4. Sebaiknya sentiasa pastikan rambut kering setiap masa. Jika perlu menggunakan alat pengering, pastikan anda memilih tetapan yang dingin.
  5. Apabila menggunakan penggulung rambut, pastikan gulungan anda longgar untuk mengurangkan risiko rambut putus. Elakkan penggunaan penggulung elektrik atau alat penggaya rambut yang panas.
  6. Pilih syampu yang mengandung bahan semulajadi dengan keupayaan melembapkan. Sambil mencuci kotoran yang melekat, urutlah kulit kepala anda untuk merangsang perjalanan darah ke kepala.
  7. Leraikan kekusutan semasa membilas rambut basah. Penggunaan perapi berkrim turut membantu melicinkan tekstur. Kemudian, balutkan kepala dengan tuala dan biarkan ia mengering secara semulajadi.
  8. Dapatkan nasihat pakar sebelum anda mewarna dan mengerintingkan rambut.
  9. Jauhi persekitaran yang terdedah kepada kepanasan matahari, air masin atau berklorin, udara kuat dan pencemaran. Pemakaian topi, skaf atau tudung kepala sangat membantu melindungi rambut, selain mengaplikasi produk rambut yang mengandungi tabir suria.
  10. Untuk kelihatan bergaya, sisirlah rambut ke atas dengan perhiasan semulajadi seperti klip kayu atau sepit cengkerang. Getah elastik, plastik dan logam hanya mendedahkan rambut kepada risiko putus dan rosak.

 

IKLAN
Share