NADIA BRIAN Jumpa Kaunselor Perkahwinan, Melihat Sisi Lebih Positif Dalam Kehidupan

Pasangan sama cantik sama padan, Nadia Brian dan suami, Muizz Nasruddin ini sangat mesra orangnya. Meninjau pula laman Instagram Nadia, tentu ramai yang cemburu dengan sweet moments Nadia dan suami. Mereka ini bukan sahaja cantik tetapi masing-masing komited mencari rezeki dan berkongsi aura positif yang sama.

Nadia adalah antara selebriti Malaysia yang tidak sombong dan mesra. Tujuh bulan usia perkahwinan, namun mereka masih menyimpan kenangan hari perkahwinan yang dilangsungkan pada November 2019 lalu.

Tujuh bulan melayari bahtera perkahwinan, Nadia dan Muizz masih segar menyimpan kenangan hari perkahwinan mereka yang diadakan gilang-gemilang di Magica Hall Shah Alam. Biarpun pada awalnya mereka bercadang untuk mengadakan majlis pernikahan pada bulan September namun di atas sebab tertentu, pernikahan tersebut terpaksa ditangguhkan pada November 2019.

“Cabaran awal untuk majlis pernikahan ini menduga juga tetapi Alhamdulillah semuanya telah selesai dengan lancar dan baik. Sepatutnya kami bernikah pada bulan September tapi terpaksa ditangguhkan ke November atas sebab tertentu. Biasalah, apa yang kita rancang, hanya Allah yang menentukan. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian yang berlaku,”ujar Muizz tenang.

Bagai terbuai dalam suasana ratu sehari milik Nadia, penceritaannya mengenai majlis perkahwinan dan persediannya sebelum melangsungkan perkahwinan begitu terperinci dan mengujakan. Nadia sendiri sangat berpuas hati kerana hari yang berlangsung sekali seumur hidup itu dapat dilaksanakan dengan begitu sempurna.

“Pada awalnya saya mahu membuat semua persediaan sendiri tetapi dek kerana jadual penggambaran yang begitu padat, saya terpaksa lepaskan tanggungjawab itu kepada perancang perkahwinan. Mujur, Atelier Wedding, perancang perkahwinan yang kami pilih dapat merealisasikan apa yang saya mahukan untuk majlis ini. Jangan terkejut jika saya kata Muizz adalah ‘orang kuat’ disebalik persediaan perkahwinan kami dan bukan saya.

Alhamdulillah 9 November 2019 kami disatukan dalam majlis sederhana tetapi meriah. Dari solekan sehingga ke busana pilihan semuanya begitu sempurna pada mata saya. Ramai menyangkan Nadia Brian will go sexy and ruffles tetapi busana kurung putih menjadi pilihan saya kerana saya sukakan sesuatu yang classy dan ‘wow’. Jurusolek yang menyolek saya pula adalah Surya Matahari, jurusolek yang sentiasa tahu apa yang sesuai untuk saya.

Apa yang ingin saya tonjolkan pada majlis perkahwinan saya adalah kecantikan dan keindahan semula jadi. Jujur, saya tidak menggunakan kanta lekap dan bulu mata palsu pun kerana saya mahu embrace kecantikan yang Allah berikan. Secara peribadi, pemilihan jurusolek yang betul sangat penting supaya mereka tahu apa yang ingin ditonjolkan, bukan semata-mata bulu mata palsu,” tegas Nadia.

PERKENALAN
Semua sudah sedia maklum, Nadia begitu terbuka menceritakan mengenai kehadiran Muizz dalam hidupnya. Seorang ahli perniagaan dalam industri teknologi maklumat ini tekah lama berusaha untuk menambat hati Nadia Brian. Namun, setelah hampir dua tahun, barulah mereka mengangkat hubungan ini menjadi lebih serius.

“Kami diperkenalkan oleh salah seorang teman Naida iaitu Ainul Aishah. Nadia tidak menunjukkan sebarang reaksi positif pada awal perkenalan kami. Mungkin kesibukannya dalam membina kerjaya membuatkan Nadia menolak ‘cinta’ saya. Namun pertemuan kedua membibitkan rasa suka. Selama enam tahun saya melalui fasa single dan saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencari seorang isteri sebagai suri hidup.

Kata orang, hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Untuk menunjukkan pada Nadia saya masih serius untuk bersama dengannya, sekali lagi saya menegurnya dan kami mula berkawan. Apabila berkawan, ada lagi ujiannya. Saya melamar Nadia untuk menjadi isteri saya tetapi dia menolak dengan cara baik. Belum bersedia katanya,”kata Muizz.

“Bukan tidak bersedia untuk berkahwin tetapi belum bersedia untuk menerima lamaran Muizz kerana ia bagai perkara yang tiba-tiba! Tetapi pada masa sama saya memang teruja untuk menjadi isteri. Saya bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri malah sebagai ibu sekalipun. Cuma mungkin ketika itu saya terkejut. Jual mahallah sikit,” tawanya.

Kota Paris dirasakan indah apabila kota paling romantis dunia menjadi saksi lamaran kedua kepada Nadia untuk menjadi isteri.

