Gaya Hidup

Nikmati Keunikan Lebaran Di Bangkok, YM TENGKU NUR BADARIAH Teruja Sambut Raya Di Samping Suami & Anak

Figura kerabat diraja berketurunan Melayu-Thailand, YM Tengku Nur Badariah Tengku Ahmad Nashruddin atau lebih mesra disapa sebagai Tengku Nur Badariah ini seorang yang mudah didekati. Berusia 33 tahun Tengku Nur Badariah merupakan anakanda bungsu daripada dua beradik dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan.

Di kalangan keluarga dan saudara terdekat Tengku Nur Badariah dikenali dengan panggilan manja, Ku Chik. Ibunya, Burachatra Sricharoon atau Kamariah Abdul Wahab berasal dari Bangkok, Thailand.

KARIER MANTAP

Bertugas sebagai Ketua Jabatan Grafik di sebuah syarikat terkemuka di samping bergelar ibu kepada Putri Eriena Mohd Azrien berusia (2 tahun) menjadikan Tengku Nur Badariah seorang yang berdikari. Tengku Nur Badariah mahu memberikan yang terbaik serta memastikan kepentingan keluarga dan karier menjadi sebahagian daripada ‘jiwanya’.

Seorang ketua yang bagus perlu tahu peranannya. Bukan hanya pandai memberi arahan sahaja. Salinglah berkongsi ilmu dan objektif syarikat bersama kakitangan,” kongsi graduan Diploma Lanjutan Aplikasi Multimedia & Reka Bentuk ini.

TRADISI LEBARAN DI THAILAND

“Memandangkan bonda berasal dari Bangkok, Thailand saya mempunyai ramai saudara di sana. Kebanyakan mereka tinggal berdekatan dalam satu kawasan. Tradisi lebaran di sana ialah selepas solat Hari Raya di masjid kami akan berkumpul di sebuah dewan berhampiran yang dibina khas untuk majlis.

Di situ kami akan berkumpul dan saling bermaafan sambil menjamu selera. Juadahnya terdiri daripada hidangan Thailand, kuih muih tradisi di samping menu Arab seperti Nasi Beriani atau Khao Mok Gai,” bual Tengku Nur Badariah yang gemar memasak hidangan Thailand.

PERANCANGAN SYAWAL

Tahun ini Tengku Nur Badariah teruja untuk menyambut lebaran kerana bakal membawa suami dan anak berhari raya di Bangkok, Thailand. Tahun ini kali pertama suaminya bakal ke sana.

“Tahun lalu saya menyambutnya di rumah keluarga suami. Tahun ini giliran keluarga saya pula. Memandangkan suami belum pernah berhari raya di Thailand saya bercadang untuk menyambutnya di sana bersama keluarga,” bicara Tengku Nur Badariah yang menjadikan bondanya sebagai inspirasi.

Kredit Instagram: @tengkubadrisha

IKLAN
Share