
Lagu Terus Hidup nyanyian dan ciptaan penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil, malam seakan sudah dijangka.

Kemenangan lagu ciptaan sepenuhnya Aina itu sekali gus melayakkan penyanyi itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi.
Berumur 30 tahun, nama Aina Abdul menjadi trending di laman sosial. Kekuatan vokal memukau, lagu ‘Terus Hidup’ dendangannya mencuri perhatian ramai. Aina yang terkenal dengan pemakaian busana yang unik pada setiap persembahannya kerap kali menjadi topik hangat di laman sosial.

Namun wanita ini bukan biasa-biasa. Tiada gosip liar, tiada kontroversi murahan hanya bakat dan auranya sudah cukup meletakkan dirinya sebaris pemain industri yang bakal jadi legenda.
Jadi jom semak beberapa fakta menarik tentang Aina Abdul yang tidak semua tahu:
1) Aina Abdul yang dilahirkan pada 25 Oktober 1993 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dibesarkan di Seremban, Negeri Sembilan memiliki Sarjana Muda Muzik Kontemporari dari Universiti UCSI, Kuala Lumpur.
2) Beliau ialah anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Zaini Abdullah dan Abdul Ghani Abdullah memulakan kerjaya muziknya sebagai penyanyi di kelab malam, restoran dan lounge termasuk No Black Tie.
3) Pernah menjalani fasa kehidupan yang menyedihkan di mana dia hanya dibayar RM50 selepas mengalunkan 20 lagu untuk dalam sebuah persembahan.

4) Beliau terpilih mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2014 yang berlangsung di Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat dan menjadi pemenang Vocalist of the World.
5) Aina turut berkongsi bahawa dia pernah membuat persembahan selama tiga malam berturut-turut tanpa ada penonton di hadapan. Jika ada pun, hanya dua hingga tiga orang sahaja.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Olah Resipi SUGU PAVITHRA, Kari Ayam Pencen Versi Jutawan BAWAL EXCLUSIVE Ini Sangat Mengiurkan!

Selain sukses dalam dunia perniagaan, jutawan terkenal yang juga pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri juga pandai memasak. Haliza sering berkongsi resipi di akaun Instagram miliknya dengan meletakkan tanda pagar #airtanganhalizamaysuri


Walaupun sekadar menatap gambarnya sahaja tetap membuka selera. Siapa yang tak kecur bila tengok menu Sambal Tempoyak Udang dan Petai, Sotong Masak Hitam Ala Mamak, Bawal Emas Kukus, Perut Muda Goreng Rangup, Daging Rebus Dengan Serai, dan banyak lagi. Semuanya hasil daripada air tangan Haliza Maysuri.


Menariknya, setiap resipi yang dikongsikan itu cukup mudah dan kena dengan selera rakyat Malaysia. Menurut Haliza, minat memasak sememangnya sudah tertanam sejak dahulu. Apatah lagi, pernah mengharungi fasa sukar sebelum berjaya dan ternama seperti sekarang antara faktor Haliza pandai mengolah bahan masakan menjadi satu menu yang enak.

Dengan minatnya yang rajin ke dapur maka tercetuslah idea-idea menu baharu yang dicipta sendiri oleh Haliza. Walaupun ringkas namun tetap menyelerakan! Apa yang penting air tangannya itu sentiasa menjadi kegemaran keluarganya.
INSPIRASI RESIPI SUGU PAVITHRA
Siapa yang tak kenal dengan YouTuber, Sugu Pavithra yang kini sedang meningkat naik namanya melalui perkongsian masakan di saluran YouTube. Sugu Pavithra menjadi inspirasi ramai khususnya rakyat Malaysia kerana kefasihannya berbahasa Melayu serta video masakan bersifat santai dan realistik.
Setiap resipi masakan yang dikongsi sentiasa menjadi perhatian ramai termasuk Haliza sendiri. Salah satunya ialah resipi Kari Ayam Pencen yang telah mendapat lebih daripada 2 juta tontonan di saluran YouTube Sugu Pavithra.
Justeru ia turut mencetuskan inspirasi buat Haliza untuk mencuba resipi Kari Ayam Pencen Sugu Pavithra ini. Haliza mengolahnya mengikut citarasa tersendiri dan berkongsi video memasak Kari Ayam Pencen di Insta Story.
“Kari ayam pencen, resipi dan cara-cara memasaknya rujuk di YouTube Sugu Pavithra. Rempah kari je saya guna rempah @kariaween.”
Menurut Haliza, beliau lebih menggemari rasa ayam pencen berbanding ayam biasa. Haliza turut berkongsi tip buat para pengikutnya bagaimana untuk melembutkan ayam pencen. Caranya, ayam pencen direbus bersama rempah ratus dan air terlebih dahulu. Masak selama sejam atau sehingga isi ayam empuk kemudian barulah dimasukkan santan.

