Nikah Siam, Peguam Amirul Akmal Dedah Dugaan Isteri Bermadu Adik Kandung Sendiri

Umum mengetahui bahawa isu poligami tanpa kebenaran Mahkamah ini merupakan suatu isu yang tiada titik penyelesaian yang kukuh.

Terdapat satu kisah benar yang telah terjadi, seperti yang diceritakan peguam syarie Amirul Akmal dari Amirul Akmal Associates, di mana seorang isteri yang dimadukan dengan adik kandungnya sendiri dan kisah ini beliau kongsikan untuk memberi pengajaran kepada semua.

Suatu hari telah datang seorang wanita dalam keadaan sedih dan buntu dengan apa yang telah berlaku di dalam rumah tangga beliau. Kata beliau, “Saya datang nak semak betul ke suami saya dah nikah dengan adik kandung saya, Tuan boleh semak ke?”

Setelah disemak didapati tiada sebarang rekod perkahwinan tersebut telah didaftarkan.

Peguam Syarie, Tuan Amirul Akmal

Saya memberitahu, “Puan, tiada perkahwinan didaftarkan atas nama suami dan adik kandung Puan.”

Beliau menceritakan bahawa perkara ini telah berlarutan hampir 5 tahun lamanya dan adik kandung beliau telah mempunyai anak dengan suaminya.

“Apa tindakan saya boleh buat Tuan, saya rasa perbuatan ni berdosa, bermadu dengan adik kandung sendiri tak pernah terfikir dek akal yang waras perkara ini berlaku,” ceritanya.

Ya, di Mahkamah anda akan jumpa kes yang pelik-pelik dan perkara ini normal bagi sesiapa yang selalu ke Mahkamah Syariah.

Nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapa. Seperti itulah keadaan beliau, beliau tidak mahu bercerai dengan suami kerana telah lama berumah tangga dan beliau ingin menyelamatkan perkahwinan beliau.

Undang-Undang

Tiada tindakan yang boleh beliau ambil kerana pada asasnya perkahwinan antara suami dan adik kandung beliau tidak pernah didaftarkan maka perkahwinan tersebut dikira tidak wujud di dalam peruntukan undang-undang.

Sepertimana telah dinyatakan di bawah S23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) yang menyatakan bahawa tiada perkahwinan yang boleh diakadnikahkan tanpa kebenaran Mahkamah boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada S124.

Pada asasnya sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan di luar negara perlu didaftarkan dengan membuat pengesahan nikah (poligami). Namun begitu, jika sesuatu perkahwinan yang tidak didaftarkan langsung makanya perkahwinan tersebut dikira tidak wujud menurut enakmen ini.

“Oleh yang demikian, tiada suatu tindakan boleh dibuat di Mahkamah Syariah mengenai isu Puan ini, kata saya ketika menjawab pertanyaan beliau. Sekarang bila perkahwinan tiada jika suami masih ke rumah adik dan bermalam di sana, saya sarankan Puan buat laporan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama bahawa mereka berkhalwat untuk membolehkan kebenaran mengenai pernikahan mereka dibawa ke Mahkamah,” usul saya.

Nasihat saya kepada wanita di luar sana terutamanya yang telah berpoligami dan bernikah di luar negara supaya terus cepat-cepat mendaftarkan perkahwinan tersebut, rujuk peguam syarie yang bertauliah insya allah peguam akan mudahkan urusan klien di Mahkamah Syariah.

Ekoran dari tindakan membiarkan perkara ini berlarutan akan memberikan kesan jangka panjang yang anda tidak jangka kelak. Jika suami anda mati, anda tidak boleh menuntut bahagian dalam faraid.

Begitu juga jika diceraikan, anda tidak boleh menuntut harta sepencarian, anda tidak boleh menuntut mutaah, anda tidak boleh menuntut segala hutang perkahwinan dalam erti kata lain semua tindakan undang-undang tidak boleh diambil selagi mana perkahwinan ini tidak didaftarkan dan dikira wujud di bawah enakmen.

Apa pula kesan kepada anak jika suami mati atau berlakunya penceraian? Anak anda tidak layak mendapat bahagian faraid jika suami mati, anak anda tidak layak menuntut nafkah anak jika suami menceraikan anda.

Usahlah merumitkan keadaan sedangkan wujudnya undang-undang itu untuk mengatur dan mentertibkan manusia supaya hidup dalam satu aturan dan tiada kacau bilau. Bilamana wujudnya undang-undang maka kita wajib mematuhinya supaya norma aturan masyarakat tidak menjadi kacau-bilau atau tidak terkendali.

Jadinya kepada wanita di luar sana, ingatlah dan ketahuilah hak anda supaya anda tidak menyesal di kemudian hari ibarat sakit menimpa, sesal terlambat. Semoga ada iktibar dari kisah ini untuk sidang pembaca sekalian.

Sumber: Peguam Syarie: Amirul Akmal (klik sini)

IKLAN
Share