“Mohon Ampun Atas Khilaf & Kelemahan Sepanjang Jadi Perdana Menteri”, Ucapan MUHYIDDIN Buat Rakyat Sebak!

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini nyata meruntun hati rakyat. Dengan raut wajah yang tersimpan 1001 perasaan dan suara sayunya cukup membuatkan rakyat turut merasa sebak. Meskipun pelbagai pelan pemulihan negara sudah direncana namun beliau terpaksa akur meletak jawatan kerana tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Menjadi Perdana Menteri pertama yang membacakan doa untuk seluruh rakyatnya di kaca televisyen dalam beberapa siri pengumuman khas yang dibuat sebelum ini sudah tentu meninggalkan kesan mendalam terhadap masyarakat.

Hari ini, tanggal 16 Ogos 2021… beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri biarpun tugas itu sepatutnya digalas untuk tempoh satu penggal.

Foto: Instagram @501Awani

“Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan. Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.”

Dalam ucapan tersebut, Tan Sri Muhyiddin dengan penuh rasa hormat meletak jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.

Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini.

Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana sini. Jadi saya memohon maaf. Saya berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran neagra ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.”

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020. Beliau yang merupakan anak kelahiran Muar, Johor pernah menyandang tugas sebagai Menteri Besar Johor pada tahun 1986.

 

IKLAN
Share