
Selepas lebih dua tahun melalui fasa bekerja dan belajar dari rumah, bersosial dan membeli-belah dalam talian, kita harus sedar bahawa penglihatan kita boleh terjejas apabila kita menatap skrin buat jangka masa yang lama. Inilah sebabnya kita perlu mengutamakan kesihatan mata.
Sama seperti masalah jantung, penyakit paru-paru dan kesihatan mental, mata kita juga berisiko mengalami penyakit yang serius seperti katarak, glaukoma, retinopati diabetes, degenerasi makula yang berkaitan dengan penuaan dan banyak lagi jenis gangguan penglihatan yang lain.
Inilah sebabnya mengapa pemeriksaan mata harus dilakukan secara berkala untuk memastikan penglihatan kita kekal sihat.
Menurut penyelidikan yang dijalankan oleh Tinjaun Mata Kebangsaan, 15,000 individu telah diperiksa untuk kehilangan penglihatan (buta) pada tahun 2018 dan 58.6% daripada mereka telah didiagnosis dengan katarak yang boleh dicegah jika ia dikesan lebih awal (Chew et al., 2018, 6).
Penyelidikan tambahan daripada Banci Mata Kebangsaan pada tahun 2014 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengenal pasti bahawa 413,000 rakyat Malaysia berumur 50 tahun ke atas telah direkodkan mengalami beberapa jenis masalah penglihatan dan 113,000 daripada mereka menghadapi buta kekal dengan 43,000 kes disebabkan oleh katarak yang mungkin boleh dicegah dengan pemeriksaan awal.
Oleh yang demikian, orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas dinasihatkan supaya menjalani perundingan dengan pakar optometris dua tahun sekali untuk pemeriksaan mata yang menyeluruh (Farid, 2021).
DALAM SENYAP
“Kebanyakan penyakit berkaitan mata tidak boleh dirawat jika kita tidak bertindak segera. Secara amnya, orang dewasa yang mungkin tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan penglihatan harus berjumpa pakar optometris sekurang-kurangnya dua tahun sekali untuk menjaga kesihatan penglihatan.
Namun, memandangkan masa skrin kita telah meningkat dan tambahan lagi dengan perubahan dalam gaya hidup seharian, kita perlu mengambil langkah untuk mengutamakan kesihatan mata dengan pemeriksaan profesional sekurang-kurangnya setahun sekali.” Yoyo Foong, Optometris MOG Boutique
Jika anda memakai cermin mata atau kanta sentuh preskripsi, anda perlu menjadualkan pemeriksaan mata untuk menggantikan alat bantuan penglihatan anda sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang pada masa ini tidak menggunakan sebarang alat bantuan penglihatan, anda perlu mula menitikberatkan kesihatan mata dengan menjadualkan pemeriksaan mata untuk menjalani ujian penglihatan komprehensif dengan pakar optometris. Pemeriksaan mata menilai pelbagai aspek penglihatan lalu membantu untuk mengesan masalah mata pada peringkat awal iaitu apabila rawatan akan paling berkesan.
Berapa kerap perlu anda membuat pemeriksaan mata?
Beberapa faktor boleh menentukan kekerapan pemeriksaan mata, termasuk umur, keadaan kesihatan semasa dan faktor genetik. Anda boleh mengikuti garis panduan umum berdasarkan kumpulan umur seperti di bawah untuk menentukan kekerapan pemeriksaan dan lawatan ke pakar optometris anda.
1. Pemeriksaan Mata Untuk Kanak-kanak
Perkembangan visual adalah pesat dalam tempoh enam bulan pertama bagi bayi kecil dan ia akan berterusan sehingga dekad pertama kehidupannya. Dari seawal usia tiga bulan, bayi kecil anda boleh menjalani pemeriksaan mata menyeluruh untuk memastikan penglihatan mereka berkembang dengan baik dan untuk mengenal pasti sebarang masalah penglihatan yang mungkin akan timbul.
Menjelang usia tiga hingga lima tahun, kanak-kanak kemudiannya boleh diperiksa oleh pakar optometris yang boleh mengenal pasti komplikasi atau sebarang penyakit penglihatan dengan lebih lanjut (Yen, 2020).
