Pakai Samping Songket Tinggalan TAN SRI P. RAMLEE, Untungnya Suami KAVITA SIDHU!

Sudahlah kedua-duanya sama padan sama cantik macam pinang dibelah dua, dapat pula pakai samping yang tinggi nilai sentimental. Bertambah-tambah menawan Kavita Sidhu dan suami tercinta Roberto Guiati ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri baru-baru ini. Alahai, terpukau dibuatnya!

Meskipun ia bukanlah kali pertama suami kepada bekas ratu cantik ini menyarung Baju Melayu namun penampilan pemilik restoran Zenzero KL, LUCE Osteria KL dan Cicchetti KL pada akhir Syawal yang lepas sekali lagi mencuri tumpuan.

Bukan kerana segak mengenakan pakaian tradisi tersebut dan bukan juga kerana diiringi isteri yang cantik jelita sebaliknya aura Roberto kali ini cukup luar biasa.

Mana tidaknya, kain samping songket indah yang dipakai bukan calang-calang. Ia adalah koleksi tinggalan seniman terunggul, Tan Sri P. Ramlee! Perkara itu didedahkan sendiri oleh Kavita.

Kongsinya, “So excited to see Roberto pakai kain songket dari koleksi kawan saya. Rahsia istimewa kain songket ini kepunyaan seniman agung P.RAMLEE dan digunakan dalam filem MADU TIGA!

Siapa tengok filem tu? ‘Butang baju Abang mana Pahhhh….’ It was an absolute honour to see hubs wearing this piece of treasure.”

Wow, beruntungnya Roberto. Siap pakai samping labuh paras bawah lutut lagi… memang patuh ikut pemakaian samping bagi lelaki sudah berkahwin yang pakai samping bawah lutut. Mungkin Kavita sudah pesan awal-awal sebelum sang suami memakainya.

Mengambil kemeriahan Aidilfitri, Kavita dan Roberto turut tidak ketinggalan menggayakan busana tradisi masyarakat Melayu. Memang sudah dikenali sebagai antara selebriti bukan Melayu yang gemar menggayakan baju kurung… pasangan romantis ini memilih tema warna biru pada 1 Syawal.

Difahamkan baju kurung indah Kavita adalah rekaan Innai Group sementara Roberto pula segak berbaju Melayu ilham Maya Silk.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, usahawan KVITA yang juga penerbit filem berkenaan tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke rumah keluarga angkatnya di Seremban, Negeri Sembilan. Selain beraya di sana, aktres ini turut meluangkan masa menziarahi pusara salah seorang ahli keluarga angkat.

Kagum dengan sifat peribadi dan rasa hormat Kavita terhadap budaya Melayu biarpun dirinya berbeza bangsa dan agama. Moga Kavita terus menjadi inspirasi kepada kaum wanita di Malaysia bukan saja dari segi kecantikan dan kerjaya bahkan dari semangat perpaduan yang menebal dalam dirinya.

 

Kredit foto: Instagram Kavita Sidhu

IKLAN
Share