Walaupun isinya agak liat tapi ayam pencen mempunyai kebaikan dari sudut kesihatan. Isinya juga lebih manis. Berikut cara lain bagaimana untuk melembutkan isi ayam pencen.
DAUN NANGKA MUDA
Masukkan beberap helai daun nangka muda semasa merebus ayam pencen. Ia akan cepat empuk.
AIR KELAPA
Rebus ayam pencen dengan air kelapa sampai isinya lembut. Setelah empuk toskan airnya kemudian masak seperti biasa.
BIJI SELASIH
Bungkus segenggam biji selasih seperti sup bunjut. Kemudian masukkan ke dalam rebusan ayam pencen. Ayam pencen akan cepat empuk.
LADA HITAM
Tumbuk setengah sudu lada hitam dengan halia. Kemudian masukkannya ke dalam periuk yang berisi air dan ayam pencen. Rebus sehingga isi ayam pencen menjadi empuk.
Kredit: IG @halizamaysuri & YouTube Sugu Pavithra
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Wanita Mahukan Perhiasan, Lelaki Pula Untuk Pelaburan” Datin Sri Zarida Noordin & Dato Sri Meer

Naluri memiliki barang kemas sentiasa bersarang dalam diri wanita kerana mampu menterjemahkan kebahagiaan yang abadi. Malah barang kemas menzahirkan rasa sayang dan cinta yang tidak berbelah-bahagi sama ada barangan kemas diperbuat daripada emas kuning, putih atau batu permata.
Pasangan pemilik jenama barang kemas dan permata terkemuka negara, Datin Sri Zarida Noordin dan Dato’ Sri Meer Sadiq Habib terus komited dan berjaya menempatkan diri kelasnya yang tersendiri dalam industri ini.
Selama hampir 60 tahun Habib Jewels menawarkan emas permata kepada pelanggan sudah tentu mempunyai resipi tersendiri dalam mengekalkan namanya di kalangan peminat barangan kemas.
“Syarikat kami mempunyai warisan dan membina reputasi yang tersendiri. Mencari pelanggan tidak sukar tetapi memiliki pelanggan yang setia merupakan suatu cabaran. Oleh itu membina hubungan dan kepercayaan terhadap pelanggan sangat penting.
Kami sangat menekankan jualan selepas perkhidmatan. Selepas membuat pembelian, pelanggan bebas untuk datang kembali jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati pembelian tersebut.
Apa sahaja yang dipersoalkan pelanggan kami akan cuba menangani dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kita membina kepercayaan di antara syarikat dan pelanggan,” jelas Datin Sri Zarida.

Membawa masuk jenama antarabangsa Pandora ke tanah air merupakan percaturan yang bijak buat pasangan ini. Berjaya menjadi outlet yang pertama di Asia bukan suatu tugas yang mudah.
“Jenama Pandora sudah tidak perlu diperkenalkan lagi ketika kami bermula pada tahun 2010. Saya masih ingat ketika di awal pembukaan dahulu ramai yang teruja apabila akhirnya terdapat sebuah concept store Pandora di Malaysia.
Saya bersyukur kerana segala aturan kami dipermudahkan dengan masa yang tepat dan peluang tapak perniagaan yang sangat strategik. Ini adalah antara faktor kejayaan Pandora dan telah dinobatkan sebagai salah satu francais terbaik Pandora di Asia,” terang Pengarah Urusan Pandora Malaysia & Brunei ini.
Sebagai wanita, mengemudi sebuah syarikat yang terkenal memerlukan komitmen dan ketegasan yang padu. “Sebagai seorang ketua, peranan saya adalah untuk membangunkan team atau pasukan baru yang telah terbina. Saya tidak akan boleh berjaya tanpa sokongan daripada pasukan.
Kami perlu bekerjasama demi mencapai matlamat dalam perniagaan ini. Saya selalu menekankan kepada pasukan saya untuk meletakkan diri sendiri sebagai pelanggan.
Sebagai pelanggan apa yang kita harapkan daripada jurujual dan selalu menggembirakan hati pelanggan. Khidmat pelanggan sangat penting dan saya banyak menganjurkan kursus khidmat pelanggan di kalangan pasukan saya.

Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang ketua dan mengamalkan dasar terbuka di kalangan pekerja. Mereka boleh datang berjumpa dengan saya bila-bila masa sahaja dan boleh berbual tentang apa sahaja isu.
Saya tidak mempunyai sebarang hierarki dan menganggap semua pekerja adalah sama. Saya berharap dapat memotivasikan pasukan menjadi seorang yang lebih baik.
Apabila mereka mencapai sasaran secara tidak langsung saya mencapai peranan saya sebagai seorang ketua,” tegas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
Menurut ibu kepada Mirzan, Marissa, dan Mirsham ini, nilai teras yang sering diterapkan dalam diri pasukannya adalah kejujuran dan keikhlasan. Tambah Datin Sri Zarida kedua-dua nilai ini sangat dalam setiap aspek kehidupan.
Satu lagi nilai utama yang dipegang oleh wanita ini adalah setiap orang adalah usahawan. Anggap kerjaya yang diceburi merupakan perniagaan sendiri baharu semua orang boleh berjaya.
Keadaan kewangan global yang tidak menentu turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Pasaran emas juga mengalami pasang dan surut, namun Habib Jewels tetap berdiri kukuh tidak gentar dengan cabaran yang mendatang.
Dato’ Sri Meer yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd berkata, “Barang kemas adalah sesuatu yang diinginkan walaupun berada dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Kalau wanita lebih mahukan perhiasan dan lelaki pula sebagai pelaburan untuk masa depan.
Kami bukan sahaja menjual barang-barang kemas tetapi membuat sendiri barangan kemas tersebut. Kelebihan yang ada pada kami diselaraskan dengan keperluan semasa. Jika harga emas melambung tinggi kami akan membuat rekaan yang menarik tetapi lebih ringan sedikit, begitu juga sebaliknya. Percaturan ini akan membuat orang ramai mampu membeli emas walau dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Lebih daripada 3 dekad berkecimpung dalam perniagaan emas ini saya boleh kenal pelanggan dari dulu hingga sekarang. Kami juga menyediakan platform yang mudah kepada para pelanggan.
Misalnya setelah membeli emas daripada kami, tiba-tiba mahu menggunakan wang dalam jumlah yang besar dengan segera. Pelanggan boleh berurusan dengan Ar-Rahnu Express milik Habib Jewel sebuah pusat pajak gadai yang berteraskan prinsip Syariah Islam,” jelas Dato’ Sri Meer yang menerajui Habib Group ini.
Dato’ Sri Meer turut menzahirkan rasa bangga apabila Habib Jewels menjadi syarikat barang kemas pertama di Malaysia tersenarai dalam Bursa Saham, pada tahun 1998. Menurutkan tersenarai dalam bursa saham ketika ekonomi sedang gawat adalah cabaran tersebar.
“Jika sebelum tersenarai untung rugi perniagaan ditanggung syarikat sendiri. Tetapi apabila sudah tersenarai saya perlu menjaga pelaburan yang telah dilaburkan oleh orang yang mempercayai kepakaran kita.
Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi keadaan yang mencabar itu dan seterusnya melakar nama di papan pertama pasaran Bursa Saham. Pada saya pencapaian ini lebih kepada menunjukkan kepada ibu dan bapa serta membuat mereka merasa bangga kerana mampu melakukan sesuatu yang berbeza selain daripada menjual barang kemas semata-mata,” terang Dato’ Sri Meer.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berusia 18 Tahun Dah Ada Rangkaian Bisnes Makanan Sendiri ARIANNA NATASHA Korban Usia Muda

Empunya nama Arianna Natasha Abdul Zambree kini rancak melakar kariernya dalam bisnes makanan (F&B). Melihat kepada usianya, boleh dianggap masih ‘mentah’ dalam selok belok bisnes yang sangat mencabar. Apatah lagi, bisnes makanan memang banyak persaingannya.


Terdahulu, Arianna yang mesra digelar Ary ini merupakan anak kedua daripada tiga beradik. Arianna pernah bergelar model sambilan dan sering terlibat dalam beberapa kempen jenama terkenal seperti Panasonic, Nivea, Sunsilk, Victoria secret dan Bath & Bodywork.
Selain itu, dia juga pernah buat bermacam bisnes secara kecil-kecilan seperti tudung, pakaian dan makeup.

Pada tahun 2019, Arianna mendapat peluang untuk membuat bisnes dalam F&B. Bisnes Arianna yang berpusat di Semenyeh dilihat semakin hari semakin berkembang. Selain menjadi cef, Arianna juga Pengarah di syarikat yang diasaskan bersama kakaknya, Sabrina Natasha.


