Mukanya Herot Sebelah, Coretan Wanita Ini Tentang BELL’S PALSY Sentuh Perasaan Netizen!

Setiap orang diuji dengan dugaan yang berbeza. Terpulang kepada individu berkenaan untuk menerima situasi tersebut dengan cara baik atau sebaliknya. Namun ketahuilah, Allah SWT tidak akan menguji hambanya di luar kemampuan kerana Dia tahu sejauhmana kekuatan insan tersebut menghadapi rintangan hidup ini.

Tertarik dengan coretan yang dikongsikan seorang wanita bernama Fiona di laman Facebook semalam, usahawan busana abaya di Kedah ini cukup positif sebaik menghidap Bell’s Palsy, satu penyakit yang menyebabkan seseorang lumpuh sebelah muka. Kesan daripada sakit itu, sebelah kanan mukanya menjadi herot.

Meskipun pada awalnya dia malu untuk berkongsi foto terbaru kepada umum, tetapi disebabkan penyakit ini berupaya menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, Fiona atau nama sebenarnya Adia Fiona Taib terpanggil untuk mendedahkan punca dan rawatan Bell’s Palsy.

Tulisnya, “Fiona anggap ini ujian dari Allah Taala. Fiona reda, tak perlu malu. Mungkin perkongsian ini dapat membantu orang lain yang senasib Fiona. Bila tengah sakit ni kita terdesak untuk sembuh dan ramai yang ambil kesempatan menjual ubat-ubat saraf dengan harga RM350 hingga RM500 kepada saya. Ada yang mesej hendak jual tilam penghilang stres yang boleh lega strok dengan harga RM1400 secara ansuran.”

PUNCA YANG MENYEBABKAN BELL’S PALSY

  1. Demam berpanjangan lebih dari seminggu
  2. Darah tinggi
  3. Stres
  4. Tak cukup rehat
  5. Banyak berfikir
  6. Kolestrol tinggi
  7. Sakit dalam perut

TEMPOH PENYEMBUHAN

Terang Fiona, menurut doktor ia akan mengambil masa 6 bulan hingga setahun untuk sembuh. Pun begitu, dia sempat memberi kata-kata semangat kepada mereka yang telah mengalami situasi ini selama setahun namun masih belum sembuh agar kuat mendepani penyakit ini.

Disebabkan punca yang diterangkan di atas, tiada had umur tertentu yang boleh terlepas daripada penyakit ini kerana kanak-kanak berusia 6 tahun juga pernah mengalaminya kerana obes.

CARA RAWATAN YANG DIAMALKAN FIONA

  • Jika demam dan mengalami tekanan darah tinggi, turunkan panas badan dan darah tinggi secepat mungkin
  • Ambil ubat di hospital untuk tempoh seminggu
  • Terus berurut tradisional saraf secara kampung, jangan tunggu lama nanti saraf sudah keras susah hendak betul
  • Perbanyakkan selawat, zikir dengan membuka mulut. Doktor akan suruh buat senaman mulut dengan menyebut (a,e,i,o,u)
  • Simpan Allah dalam hati, Allah jaga kita sampai mati.
  • Berkata pada diri, ‘kuat kuat kuat, Fiona sangat kuat’. Kekuatan dalaman lagi kuat dari kekuatan fizikal. Faham ini.

KESAN
1. Mata tak dapat pejam
2. Mulut herot
3. Sukar bercakap, makan dan minum
4. Penglihatan Fiona dah kabur
5. Pendengaran kurang
6. Saraf tak dapat lagi merasa deria.

“Sesungguhnya Fiona tak pernah kesali dengan apa yang terjadi. Tidak sedih walaupun sedikit. Suami banyak bagi sokongan, Fiona jadi semakin kuat. Cuma bila doktor cakap dia tak dapat buat apa-apa Fiona mungkin akan begini dalam tempoh setahun, baru menitis sedikit air mata. Tapi Fiona berazam pada diri sendiri ‘Aku kena kuat, aku kena sembuh cepat’.

Alhamdulillah sekarang tak sampai 2 minggu Fiona dah 60% sembuh. Ini semua kuasa Allah Taala. Mata pun dah dapat pejam, mulut dah tak herot sangat cuma minum air masih meleleh. Dan juga pergi berubat pada tempat yang betul. Jangan pandang rendah dengan demam, jika demam lebih dari seminggu sila rujuk ke hospital. Dikhuatiri darah anda akan dijangkiti bakteria. Ini akan memudahkan lagi untuk mendapat strok.”

Semoga Fiona terus tabah menghadapi ujian ini dan sembuh seperti sedia kala. Sesungguhnya, yang baik itu datang daripada Allah.

Apa itu Bell’s Palsy?

Bell’s Palsy adalah satu kelemahan otot muka disebabkan oleh inflamasi pada urat muka. Inflamasi ini meningkat di sekitar saraf muka yang melalui tengkorak dari otak. Inflamasi ini juga boleh menekan urat saraf. Sebahagian atau sepenuhnya urat saraf akan berhenti berfungsi sehingga inflamasi berkurangan. Otot muka tidak akan berfungsi sekiranya tidak disaraf oleh urat muka.

Ia berlaku secara tiba-tiba, biasanya di sebelah muka. Ia paling biasa berlaku di antara umur 10 dan 40 tahun. Faktor penyebabnya masih kurang jelas. Walau bagaimana pun kebanyakan kes adalah mungkin disebabkan oleh jangkitan virus. Majoriti pesakit pulih dalam tempoh 2 hingga 3 bulan. Sesiapa sahaja boleh mendapatkan Bell’s Palsy dan kesannya kepada kedua-dua lelaki dan wanita adalah sama.

(Sumber: www.myhealth.gov.my)

 

 

 

 

IKLAN
Share