Pandu Sendiri Kereta Sewa Untuk Melihat Keindahan Bumi New Zealand Antara Pengalaman Berharga UMMI AISHAH

Terpegun dengan keindahan pemandangan yang bergunung ganang dan statusnya sebagai salah sebuah negara tercantik di dunia, telah membawa Aishah ke bumi New Zealand sekaligus memenuhi impiannya sejak dulu untuk menjejakkan kaki ke negara kiwi ini.

Aishah atau nama sebenarnya Ummi Aishah Ahmat Suhaimi ke sana bersama seorang sahabat baik. Melihat kepada setiap koleksi gambarnya ternyata Aishah sangat teruja menikmati setiap momen indah di sana.

PENGALAMAN PERJALANAN

“Kami memilih tarikh 8-15 November 2018 untuk mengunjungi selatan New Zealand. Perjalanan ke Auckland mengambil masa kira-kira 14 jam termasuk transit tiga jam di Gold Coast, Australia.

Kami bermalam di Kiwi Airport Backpackers Motel selama semalam. Keesokannya kami bangun seawal jam 4 pagi untuk ke Christchurch. Setibanya di sana kami menyewa kereta di Apex Car Rentals.

Antara destinasi yang dikunjungi ialah Muzium Canterbury, Victoria Clock Towers dan Fairlie Heritage Museum. Hujan lebat ketika itu membataskan perjalanan kami. Sekitar pukul 12 tengah hari kami ke Lake Tekapo dan bermalam di sana.

Pemandangan di kiri kanan jalan sangat cantik dengan salji yang memutih. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar. Tak ketinggalan, kami turut ke Mount Cook dan Hooker Valley Track.

Sepanjang perjalanan kami amat teruja dengan pemandangannya yang indah sehinggakan kami kerap berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar. Sisa-sisa salji di atas gunung ganang kelihatan sangat cantik.

Selepas itu kami menuju ke Queenstown dan bermalam di situ. Sekitar pukul 11 pagi kami ke Apex Car Rentals untuk memulangkan kereta. Kami kembali ke Auckland dan bertemu dengan Mrs Jean bagi merasai pengalaman bermalam di dalam campervan.

Seterusnya, tempat yang paling tidak sabar untuk kami kunjungi ialah Hobbiton. Betapa cantiknya perkampungan Hobbit seperti mana yang digambarkan dalam filem. Lebih dua jam kami di Hobbiton sebelum ke Lapangan Terbang Auckland untuk kembali ke Malaysia.”

DETIK TAK DAPAT DILUPAKAN

“Pengalaman terpaksa memandu pada waktu malam ketika menuju ke Larnarch Castle. Silap kami juga kerana tak berangkat lebih awal ketika di Wanaka Lake kerana terlalu leka mengambil gambar. Akibatnya kami terpaksa meredah perjalanan selama lima jam bermula pukul 6 petang sampailah 11 malam.

Kami diselubungi rasa takut kerana kawasan itu amat sunyi dan gelap, ditambah pula kawasan istana lama yang dikatakan berhantu. Akhirnya setelah didatangi oleh pekerja yang ramah di situ, kami kembali merasa lega dan tenang. Apa pun percutian kali ini sangat berbaloi dan menakjubkan.”

 

IKLAN
Share