Nak Hidup Tenang & Berkat, Buatlah Bakti Kepada IBU… Mereka ‘Jalan’ TAUBAT Terbaik!

Hidup kalau hendak tenang dan diberkati Allah selalu, banyakkanlah berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa terutamanya kaum ibu. Kerana di situlah letaknya gerbang rahmat Allah SWT dan jalan taubat terbaik! InshaAllah, amalkan dalam bulan baik… bulan Ramadan ini pasti sisi kehidupan berubah ke arah positif.

Tapi jangan pula berhenti buat bakti kepada insan istimewa ini bila sudah habis Ramadan. Sebab hendak zahirkan kasih sayang dan penghargaan kepada ibu tidak perlu masa tertentu pun. Setiap hari pun boleh. Lagi banyak menyenangkan hati mereka… lagi besar ganjaran yang menanti di sana kelak.

Baca perkongsian penceramah dan pendakwah terkenal, Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa yang berbicara soal taubat awal Ramadan lalu memang betul-betul terkesan di hati. Lebih-lebih lagi dalam kalangan anak-anak. Terus rasa macam hendak 24 jam ‘berkepit’ dengan mereka… hendak tengok dan jaga sebaik-baiknya. Sama macam mereka tekun jaga kita waktu kecil dulu.

Ustazah Norhafizah bersama Tengku Permaisuri Selangor

Kongsi Datuk Dr Ustazah Norhafizah, “Ku melangkah gerbang Ramadan setelah lelah memikul beban dosa dan kelalaian. Berapa banyak amal yang seakan-akan amal akhirat… tetapi kerana kecundang dalam menghalusi niat, amal akhirat menjadi amal dunia. Ku berhenti seketika di Gerbang Ramadan merafak tangan bergelumang noda di hadapan Rabbku yang Maha Mencintai.

Tunjukkan ku jalan taubat Ya Allah. Jadikanku ahluttaubah sebelum kakiku menapak ke Madrasah Ramadan ini. Lalu Allah jentik hati ini dengan sebuah hadis Rasulullah SAW.”

Cerita Ustazah Norhafizah lagi, “Tatkala seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dengan wajah dan hati yang gundah-gulana.. ‘Tunjukkan ku jalan taubat Ya Rasulullah. Bagaimana untuk aku bertaubat. Dosa ku amat banyak.’

Justeru Rasul mulia ini dengan penuh pengasih bertanyakan pemuda tadi. ‘Apakah kamu masih ada ibu? Pulanglah kepadanya… berbaktilah kepadanya. Itu jalan taubatmu.’

Ketika menyampaikan ceramah bersama suami tercinta
Ustazah Norhafizah bersama suami & ibu bapa

Allahu akbar! Jangan sampai diri ini terlupa. Mak abah ku adalah jalan taubatku. Berbakti kepadanya adalah gerbang terbaik untuk mendapatkan pandangan rahmat dariNya.

Marilah wahai diri dan seluruh sahabatku… kalau pun tidak boleh pulang, mari berikan ucapan yang indah pada kedua ibu bapa kita.

Mohon kemaafan darinya kerana kita selama-lamanya sukar amat untuk membalas jasa mereka. Mohon doa keduanya agar kita beroleh rahmat dan mohonlah nasihat keduanya kerana kunci syurga itu Allah takdirkan jalan mudah ada pada redha keduanya.”

Tak sangka, rupa-rupanya cara paling mudah mencari reda Allah adalah melalui insan yang paling dekat dengan kita iaitu ibu.

Moga kita semua selaku anak dapat menjalankan kewajipan sebaik-baiknya kepada ibunda tersayang. Sesungguhnya, syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

 

 

IKLAN
Share