Selain itu, pemeriksaan mata untuk kanak-kanak bukan sahaja untuk mengesan atau mencegah penyakit mata daripada berkembang tetapi juga untuk memupuk koordinasi penglihatan mereka.
Sama seperti berjalan atau bercakap, perkembangan penglihatan ialah kemahiran yang dipelajari yang membantu dalam pelaksanaan tugas harian seperti membaca, menangkap dan membaling bola. Walau bagaimanapun, jika penglihatan kanak-kanak kurang berkembang, ia boleh menghalang kebolehan pembelajaran mereka.
2. Penjagaan Mata Adalah Tanggungjawab Sendiri
Ramai yang tidak dapat mengesan sebarang tanda atau gejala pada peringkat awal penyakit mata dan kebanyakannya tidak menyedari bahawa usia adalah faktor utama yang mempengaruhi keadaan mata dan kesihatan penglihatan.
Penyakit berkaitan usia seperti degenerasi makula berkaitan penuaan (AMD) mungkin mula berkembang pada usia yang awal jika ia tidak dikesan atau dirawat. Oleh itu, kita perlu mengutamakan kesihatan mata dan mengambil perhatian tentang sebarang ketidakselesaan mata atau perubahan dalam penglihatan , seperti:
- Menghadapi masalah membezakan warna;
- Memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tahap cahaya;
- Hilang keupayaan untuk melihat dari dekat.
Sekiranya anda mengalami gejala seperti di atas, buat temujanji untuk pemeriksaan mata dengan segera untuk menerima rawatan yang sesuai.
3. Masalah Mata di Kalangan Warga Emas
Terdapat empat penyakit mata yang diketahui akan mula berkembang apabila anda memasuki usia 50 – 65 tahun: AMD, retinopati diabetes, katarak dan glaukoma. Mereka yang berada dalam kumpulan umur ini dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan berkala dengan pakar optometris setiap tahun untuk mengekalkan keadaan mata yang baik.
Dengan risiko tinggi untuk mendapat penyakit berkaitan mata pada usia yang lebih tua, individu yang mempunyai sejarah keluarga atau keadaan kesihatan yang mungkin berpotensi menyumbang kepada penyakit mata perlu memulakan langkah berjaga-jaga mereka dengan segera.
Jika anda tidak ingin membuat pemeriksaan mata anda di hospital atau klinik, anda boleh mendapatkan pemeriksaan mata di MOG, peruncit optik terkemuka di negara kita.
6-in-1 Vision Experience oleh MOG merangkumi Penilaian Kesihatan Mata gred hospital yang boleh mendedahkan potensi penyakit mata melalui penilaian retina yang boleh mengesan permulaan perkembangan Glaukoma, Retinopati Diabetes dan AMD serta pemetaan kornea dan penilaian kornea untuk imej terperinci bola mata anda yang boleh menunjukkan keadaan kesihatan semasa mata dan juga mengesan risiko katarak sambil berkongsi cara untuk meningkatkan kesihatan mata anda.
4. Jaga Mata Anda
Kesihatan mata adalah penting untuk kesihatan keseluruhan badan kita dan ia tidak boleh diabaikan. Walaupun ketiga-tiga O (Optometris, Oftalmologis dan Optician) boleh membantu anda dalam mengesan dan mencegah penyakit mata, tanggungjawab utama terletak pada diri anda untuk memastikan mata anda berada dalam keadaan sihat.
Penjagaan mata tidaklah rumit dan berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk melindungi penglihatan anda:
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang
- Bersenam dengan kerap
- Pakai cermin mata hitam untuk melindungi daripada sinaran UVA/UVB
- Elakkan merokok
- Hanya beli kanta sentuh dari kedai optik yang boleh dipercayai
- Rehatkan mata anda (Teknik 20-20-20: Untuk setiap 20 minit di depan skrin, lihat sesuatu 20 kaki jauhnya selama 20 saat)
Kesihatan mata adalah sama pentingnya dengan kesihatan organ lain dalam badan kita. Dengan memeriksa mata, pakar optometris bukan sahaja dapat mengesan sebarang penyakit mata malah potensi risiko penyakit lain seperti kanser, diabetes, tekanan darah tinggi juga boleh dikesan.
Oleh kerana faedah yang boleh dimanfaatkan daripada pemeriksaan mata, marilah kita jadikan pemeriksaan kesihatan mata satu rutin tahunan!