Neelofa Tak Pernah ‘Hutang A’, DATIN NOOR KARTINI Dedah Sikap & Cara Didik Anak!

Bergelar ibu kepada selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor nyata bukan perkara mudah bagi Datin Noor Kartini Noor Mohamed. Biarpun pada awal pembabitan anak ketiga daripada sembilan beradik itu dalam industri seni menerbitkan perasaan gusar di benaknya namun saban tahun Datin Kartini yang lebih dikenali dengan panggilan Datin Tini sudah mampu menyesuaikan diri dengan tempias dunia glamor Neelofa.

Tidak mahu membezakan cabaran yang dilaluinya sebagai ibu selebriti melebihi dugaan kebanyakan ibu lain, Datin Tini percaya setiap wanita bergelar ibu tidak terlepas dilanda ujian masing-masing. Mendirikan rumah tangga pada usia muda, Datin Tini yang juga isteri kepada Dato’ Abdul Halim Khan tidak pernah serik mempunyai ramai anak. Selain berdepan persepsi khalayak kerana statusnya sebagai ibu selebriti, dia juga menggalas tanggungjawab besar untuk mendidik sembilan orang anak.

Kredit foto: Instagram Datin Kartini
Kredit foto: Instagram Datin Kartini
Noor Nabila
Ameera Khan

Percaya didikan yang baik bermula dari rumah, wanita berjiwa penyayang yang lahir pada 8 Julai 1966 ini tidak lokek berkongsi rahsia. “Anak-anak perlu dipupuk dengan amalan murni sejak kecil termasuk tentang disiplin. Bab mendisiplinkan anak-anak, saya serahkan kepada ayah mereka. Didikan saya lebih kepada aspek rohani manakala suami pula mendidik dari segi karakter dan fizikal anak-anak. Suami pun memang seorang yang tegas jadi anak-anak takut kalau tak ikut cakap ayah mereka. Katakan bila cuti sekolah hendak keluar makan dengan kawan-kawan kena beritahu awal sekurang-kurangnya 3 hari sebelum keluar. Kalau esok hendak keluar, malam tadi baru cakap memang tak akan dapat.

Ketepatan masa juga antara yang paling utama dalam mendidik anak. Mungkin sebab sudah lali dengan cara ayah mereka, Neelofa termasuk adik-beradik yang lain terlatih untuk bersiap awal kalau ada perjumpaan atau shooting. Pada saya, orang yang mahu berjaya kena ada disiplin yang tinggi. Kalau tak ada disiplin dalam diri memang susah hendak maju. Bukan mahu membangga diri tapi hakikatnya saya tak alami kesusahan hendak asuh sembilan anak sebab bila anak sulung sudah tunjuk teladan yang baik, secara automatik adik-adik seterusnya akan ikut cara yang sama,” telus Datin Tini yang mengimpikan anak yang ramai.

Seperti yang diketahui ramai, Neelofa merupakan antara selebriti yang memiliki keputusan akademik cemerlang sepanjang berada di bangku sekolah. Pernah memperoleh keputusan 5A dalam UPSR, 8A semasa PMR dan 10A ketika menerima Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) membuatkan ramai yang cemburu dengan kelebihan gadis berusia 29 tahun itu. Dia bukan saja dikurniakan raut wajah cantik malah pintar dalam pelajaran.

Mencungkil apakah resipi kejayaan Neelofa hingga meraih keputusan sedemikian, Datin Tini yang memiliki darah keturunan Pakistan-Arab lantas membuka rahsia. “Saya bukanlah ibu yang tetapkan standard tertentu untuk keputusan pelajaran anak-anak. Memang Neelofa anak yang paling pandai dan tak pernah hutang ‘A’ sama seperti Aqief dan Nur Athisha.

Waktu baru umur lima tahun, Neelofa sudah mula buat subjek pelajaran untuk usia lapan tahun. Bila saya tengok cara dia belajar dan minatnya dalam pelajaran, saya sokong dan daftarkan dia ke pusat tuisyen di Kota Bharu. Ketika itu kami tinggal di Pasir Mas. Memang rutin dia setiap hari diisi dengan membaca buku dan buat latihan di rumah.

Pernah masa di MRSM selepas habis peperiksaan PMR, dia telefon saya beritahu susah hati dan menangis sebab takut tak dapat skor A. Sebenarnya saya tak kisah pun kalau dia tak dapat gred A sebab tahu cara dia belajar macam mana. Cuma perangai Neelofa ini.. dia takut buat saya kecewa. Sampai sekarang bila sudah jadi artis pun dia terbawa-bawa perangai itu.

Sama ada suami atau saya sendiri, kami tak pernah pilih kasih dalam mendidik anak. Semua layanan sama rata saja. Jadi, kalau ada yang tanya apa saya buat untuk anak pandai dalam akademik.. hanya kata-kata perangsang. Tiada ajaran istimewa pun sebab pada akhirnya nanti kemahuan untuk berjaya itu ada dalam diri sendiri. Tak ada sesiapa yang mampu ubah kalau bukan empunya diri.”

IKLAN
Share