Selaku CEO dan ‘mastermind’, kakaknya berjaya membawa mereka berada di kedudukan tersendiri setanding usahawan-usahawan hebat yang lain. Selain Arianna Kitchen, rangkaian bisnes mereka yang lain ialah Arianna Bytes (kek) dan Dapur Arianna (premium laksam dan pulut kuning).



RAJIN BANTU IBU DI DAPUR
Sering membantu ibu di dapur menjadi asbab tercetusnya minat Arianna dalam bidang masakan.
“Saya juga sering melihat channel masakan di laman Youtube dan banyak belajar dari situ. Kadangkala, bila terjumpa makanan di luar sana dan mendapati harga agak mahal, saya mula memikirkan kenapa tidak untuk cuba membuatnya sendiri.
“Setiap kali siap memasak, saya akan memuat naik di Instagram Story untuk berkongsi dengan pengikut saya. Namun, tak sangka sambutan yang diperolehi amat menggalakkan.


“Dari situ, tercetusnya idea untuk membuka akaun Instagram baru khusus untuk berkongsi masakan saya iaitu @arianna.kitchen Secara tak langsung ia membantu para pengikut saya terutama remaja yang minat memasak untuk mencuba resepi mudah saya.”
‘STRUGGLE IS REAL’
Mengimbas detik permulaan, Arianna mula serius dalam dunia masakan ketika usianya 16 tahun. Dia juga pernah berkongsi detik bermulanya Arianna Kitchen yang penuh ‘struggle’ di Instagram.
“Dulu buat kat rumah je sampai pukul 3-4 pagi. 50 kotak brownies buat sorang-sorang. Oven rosak pula pukul 2 pagi. Nasib ada adik saya tolong timbang barang. Sambung buat marketing content sampai tangan kena blender.

“Buat content sampai berjam-jam. Pernah sampai lampu blackout. Shoot kat tengah jalan sebab nakkan lighting. Sambung basuh loyang dan bekas-bekas untuk letak stok. Beratur satu jam beli barang baking. Modal tak banyak, beli sikit-sikit.
“Alhamdulillah dari rumah pindah ke kedai. Saya cat dan pasang lantai office sendiri. seperti biasa saya teruskan buat content marketing, live, baking, shooting dan bertemu pelanggan di event.”

PERNAH KENA KECAM
“Saya pernah dikecam di laman sosial dengan perkara yang tidak benar sama sekali. Sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada saya kerana melibatkan sensitiviti keluarga. Namun saya cuba berfikiran positif dan menganggap semua yang terjadi ada hikmahnya.”
Arianna juga pernah memuat naik satu video pendek di Instagram di mana dia berkongsi detik yang orang tidak nampak di sebalik kejayaannya. Bila dah berjaya, struggle nya lain pula, kan?
Tulis Arianna, orang mungkin hanya nampak yang tersurat saja iaitu kejayaan dan kesenangan yang dikecapinya kini. Namun, ramai yang tidak tahu struggle yang hampir menyebabkan bisnesnya jatuh.

“Yang orang tak nampak..nangis 8 jam. Terlalu stress dan kecewa. The struggle is real. Pernah dalam situasi hilang segalanya, simpanan ratus ribu hilang, team 50 lebih orang hilang, kereta hilang, semangat hilang..”
Arianna tak mudah menyerah, dia kembali bangkit dengan berpegang kepada kata-kata, “Ambil risiko dalam hidup. Kalau menang, anda boleh membimbing. Kalau kalah, boleh bimbing semula diri anda.”
NEELOFA SUMBER INSPIRASI
Arianna juga mempunyai sumber insprasi untuk sukses. Siapa lagi kalau bukan usahawan hebat, Neelofa.
“Saya melihat beliau seorang ikon wanita yang cukup berjaya dalam bidang yang diceburinya. Saya ingin menjadi seperti beliau. Beliau seorang yang sangat kuat dan tabah walaupun kadangkala menerima kecaman, namun beliau sentiasa memandang ke hadapan dan terus berjaya.”

Menurut Arianna, dia amat suka dengan apa yang dilakukan kerana baginya peluang sebegitu tak semua orang boleh dapat walaupun mungkin ada yang menganggap bidang ini terlalu awal untuk umur sepertinya.
“Saya banyak berkongsi pengalaman dan bertanyakan pendapat dengan rakan-rakan yang lebih berusia. Saya akui, jadual harian agak padat tetapi saya tidak pernah mengabaikan hal-hal penting yang lain.


“Saya anggap semua ini rezeki. Syukur kerana sekurang-kurangnya saya boleh berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri.”
Semoga Arianna Kitchen terus maju dan berkembang bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara kelak.

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Kredit Foto: Instagram Arianna Natasha, Sabrina Natasha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


