
Jika cinta agung Shah Jahan terukir abadi melalui Taj Mahal, kasih sayang Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kepada isteri tersayang pula dizahirkan dalam bentuk warisan budaya dan sejarah. Itulah intipati Pameran Dirgahayu Cinta, sebuah manifestasi cinta yang dirakam indah melalui seni, adat dan simbolisme diraja.
Pameran ini mengangkat perjalanan cinta DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz, yang disatukan dalam Istiadat Pernikahan Diraja penuh adat dan makna pada 2 Oktober 2025 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Detik bersejarah itu kemudiannya disusuli dengan Istiadat Persandingan Diraja yang berlangsung megah di Balairung Seri, Istana Alam Shah pada 22 Oktober 2025. Keseluruhan perjalanan istiadat ini menjadi asas kepada Pameran Dirgahayu Cinta yang kini dibuka untuk tatapan rakyat.
Nona berkesempatan menyaksikan sendiri acara perasmian Pameran Khas sempena Istiadat Perkahwinan Diraja di Muzium Sultan Alam Shah baru-baru ini. Jom saksikan…
Empat busana utama yang menyempurnakan setiap fasa penting perkahwinan diraja tersebut dipamerkan buat pertama kali di Muzium Sultan Alam Shah.
Bermula daripada busana pertunangan, Istiadat Pernikahan Diraja, Istiadat Persandingan Diraja hinggalah Majlis Santapan Diraja, setiap helaian bukan sekadar busana, tetapi saksi bisu kepada janji, doa dan penyatuan dua jiwa.
Sentuhan Peribadi
Apa yang menjadikan Pameran Dirgahayu Cinta begitu istimewa ialah sentuhan peribadi DYTM Raja Muda Selangor sendiri yang memperkenankan pameran ini diilhamkan sebagai dokumentasi warisan. Setiap elemen dipilih dengan teliti, sarat dengan simbolisme budaya, kehalusan seni dan nilai adat istiadat yang menjadi tunjang identiti Selangor.

Menurut Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, pameran ini bukan sekadar memperlihatkan keindahan Istiadat Perkahwinan Diraja, malah berfungsi sebagai dokumentasi penting sejarah dan warisan negeri.
Pameran ini dirangka sebagai wadah penghayatan terhadap nilai simbolik, kesantunan adat serta kehalusan seni diraja yang membentuk jati diri Selangor. Lebih daripada itu, Pameran Dirgahayu Cinta membuka ruang kepada rakyat Selangor dan masyarakat Malaysia untuk mendekati institusi diraja secara lebih dekat, tersusun dan berinformasi.
Ia juga menjadi usaha pendokumentasian warisan agar khazanah adat serta nilai simbolisme diraja terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.



DYTM Raja Muda Selangor dan YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini kemudiannya berkenan menyempurnakan perasmian pameran khas ini, yang dibuka kepada umum bermula 9 Januari hingga 31 Mei.
Tema Dirgahayu Cinta dipilih sebagai manifestasi doa dan harapan agar ikatan perkahwinan pasangan diraja ini sentiasa bersemi, berkekalan dan mekar sepanjang hayat.
Selain busana diraja, pameran ini turut menampilkan dokumen lafaz taklik, koleksi peribadi pasangan diraja, serta hampir 200 keping foto yang merakam perjalanan hidup Baginda dan isteri.
Turut dipamerkan ialah replika kek perkahwinan, seni telepuk, bunga telur emas, bunga manggar, payung diraja serta pelbagai elemen adat yang melengkapkan keindahan istiadat diraja Melayu.





Warisan Cinta Yang Diabadikan
Sebagai pameran pertama seumpamanya dianjurkan di Muzium Sultan Alam Shah, Pameran Dirgahayu Cinta bakal menjadi sebahagian daripada dokumentasi sejarah negeri untuk jangka panjang. Dengan lebih 140,000 pengunjung direkodkan sejak muzium itu dibuka semula, pameran ini dijangka terus menarik perhatian pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Dalam setiap helaian kain, dalam setiap bingkai foto, Dirgahayu Cinta membuktikan bahawa cinta diraja bukan sekadar dirayakan, tetapi diwariskan sebagai sejarah.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/fan-bingbing-rahsia-kecantikan-ikon-global/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





