Niaga ‘Suka-Suka’ 8 Tahun Lalu Kini Jadi Kerjaya, NUR AMIRAH Bahagia Kongsi Rezeki Bisnes!

Dari sekadar berniaga ‘suka-suka’ dan mencari pendapatan sampingan akhirnya Nur Amirah Maulat Abdullah ‘jatuh cinta’ dengan dunia perniagaan. Percaya dengan rezeki dan keberkatan dalam berniaga, Amirah nekad meninggalkan kerjaya tetap demi mengejar impian bergelar usahawan. Meskipun sedar cabaran besar yang terpaksa ditempuh untuk menjadi ahli perniagaan berjaya namun ibu dua anak ini optimis menggenggam kejayaan!

Kini selepas 8 tahun berkecimpung dalam bidang bisnes, tiada istilah kesal dan putus ada dalam kamus hidup Amirah. Sebaliknya dia amat bersyukur kerana percaya dengan gerak hati dan minat untuk berniaga. Mesra menyambut panggilan penulis, Amirah dalam temu bual bersama Nona mendedahkan detik permulaan melibatkan diri dalam bisnes.

“Saya berkecimpung dalam bisnes sejak 2013 sebagai ‘side income’ dan ‘suka-suka’ sahaja. Pada waktu itu saya masih lagi bekerja di sebuah syarikat di KL. Selepas beberapa bulan bekerja dan berbisnes pada masa yang sama, minat saya dalam bisnes semakin meningkat. Jadi saya ambil keputusan berisiko untuk terus fokus dalam bidang bisnes dan ternyata ia keputusan terbaik yang pernah saya buat dalam hidup.

Sejujurnya, minat saya dalam industri tudung, kosmetik dan kecantikan telah bermula sejak di bangku persekolahan lagi. Bagi saya, salah satu kunci kejayaan berniaga adalah menghasilkan produk yang saya minat dan percaya. Bahkan itu jugalah yang menjadi pegangan saya sejak awal lagi.”

Ujar Amirah, dia turut tertarik untuk menghasilkan produk yang khusus buat kaum wanita termasuk penjagaan diri. “Idea utama untuk menghasilkan produk adalah dari minat saya dalam bidang kecantikan. Bukan saja beri inspirasi kepada saya untuk mengeluarkan produk yang berkualiti tetapi juga dapat berkongsi kelebihan produk ini bersama followers saya di luar sana. Secara tak langsung, ia turut memberi keyakinan kepada diri saya dan menjadi faktor utama saya melibatkan diri dalam bidang ini.

Menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-32 pada 29 Mac lepas, wanita kelahiran Kedah ini mampu tersenyum bangga kerana sepanjang lapan tahun berniaga dia kini merupakan Pengasas empayar Kayra Health & Beauty serta pemilik produk muslimah Bynuramirah! Pastinya, setiap produk niaga Amirah mempunyai keistimewaan tersendiri dengan harga mampu milik.

Tak hairanlah, tempahan produk Amirah tak putus-putus saban hari. “Pada masa ini, perniagaan berjalan seperti biasa dan bulan Jun ini saya juga telah menambah satu lagi rangkaian produk iaitu ‘Lipmatte’ yang hadir dengan 4 pilihan warna. Jualan tudung ‘bynuramirah’ juga agak memberangsangkan pada waktu PKP ini dan saya telah mengeluarkan 3 corak dengan material terbaharu.

Untuk masa ini, strategi utama saya adalah melalui media sosial memandangkan keadaan waktu PKP ini kegunaan media sosial juga meningkat. Jadi saya perlu daya kreativiti yang tinggi untuk menghasilkan content yang berkualiti tinggi.

Bercerita tentang keistimewaan produk, Kayra Health & Beauty menggunakan minyak argan sebagai ramuan utama. Seperti yang diketahui ramai bahan ini berupaya menghaluskan dan merawat kulit muka. Untuk tudung pula saya fokus kepada penghasilan tudung bawal, satin dan matte satin kerana ini merupakan pilihan tudung kegemaran dan juga tudung harian saya.

Lagipun, customer dan followers kebanyakannya penggemar cara pemakaian tudung saya dan saya rasa ia adalah peluang terbaik untuk saya hasilkan produk tudung sendiri.”
Lumrah bidang perniagaan pasti berdepan pelbagai pengalaman pahit dan manis. Ujar graduan ijazah sarjana muda kepujian pentadiran perniagaan kewangan ini, sebagai majikan dia perlu berfikiran positif dalam apa jua situasi.

“Cabaran paling besar adalah untuk sentiasa kuat mengawal emosi supaya dapat mengelakkan daripada anxiety, depression dan sebagainya kerana dunia bisnes ini memerlukan saya untuk menonjolkan peribadi yang tabah mengharungi semua cabaran di samping menjadi semangat kepada team. Saya juga perlu sentiasa tenang untuk berinteraksi dengan agen, stokis dan pelanggan.

Sejak berniaga, saya berpegang kepada 3 prinsip iaitu pertama, dalam berniaga kita hendaklah berniat kongsi dengan semua orang sekeliling dan bukan untuk diri sendiri sahaja. Kedua, berniaga perlukan keberkatan. Keberkatan yang saya maksudkan adalah dari segi kejujuran bila berniaga, hubungan dengan keluarga dan orang-orang sekeliling. Ketiga, sentiasa ringan tangan memberi tanpa mengharapkan balasan dan sentiasa selit doa untuk orang lain dalam doa harian kita.

Alhamdulillah, antara pencapaian terbesar saya ialah dapat bawa parents menunaikan ibadah umrah, melahirkan usahawan-usahawan berjaya dan menghadiahkan sebuah kereta Mercedes kepada ibu bapa saya.”

Sebelum akhiri perbulanan, ibu kepada Azkayra Malaiqa dan Asytar Malik ini turut menitipkan pesan kepada golongan wanita yang ingin menceburi dunia keusahawanan. “Dalam berniaga, kita perlu konsisten dan ‘Buat Sampai Jadi!’. Tiada kejayaan tanpa usaha dan kita perlu sentiasa bersabar. Doakan agar impian saya untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dan memberi kesedaran kepada wanita bahawa mereka perlu berani dan ada pendapat sendiri dapat direalisasikan.”

IKLAN
Share