Mula Untung RM5 Jual Susu Di Pasar Malam Kini BOSS SUSU Nikmati Jualan Ratusan Juta

Sejak penampilan pertama Ketua Pegawai Operasi rangkaian produk tenusu Farm Fresh, Azmi Zainal di pentas Gegar Vaganza (GV) 6 sebagai penaja utama, kelibatnya mula mendapat perhatian. Nama popularnya sebagai BOSS SUSU daripada program tersebut melekat sehingga ke hari ini.

Seronok mengikuti perkembangan Boss Susu di laman media sosialnya lebih-lebih lagi apabila beliau gemar berkongsi pengalaman saat bertatih dalam industri perniagaan menjual susu lembu. Sering memberikan kata-kata motivasi, lelaki ini juga tidak segan silu berkongsi pengalamannya pernah menjual susu di pasar malam.

Foto: Facebook Azmi Zainal

“Berniaga di bazar atau pasar malam bukanlah memalukan dan ia perniagaan yang bagus untuk kita cepat dapat duit tunai. Tapi bagi mereka yang tak pernah berniaga di pasar terbuka, terasa kekekokannya, terasa tebalnya muka dan berat mulut nak panggil orang beli barang kita.

Brader (saya) hadap semua proses itu. Brader (saya) buat sebaik mungkin dan jerit kuat-kuat, “susu segar dari ladang…mari beli susu segar”. Bila orang datang brader (saya) jual dan rayu sebaiknya biar laku. Dapat jual sebotol harga RM5 terasa suka sangat dan terus jerit lagi dan lagi dan lagi,” tulisnya di laman Facebook milik peribadinya.

Foto: Facebook Azmi Zainal

Bermula dengan 60 ekor lembu dan membeli susu dari penternak, Boss Susu bersama rakan niaganya Ketua Pegawai Eksekutif, Loi Tuan Ee serta menghantar susu menggunakan bas ekspres kini memiliki jualan ratusan juta ringgit setahun dan ada beribu ekar ladang di Malaysia serta Australia.

Malah punya kilang tercantik dan tercanggih dalam bidang penternakan lembu. Team ladang terdiri daripada anak-anak lepasan universiti tempatan yang dilatih. Sudah banyak peluang pekerjaan yang disediakan oleh lelaki yang gemar tersenyum ini.

Foto: Facebook Azmi Zainal

Walaupun kini ‘Boss Susu’ dikenali ramai tetapi tidak mahu mendongak ke langit. Tertarik untuk berkongsi coretannya tentang RESTART. “Brader (saya) tak ingat ini RESTART yang kali keberapa dalam perjalanan hidup brader (saya) – merujuk kepada gambar menjual di pasar Ramadan. Tapi ini lah RESTART yang paling memilukan prosesnya.

Gambar yang diambil pada tahun 2010. Foto: Facebook Azmi Zainal

Di umur 44 tahun untuk RESTART rasanya terlalu lewat, rakan-rakan sebaya sudah punya rumah sendiri dan jawatan serta pendapatan selesa. Keluarga mereka baik-baik sahaja serta cukup keperluannnya. Sebagai suami dan juga bapa, brader (saya) betul-betul rasa rendah diri kerana tidak mampu memberikan kesenangan bagi mereka.

Foto: Facebook Azmi Zainal

Brader (saya) masih bergelut dalam kegelapan dan tak nampak sinar pun di hadapan. Tapi brader (saya) tak ada pilihan, inilah pilihan terbaik pada waktu itu. Ia ibarat kais pagi makan pagi. Kadang-kadang terserempak kawan-kawan sekolah dan kawan sepejabat atau kawan kampung atau jiran setaman. Mereka ingin bertanya agaknya tapi tak terbuka mulut takut brader (saya) kecil hati.

Foto: Facebook Azmi Zainal

Tapi apa yang brader (saya) nak sampaikan pada rakan-rakan yang sedang RESTART atau yang tak sedar mereka sedang RESTART, bermulalah dari bawah. Simpanlah cerita kehebatan kita dahulu, bermulalah dengan apa yang kita ada, walau cuma berselipar jepun.

Foto: Facebook Azmi Zainal

Pedulikan apa orang kata, jangan malu kalau orang tau kita sudah tiada apa-apa lagi. Simpanlah ego kita seketika, belajarlah merendah diri dan berdoalah agar ditunjukkan jalan. Pasti Allah hantar sesuatu atau seseorang untuk menarik kita dari tenggelam,” coret Azmi Zainal di laman Facebooknya.

Kredit: Facebook Azmi Zainal

IKLAN
Share