“Saya merancang percutian keluarga dan kami ingin membawa Nadia bersama. Saya beritahu Nadia supaya bawa baju cantik-cantik untuk buat sesi fotografi di sana kerana saya tahu Nadia sangat suka photoshoot. Tetapi dia tidak menyangka saya melamarnya dengan berlatar belakangkan Menara Eiffel. Dari situ, kami terus mengatur satu per satu majlis perkahwinan,”kata Muizz.

MELAYARI BAHTERA PERKAHWINAN
Sama seperti pasangan lain, tentunya doa dan harapan adalah kebahagiaan yang kekal ke akhir hayat. Apabila ditanya sama ada mereka bimbang kepada dugaan dalam sesebuah rumahtangga, tenang sahaja jawapan mereka.

 

“Kami baru sahaja tujuh bulan hidup bersama. Ini merupakan fasa baharu dalam hidup kami. Doa kami semoga hubungan kasih sayang ini kekal sehingga ke akhir hayat. Dugaan itu akan sentiasa ada, baik dalam perkahwinan mahupun kehidupan kerjaya. Ia terpulang kepada kita untuk menanganinya, sama ada secara tenang atau penuh amarah.

Mungkin ramai yang tidak tahu di Malaysia terdapat ramai kaunselor yang boleh memberikan khidmat nasihat bukan sahaja untuk perkahwinan tetapi juga soal kehidupan. saya sendiri bertemu kaunselor agar apa yang terpendam di hati ini dapat diluahkan pada seseorang yang bukan terdiri daripada ahli keluarga kita.

Ramai yang salah sangka pada kaunselor terutamanya kaunselor perkahwinan. Mereka berpendapat, pertemuan dengan kaunselor perkahwinan adalah semata-mata untuk pasangan yang sedang dilanda masalah. Tetapi kehadiran kaunselor ini adalah sebagai ‘orang ketiga’ untuk membuka minda kita tentang apa yang sedang berlaku dalam perhubungan agar kita dapat melihat dengan lebih jelas lagi.

Dalam dunia moden, tahun 2020 ini misalnya, kita perlu ada visi dan misi dalam perhubungan. Komunikasi di antara pasangan sangat penting untuk mewujudkan bubungan yang lebih sihat. Saya sendiri membawa keluarga Muizz bertemu kaunselor, just to open up mind on what’s happening in the family. Tak ada apa yang negatif bertemu kaunselor,” ujar Nadia. Barangkali, inilah yang membuatkan Nadia dan Muizz begitu positif kala berbicara.

“Perjalanan kami masih panjang. Janji yang dimetrai untuk sehidup semati belum sampai pun suku jalan. Saya pernah tetapkan dalam diri, sekiranya sampai usia 30 tahun saya belum berkahwin, saya mohon keluarga mencari jodoh untuk saya. Alhamdulillah, belum sampai usia 30, saya sudah bertemu Nadia, wanita yang menjadi pelengkap saya.

Dalam perkenalan kami, saya ceritakan semuanya pada Nadia apa yang pernah berlaku dalam hidup saya. Begitu juga Nadia kerana bagi kami, pasangan hidup itu perlu tahu latar belakang kita dan keluarga. Apabila sudah menetapkan niat untuk berumahtangga, kita perlu tegas dalam keputusan itu dan bertanggungjawab di atas setiap keputusan yang dilakukan.

Kami yakin, pegangan agama adalah perkara paling penting untuk memastikan sesebuah perkahwinan itu berjaya. Kami tidak sempurna dan kami sendiri sedang berusaha untuk menjadi lebih baik. baik saya mahupun Nadia, kami berkongsi ilmu agama yang ada kerana kami ingin kejar dunia di sana,” tegas Muizz.

Menurut pasangan ini, di samping kerjaya masing-masing, mereka juga sedang mengusahakan perniagaan sendiri.

“Alhamdulillah NB Muffin dan NB Bar sudahpun berada di pasaran. Apa yang saya usahakan ini adalah apa yang saya sendiri suka dan perlukan. Saya memang suka makan buah-buahan kerana serat yang terkandung dalam buah-buahan boleh memlihara kecantikan dan kesihatan tubuh.

Jadi, untuk memudahkan tubuh mendapat nutrien yang diperlukan, saya jadikan NB Muffin dan NB Bar sebagai snek tambahan. NBbar by Nadia Brian ini mempunyai aloe vera, madu, delima, grape seed dan oat yang sangat sesuai untuk anda.

Seperti kebanyakkan orang, saya juga mempunyai perancangan dalam hidup. Kalau dulu selepas tamat sekolah, saya rancang untuk mengambil diploma seterusnya ke peringkat ijazah sarjana muda.

Kemudian, saya akan memulakan karier seterusnya berkahwin. Apabila berkahwin, saya berhasrat untuk memiliki perniagaan sendiri dan Alhamdulillah, kami kini sedang menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan dan berharap ia akan terus maju. Doakan kami ya!” Kata Nadia mengakhiri perbualan.

 

IKLAN
Share